Tuesday 18 February 2014

Intelektual Pandir


Hati memberontak, perasaan bercampur marah dan geram dengan kenyataan seorang Intelektual Islam yang mahu dikenali sebagai Ahli Falsafah Melayu. Terkenal dengan jolokan 'Anti Hadith' iaitu satu gelaran yang diperolehi daripada hasil karyanya yang mempertikaikan kewajaran umat Islam hidup berpandukan hadith. Buku penulisannya pernah diharamkan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Beliau pernah memimpin sebuah parti berfahaman sosialis dan ditahan di di bawah ISA sekitar tahun 80 an. Kini dengan umur mencecah 80 tahun, skrip lama digarap kembali. Kononnya bagi menyuarakan pandangan yang telus tanpa meminta sebarang pujian. Itu ini mohon diperbetulkan tanpa melihat cacatnya diri sendiri, kotornya empunya badan bila agama suci diinjak-injak. Siapakah gerangan yang dimaksudkan? Sila rujuk ucapan biadab beliau di sini: http://kassimahmad.blogspot.com/

Beliau menyenaraikan kesilapan-kesilapan umat Islam pada zaman ini yang pada hemat saya satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Intelektual seperti beliau. Antara kenyataan beliau ialah:

1. Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran sebaliknya tunduk dengan ajaran 'Kasta Paderi' iaitu ulama'.

2. Umat Islam mendewa-dewakan Imam Besar dalam ajaran Ahli Sunnah Waljamaah iaitu Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795).

3. Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’.

4. Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! .



Sebagai seorang muslim, saya terpanggil untuk merujuk kepada beliau mengenai 4 perkara yang disebutkan di atas.

1. Beliau menyatakan umat Islam hari ini tunduk kepada 'Kasta Paderi' iaitu ungkapan yang merujuk kepada golongan ulama'. Islam tidak pernah membezakan darjat berdasarkan kedudukan seseorang. Yang membezakan seseorang muslim ialah tahap keimanan dan berapa banyak amalan yang dikumpul untuk dihitung di hadapan Allah nanti. Sejak sekian lama saya tidak pernah merasakan diri ini perlu atau terpaksa tunduk kepada golongan ulama'. Mereka hanya berperanan sebagai 'pembimbing' atau pewaris ilmu Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW untuk dikembangkan bagi menjamin kehidupan manusia yang lebih baik. Seruan atau ajakan mereka ke arah kebenaran adalah satu pilihan samada kita mahu atau tidak menerimanya. Jadi, di manakah hujahnya umat Islam hari ini tunduk kepada golongan ini? Di dalam agama Hindu memang wujud kasta yang meletakkan beberapa golongan dalam ketidaksamaan sosial. Kasta tertinggi disebut Brahmin (golongan agama), Kasta ke-2 disebut Ksyatriya (raja dan pahlawan), ke-3 Vaisya (peniaga dan petani), ke-4 Sudra (buruh). Terdapat satu golongan yang tidak boleh disentuh kerana dianggap tidak setara iaitu Pariyah atau dikenali sebagai 'Dalit'. Hinanya golongan Dalit ini sehingga terpaksa membuka selipar atau kasut jika lalu di perkampungan golongan atasan, anak-anak mereka diasingkan di sekolah dari bercampur dengan kanak-kanak lain malah ada yang ke sekolah hanya untuk mencuci tandas. Jika minum di kedai kopi, cawan yang digunakan perlu dibasuh sendiri. Brahmin dipandang mulia dan suci sehingga berjaya mengawal kehidupan manusia serta dianggap kasta terbaik. Jika dilihat dari sudut Islam, adakah ulama' berperanan sama seperti Brahmin? Tentunya tidak sebab ulama' hanya memainkan peranan sebagai pendakwah dan pakar rujuk jika berlaku ketidakfahaman dalam agama. Malah mereka bebas didekati dan disentuh bagi menguatkan persaudaraan sesama Islam. Seruan dan ajakan golongan ulama' pula tidak berbentuk paksaan tetapi ia pilihan diri sendiri samada mahu menerima atau tidak. Jadi, di manakah bukti kami terpaksa tunduk dengan golongan ulama'?



