Sunday, 2 February 2014

Mengapa Aku Menulis?



Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Pena ini mula bertinta setelah sekian lama aku tinggalkan. Kesibukan dalam proses menyesuaikan diri di alam ilmu. Sedikit terasa gentarnya bila berhadapan dengan ujian demi ujian dalam komposisi gedung ilmu. Usaha dan kiriman doa dari keluarga InsyaAllah akan tercapai jua misiku. Kini ada sesuatu yang ingin aku kongsikan...Mengapa aku menulis?

Kisahku bukan sesuatu yang menarik untuk dipertontonkan. Jauh sekali untuk diangkat sebagai nobelist atau mendapat tempat di media masa. Seringkali aku ditanya mengapa aku menulis? Adakah ia masih relevan dalam dunia hari ini sibuk mengejar harta dan kekayaan? Mengapa perlu aku bertinta di dunia maya dan tidak memilih novel sebagai gelanggangnya?Aku punyai jawapan tersendiri. Hal ini mengingatkanku kepada 3 kisah yang memberiku keyakinan untuk terus menapak dalam dunia ini.



1. Selepas kewafatan Rasulullah yang kita cintai, Saidina Abu Bakar diangkat menjadi khalifah. Islam bersinar menerangi dunia ketika itu. Namun, apa yang menyedihkan seorang demi seorang sahabat terutama yang menghafaz Al Quran gugur di medan jihad. Situasi ini menimbulkan rasa gusar di hati sahabat terutama Saidina Umar al Khatab. Beliau mencadangkan agar AlQuran dikumpul dan ditulis semula. Cadangan beliau diterima dan akhirnya naskah Al Quran berjaya disusun dan ditulis semula hanya selepas kewafatan beliau iaitu pada zaman Khalifah Uthman bin Affan. Memang ini semua adalah takdir yang Allah tentukan untuk memelihara Al Quran hingga ke akhir zaman. Kerana 'penulisan' mereka maka wujudlah Al Quran Resam Uthmani seperti yang kita baca hari ini. Maka, bukankah ianya bermula dengan menulis?



2. Aku mengkagumi negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Karyanya 'Malay Dilemma' pernah mencetuskan kontroversi di bumi Malaya dan ia menarik minatku untuk mengenali beliau walau hanya di alam ilmu tanpa jasad. Ketika buku ini ditulis, beliau bukanlah seorang Perdana Menteri yang perlu disanjung ke sana ke mari. Beliau hanya seorang anak muda yang baru mengenal erti politik. Suatu yang memeranjatkan apabila beliau berani menyuarakan isi hati dan nasihatnya mengenai 13 Mei 1969 dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Beliau menulis bagaimana Tunku hakikatnya telah kehilangan sokongan orang Melayu. Satu persatu kesilapan Tunku 'ditinta' lantaran 'kegagalan' Tunku yang sedang sibuk menaruh nasib tanpa menyedari kiamat sedang membadai di luar jendela. Kerana utusan tangannya, Tun Mahathir dipecat daripada UMNO. Tetapi siapa sangka kerana tulisannya juga beliau akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia.



3. A. Samad Said bukan nama asing bagi masyarakat di bumi bertuah ini tetapi mungkin asing bagi diriku. Mana kan tidak, dalam zaman manusia berkaca mata hitam, berambut pacak, berseluar jeans, berkasut kulit, masih ada lagi insan seperti beliau yang hidup dalam kezuhudan seolah menolak dunia yang penuh dengan kepura-puraan. Beliaulah Sasterawan Negara..kehidupannya amat bersederhana. Terkadang aku merasakan sengaja beliau berwatakan sedemikian kerana untuk 'mendekati' dan 'mendalami' masyarakat sekeliling. Karyanya amat aku kagumi. Beliau pernah menyatakan “tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan fikirannya, penulis sebagai seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa saja yang meresapi atau menghayati karyanya.” Nah! Inilah jawapannya atas apa yang sedang aku lakukan. Menulis..



Selain itu, ramai tokoh ilmuwan dan agamawan yang menjadikan penulisan sebagai medium mereka menyampaikan ilmu, berdakwah selain mendekati masyarakat. Chedet.com-Tun Mahathir, universiti MKI-Prof. Kamil, Minda Tajdid-Prof, Madya Dr. Asri dan lain-lain. Mereka adalah insan hebat yang mencorak alam maya ini menjadi lebih manis dan indah dengan ilmu yang diperolehi. Lantas menggerakkan sendi-sendiku untuk menjadi seperti mereka. Insan hebat sering berkata "Untuk berjaya tidak perlu membuat sesuatu yang baru tetapi hanya meniru apa yang orang telah berjaya lakukan".



Kerjayaku bermula dengan menulis. Bersyukur kerana dengan hasil tanganku, sedikit sebanyak membantu 'mereka' mengetahui apa yang berlaku dalam ruang lingkup sosiologi masyarakat bawahan. Juga membuat 'mereka' berfikir bahawa dunia tidak semudah untuk digenggam. Namun, itu hanya satu kenangan indah yang banyak mengajarku erti kehidupan. Jatuh bangun dalam dunia moden kemaruk kuasa. Ada yang menyokong usaha ini ditokok dengan idea bernas yang memberiku nafas baru untuk terus menulis. Tak lupa ada juga yang menolak dengan alasan karyaku bukan fakta politik yang mampu mengisi benak pemikiran mereka sebagai rakyat. Bagiku mungkin mereka mengharap sesuatu yang 'weird' untuk mereka jaja bersandar kepada pengalamanku yang tak seberapa. Maafkan aku kerana aku bukanlah Edward Snowdan. Hidupku berprinsip dan sesekali tidak akan aku gadai apa yang aku miliki. Kini aku berjuang meneruskan kehidupan walau berbeda dunia. Aku terus menulis. Mungkin untuk tatapan A'isy, Ah Teck, A'sief, Aisya dan Arisy selepas ketiadaanku nanti. Mengapa aku menulis?-

No comments:

Post a Comment