|
Front Page Utusan Malaysia |
Dunia politik kita hari ini tidak pernah sunyi daripada caci maki, fitnah memfitnah, berbohong, riak dan takbur oleh golongan ahli politik. Lebih teruk bilamana masyarakat kita tanpa membezakan susun lapis daripada ibu ayah hingga ke anak kecil seringkali disajikan dengan politik lucah yang sering ditayangkan secara percuma di dada akhbar atau di laman sosial. Oleh yang demikian, wujud tanggapan negatif masyarakat yang mengklasifikasikan politik adalah sesuatu yang kotor dan jijik. Namun begitu, masih ramai di luar sana bercita-cita dan menunggu 'wahyu' dari langit untuk diangkat sebagai ahli politik. Pelbagai bentuk strategi diatur. Ada yang mula berjinak-jinak mendekati dan menghimpit golongan ahli politik dan kuncu-kuncunya, ada yang cuba melonjak nama dengan mendedahkan sesuatu yang 'mustahil' dan 'pelik' untuk diterima akal masyarakat luar, malah ada yang sanggup menggadaikan maruah dengan menjadi 'wira' di dalam kain orang lain. Segala aib musuh didedahkan tanpa berasa malu dengan perbuatan mereka. Seolah mereka maksum di Padang Masyar sehingga Allah tidak pula membuka aib mereka sebagai balasan. Nauzubillah..
|
Perkuburan Baqi |
Sejarah Islam pernah mencatatkan Saidina Uthman bin Affan RA merupakan seorang Khalifah Islam yang pendiam, lemah lembut, kuat bekerja dan paling kurang bertutur. Beliau digelar sebagai
'Zin Nurain' kerana memiliki dua cahaya iaitu mengahwini puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum selepas kewafatan Ruqayyah. Beliau juga merupakan seorang yang kaya raya sebelum dilantik sebagai khalifah dan sering menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Kehebatan beliau terserlah sehingga Islam berjaya menakluk Iran, Afghanistan, Afrika Utara, Ageria hingga ke Eropah
ketika era pemerintahannya. Beliau contoh seorang pemimpin politik yang pendiam tetapi hebat di zamannya.
|
Bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim |
Hakikatnya, tidak semua ahli politik itu seperti yang sering dilabel masyarakat. Dalam kedasyatan perebutan kuasa yang berlaku, masih wujud sebilangan mereka yang pada hemat saya masih berprinsip dan layak menjadi pemimpin. Hal ini saya sandarkan kepada pengalaman saya mendekati mereka samada secara langsung atau melalui pembacaan dan sembang politik di kedai kopi. Antaranya ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Hj. Fadillah Yusuf. Saya mengenali beliau semasa bertugas di Sarawak satu ketika dahulu. Pernah bekerja secara bersama dan sepanjang tempoh itu, saya melihat keperibadian beliau sebagai satu yang
'rare' untuk ditemui pada zaman politik yang penuh pancaroba ini. Beliau tidak banyak bercakap tetapi tegas dalam menjalankan tugasnya. Ia juga mengingatkan saya kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Seorang yang lembut bila berbicara dan hanya melemparkan senyuman bila dicerca. Pernah satu ketika beliau 'dibuli' oleh segerombolan Menteri-menteri di Sarawak ketika Pilihan Raya Kecil Batang Ai satu ketika dahulu. Namun, ia tidak sedikit pun menaikkan kemarahan beliau malah beliau hanya tersenyum sehingga membuatkan mereka tersipu malu. Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz juga menarik perhatian saya. Sifat rendah diri dan zuhud dalam ketika beliau masih di atas menjadikan saya tertarik dengan keperibadian beliau. Benar seperti yang sering diingatkan isteri saya kepada saya "
keperibadian seseorang itu akan mencerminkan siapa dia sebenarnya". Ianya fakta yang hanya perlu dipraktikkan dalam diam tanpa perlu berbicara. Tidak perlu dicanang siapa aku sebenarnya? Aku adalah orang baik dan sebagainya..
|
Bersama Menteri Kerja Raya Datuk Hj. Fadillah Yusuf |
|
Sifat Rendah Diri Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz |
Walau apa pun kondisinya, ia menjadikan saya berpegang teguh dengan prinsip
'Diam itu lebih baik daripada berkata-kata'. Saya semakin bermuhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih tunduk ke bumi. Seringkali berdoa agar dijadikan insan yang dijauhkan dari sifat riak, takbur dan sombong dan pengakhiran yang 'Husnul Khatimah'.Semoga ia diikuti oleh golongan elit politik di luar sana. Banyakkan diam dari caci mencaci dan kuat berusaha demi kepentingan rakyat. Kami impikan
'Silent Politician'.
No comments:
Post a Comment