2. Beliau menyatakan kami mendewa-dewakan Imam besar dalam aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Apakah yang dimaksudkan dengan 'mendewa-dewakan'? Adakah ia merujuk kepada gambar yang digantung di dinding rumah dan disembah-sembah? Atau cara kami solat dan melakukan amalan lain mengikut garis panduan Imam ini? Setiap amalan atau disiplin dalam Islam digariskan oleh Imam ini berdasarkan Al Quran dan Sunnah yang dikaji secara halus bagi menepati apa yang diajar Rasulullah SAW. Imam Syafie misalnya berguru dengan beberapa tokoh Islam terkemuka, menganalisis ilmu yang diperolehi dan melakukan solat sunat sebelum setiap perkara diputuskan. Beliau tidak mereka-mereka dalam membina satu disiplin ilmu/mazhab. Setiap perkara ada dalil dan hujahnya berlandaskan Al Quran dan Hadith. Bagaimana pula jika saya bertanya adakah beliau mendewakan Karl Marx iaitu seorang pengasas ideologi Sosialis berdasarkan gambar beliau menziarahi kubur Karl Marx?



3. Beliau juga menyebut tentang penggunaan frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) bagi Rasululullah yang dikatakan kami mendewa-dewa kan baginda. Ingin saya nyatakan, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) kami sebut bukanlah bermakna kami mendewakan baginda tetapi bagi menunjukkan rasa cinta kami kepada Rasululullah insan mulia yang tidak pernah kami temui sepanjang hidup kami. Ungkapan ini melahirkan rasa cinta yang mendalam selain mengharapkan syafaat baginda di akhirat kelak. Jika hari ini, manusia sanggup membunuh diri kerana cinta, menoreh dan membuat tatoo nama pasangannya di lengan hanya kerana cinta. Adakah jika kami mengungkap frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) kami dianggap mendewakan beliau? Bukankah ia lebih mulia jika dibandingkan dengan tindakan membunuh diri, menyeksa badan dan lain-lain bagi menunjukkan rasa cinta kepada seseorang? Semoga Allah mengampuni beliau dan Rasululullah tidak lokek memberi syafaatnya kepada beliau di Masyar kelak.

4. Beliau menyatakan perempuan yang bertudung seolah tidak suci. Rambutnya terperap dan busuk. Jadi, mengapa pula beliau berseluar dalam dan berstokin? Memakai baju dan seluar? Tidakkah ia menghalang angin untuk masuk? Tidakkah ia busuk? Memetik pandangan seorang Ahli Falsafah Greek iaitu Zino; Ketentuan dalam sesuatu ciptaan Tuhan mengikut hukum 'The Law of Reason' dan 'Devine Reason'. Maksudnya setiap apa yang telah ditetapkan adalah mengikut hukum Tuhan. Manusia hanya berupaya meningkatkan martabat diri sekiranya menggunakan akal yang sempurna. Islam menyuruh wanita memakai tudung bagi menjamin kesucian wanita tersebut. Rambut wanita mampu menimbulkan fitnah dan meransang lelaki untuk mendekatinya. Contoh yang mudah, yang manakah tuan akan tertarik? Melihat wanita yang gugur rambutnya dan botak atau wanita yang mempunyai rambut blonde dan menawan? Pastinya tuan akan memilih wanita yang berambut blonde dan menawan kerana tarikan yang ada pada wanita tersebut iaitu rambutnya. Justeru, Islam mengajar umatnya menutup aurat bagi menjaga kesuciannya melainkan kepada suaminya. Adalah tidak adil jika hanya dilihat dari sudut saintifik kerana 'Devine Reason' adalah suatu yang hampir pasti mustahil untuk difikirkan manusia.



Saya berhujah dengan tidak menggunakan nas Al Quran kerana saya bukanlah pakar agama. Saya cuba untuk mengelak dari mengolah sesuatu perkara yang bukan dalam bidang saya. Juga tidak menggunakan hadith kerana secara jelas beliau tidak percaya kepada hadith. Apa yang pasti sebagai seorang Ahli Falsafah yang berfahaman sosialis, setiap kajian dan hujah yang beliau kemukakan berpandukan kepada pandangan Karl Marx yang terkenal dengan pandangan radikal dan merupakan pengasas ideologi komunis. Beliau menyatakan Tuan menolak hadith-hadith yang dikemukakan oleh ilmuwan Islam sebaliknya hanya berpegang secara total kepada al Quran. Berdasarkan hujah yang beliau berikan, tidak pula beliau memetik mana-mana ayat al Quran bagi menyokong hujah beliau. Apa yang jelas hanya kenyataan-kenyataan 'pandir' tanpa ada bukti yang kukuh. Beliau mungkin hebat dalam ilmu falsafah tetapi beliau tidak hebat dalam Ilmu agama. Justeru, elakkanlah diri daripada mengulas sesuatu perkara yang bukan kepakaran beliau. Jangan nanti beliau hanya dipandang sebagai 'Intelektual Pandir'. Bertaubatlah..

Thursday 6 February 2014

Masih Belum Terlewat


Dunia semakin pesat dengan saratnya teknologi canggih yang kadangkala tak pernah terjangkau dek akal manusia biasa. Begitu juga manusia. Berkejar-kejar mahu memajukan diri demi kelangsungan hidup yang masih samar kesudahannya. Namun, berpegang dengan prinsip 'Menuntut Ilmu Hingga Ke Liang Lahat' atau 'Belajar demi Masa Hadapan' menjadikan kita kuat dan terus melangkah meningkatkan ilmu pengetahuan. Setiap manusia telah ditentukan bahagian masing-masing. Bertuah kepada mereka yang dapat meneruskan pengajian pada usia muda tanpa perlu menggalas tanggungjawab berkeluarga atau bekerja. Mereka hanya perlu memberi sepenuh konsentrasi kepada ilmu yang dipelajari. Ia mengingatkan saya kepada seorang sahabat saya yang baru berumur 29 tahun dan kini berjaya memperolehi PhD di sebuah Universiti di Perancis. Sekarang Visiting Doctorate di Bouston University. Kejayaan yang digenggam dalam usia yang muda membuatkan saya merasa cemburu dan memasang angan-angan untuk berjaya seperti beliau. Bukan sahaja cemburu akan ilmu yang diperolehi tetapi sikap rendah diri, taat kepada ibu bapa dan suka membantu rakan-rakan menjadikan beliau sebagai idola dalam diam. Pernah satu ketika, saya buntu dalam mendapatkan bahan rujukan berkaitan bidang yang dipelajari lantas beliau menghulurkan tangan menghadiahkan buku itu dengan mengirimkannya dari Perancis. Satu nilai murni yang jarang diperolehi dalam dunia manusia hanya mementingkan diri sendiri hari ini.  

Tersentuh Melihat Semangat Pak Cik ini
Kepada mereka yang kurang bernasib baik kerana tidak dapat meneruskan pengajian ketika usia muda, saya melihat peluang menuntut ilmu setelah berkeluarga dan bekerja sebagai satu bonus kepada mereka. Hujahnya mereka telah berjaya 'menyelesaikan' sebahagian daripada tuntutan hidup dan hanya memerlukan sedikit pengorbanan untuk meningkatkan kemajuan diri. Pengalaman, kematangan serta sokongan isteri dan anak-anak menjadikan mereka mampu berdaya saing dan kuat untuk menempuh masa mendatang. Tiada istilah 'dah lewat untuk  belajar' atau 'otak sudah berkarat'. Ilmu terbentang luas di hadapan. Hanya perlu dikorek dan digali. Mari kita selami kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Hurairah seorang periwayat hadith yang masyur;


Abu Hurairah dilahirkan dari suku Daws di Yaman. Beliau merupakan seorang yang miskin dan hanya memeluk Islam setelah berumur 16 tahun dalam misi dakwah sahabat Rasulullah di Yaman. Beliau terus mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya dan tinggal di Yaman. Ketika umur telah mencecah 30 tahun, barulah beliau berhijrah ke Madinah untuk menuntut ilmu secara langsung dengan Rasulullah SAW. Atas faktor kemiskinan diri, beliau tinggal di Suffah iaitu satu tempat bernaung di belakang Masjid Nabawi yang diperuntukkan kepada kaum Muslimin yang miskin. Di sini, beliau hidup seharian dan sering mengikatkan perutnya dengan batu bagi menahan lapar dan dahaga semata-mata mahu mendekati Rasulullah SAW untuk menuntut ilmu. Beliau berasa malu kerana telah tertinggal selama 20 tahun dalam mempelajari ilmu dari Rasulullah SAW. Ditambah dengan faktor usia yang telah meningkat dan daya ingatan yang semakin lemah. Maka Abu Hurairah dengan sedih menemui Rasulullah SAW dan memohon agar Baginda mendoakan beliau supaya diberikan daya ingatan yang kuat. Rasulullah SAW menyuruhnya menanggalkan serbannya dan Rasulullah mendoakan beliau dan mengaminkan doa Abu Hurairah. Sejak itu, beliau tidak pernah sekalipun tidak bersama Rasulullah SAW samada dalam peperangan atau majlis ilmu dan mencatat setiap butiran permata hadith dari Rasulullah SAW. Abu Hurairah hanya sempat 3 tahun bersama Rasulullah SAW sebelum baginda wafat namun berkat usaha dan semangat beliau untuk menuntut ilmu, Abu Hurairah dicatat sejarah sebagai periwayat hadith terbanyak (5,375 buah hadith) mengatasi sahabat baginda yang terdahulu bersama Rasulullah SAW. Ketika Abu Hurairah gering, beliau pernah menangis dan berkata:

"Aku tidak menangis kerana dunia kalian. Aku menangis kerana sungguh panjang perjalananku selepas ini. Setelah ini aku akan naik yang pada Nya hanya ada syurga dan neraka dan aku tidak tahu aku berada di mana"

Subhanallah.. Betapa besar nikmat tuhan pada hambaNya. Ia menginsafkan saya dan menjadikan saya semakin berasa kerdil dan mengharapkan pertolongan Nya dalam melunaskan tuntutan ini. Moga sampai akhirnya nanti.

Wednesday 5 February 2014

Terkenal Di Langit


Weird di Mata Manusia Normal
Manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk dikenali ramai. Saban hari, mereka 'mencipta' sesuatu yang pelik dan janggal di mata masyarakat hanya untuk menarik perhatian orang ramai agar mengenali mereka . Buktinya jelas. Lihat sahaja di youtube, facebook, majalah, surat khabar dan medium lain akan ragam manusia seperti ini. Ada yang dikenali dengan kata-kata kesatnya, mimik muka ala gwiyomi, cara berpakaian yang menjolok mata, serba warna warni dan mewah, kontroversi dan gosip liar serta banyak lagi. Malah ia telah menjadi satu trend ikut-ikutan pada zaman ini.

Trend Remaja Jepun Bergambar Sambil Menjilat Tombol Pintu
Dalam dunia politik pula, ia merupakan satu 'lumrah' dan 'wajib' bagi golongan politician. Disiplin ilmu politik melihat populariti adalah satu perkara yang perlu bertujuan menarik sokongan pengundi kepada mereka. Hujahnya bagaimana mahu berkhidmat jika tidak dikenali? Saya membenarkan kenyataan ini seratus peratus. Populariti adalah penting.


Namun, yang menjadi masalahnya ialah cara atau method yang sering digunakan untuk meraih populariti. Ramai dikalangan mereka memilih jalan untuk mengaibkan seseorang. Mendedahkan setiap apa yang tersorok di dalam kain dan selimut bukan sahaja terhadap musuh politiknya malah turut melibatkan isteri dan anak-anak mereka. Ada juga yang memilih jalan mencipta kontroversi melibatkan hal keagamaan tanpa peka dengan sensitiviti masyarakat. Perlembagaan dan kedaulatan negara pula dicarik-carik seperti tiada nilai. Samada kita sedar atau tidak, ia menjadi satu perkara yang dibenarkan oleh mata dan telinga kita. Saya berpandangan, mereka bukanlah seorang yang buta ilmu, agama dan undang-undang tetapi ia dilakukan semata-mata mahu meraih populariti di kalangan rakyat. Mereka mahu dikenali sebagai 'wira' dan 'jaguh' kerana berjaya menundukkan musuh. Populariti dalam dunia politik membuatkan mereka buta.

 'Terkenal Di Langit'
Saya teringatkan satu kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Uwais al Qarni. Beliau adalah seorang pemuda yang disebut Rasulullah SAW sebagai 'Terkenal di Langit' tetapi tidak dikenali di bumi. Uwais al Qarni dilahirkan di Yaman dan hidup pada zaman Rasulullah SAW. Namun, beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah SAW. Beliau tinggal bersama ibunya yang uzur dan buta. Ibunya tidak mampu melakukan sebarang kerja dan hanya mengharapkan Uwais untuk membantunya. Selepas misi dakwah sahabat Rasulullah SAW tiba di Yaman, Uwais al Qarni terus memeluk Islam. Beliau mengamalkan ajaran Islam sebaiknya dan memendam hasrat untuk bertemu Rasulullah SAW yang amat dicintai. Namun, kondisi ibunya yang uzur dan bergantung harap kepada beliau membataskan keinginannya. Uwais al Qarni tersepit antara kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan ketaatan kepada ibunya. Hinggalah pada suatu hari ibunya yang tahu akan keinginannya mengizinkan pemergian Uwais al Qarni untuk bertemu Rasulullah SAW di Madinah. Maka Uwais al Qarni pun memulakan perjalanan dari Yaman ke Madinah (anggaran jarak perjalanan: 400 km) hanya dengan berjalan kaki demi cintanya terhadap Rasulullah SAW. Takdir Allah menentukan setibanya beliau di Madinah, Rasullah SAW tiada di Madinah. Beliau tidak berputus asa dan menunggu selama beberapa hari sehingga akhirnya terpaksa memutuskan untuk pulang ke Yaman bagi berbakti kepada Ibunya. Malikat Jibrail telah menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW bahawa Uwais al Qarni datang ke Madinah untuk bertemu baginda. Rasulullah SAW pun menceritakan kepada para sahabat mengenai Uwais dari sudut fizikalnya, amalannya dan menyuruh sahabat mencari Uwais al Qarni. Rasulullah SAW berpesan Uwais al Qarni merupakan 'Tabi'in' dan Terkenal di Langit kerana ketaatan beliau kepada ibunya dan kecintaan luar biasa kepada Rasulullah SAW. Uwais al Qarni juga merupakan seorang fakir yang pemurah. Rasulullah SAW berpesan agar sahabat mencari Uwais al Qarni dan memohon agar Uwais al Qarni mendokan mereka kerana doanya dimakbulkan Allah. Uwais al Qarni menjadi terkenal di Yaman dan Madinah selepas itu dan mahu diangkat sebagai pemimpin tetapi beliau menolaknya dan terus mengasingkan diri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mengikut catatan sejarah, solat malamnya amat lama dan amalannya yang lain amat luar biasa sekali. Masa berlalu sehinggalah Zaman pemerintahan Saidina Umar al Khatab, Uwais al Qarni  berjaya ditemukan. Maka Saidina Umar al Khatab memohon agar Uwais mendoakan beliau. Uwais al Qarni syahid dalam pada Perang Siffin pada era pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib.

Satu kisah yang membuat saya bermuhasabah diri dan bercita-cita ingin menjadi seperti Uwais al Qarni. Isteri tercinta Hanim pernah berkata "Saya tidak mendoakan abang untuk menjadi ahli politik dan terkenal". Kini saya sedar apa yang dimaksudkan. Tidak mengapa tidak popular di dunia, mudah-mudahan  menjadi 'Terkenal di Langit'. Insya- Allah

Tuesday 4 February 2014

'Hang Nadim'-Between the Line

Dunia menyaksikan satu persatu pemimpin negara dan organisasi antarabangsa tersungkur dalam keadaan yang memalukan. Samada kejatuhan atau pengunduran mereka dibuat secara sukarela atau dipaksa, ia menjadi titik hitam dalam diri mereka. Seolah-olah segala jasa dan pengorbanan mereka selama ini tidak lagi berharga di mata rakyat. Satu ketika, saya diajukan soalan oleh seorang sahabat yang cenderung untuk melibatkan diri dalam dunia politik. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Setiausaha UMNO Cawangan. Beliau bertanyakan saya bagaimana hendak naik dalam dunia politik dan apakah asas ilmu yang perlu ada untuk ke arah itu? Saya menjawabnya dengan nasihat supaya beliau mendalami ilmu politik dan AGAMA dengan sebaiknya. Dari riak wajahnya saya dapat rasakan beliau menganggap jawapan saya adalah satu yang common. Lantas saya huraikan satu persatu berdasarkan sedikit ilmu yang diperolehi melalui pengalaman dan pembacaan. Saya menyatakan politik berkisarkan 'kuasa' dan 'pengaruh'. Untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh, pastinya ia memerlukan 'wang' yang bertujuan untuk 'mempengaruhi' sokongan mereka kepada seseorang. Ia satu realiti yang pahit dan harus ditelan pada zaman ini kerana Zaman Rasulullah dan Khulafah ar Rasyidin telah lama meninggalkan kita. Jika dahulu, Rasulullah dan sahabat berjuang ikhlas kerana Allah, menginfakkan harta mereka ke jalan Allah, malah sanggup 'melepaskan' isteri tercinta untuk dikahwini sahabat-sahabat yang berjuang bersama mereka. Hatta Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al Khatab tidak pernah mengambil gajinya sebagai khalifah. Adakah ia berlaku di zaman ini? Pasti jawapannya TIDAK. 

Hakikatnya pada zaman ini, manusia berebut-rebut menjawat jawatan tertinggi untuk memenuhkan kantung mereka. Memerlukan wang bukanlah bermakna rasuah. Apa yang saya maksudkan beliau mesti mempunyai 'financial' yang kukuh. Contohnya, jika duduk minum bersama di kedai kopi dikelilingi penyokong-penyokong politik beliau, adakah wajar hanya mendiamkan diri dan menunggu bil dibayar oleh orang lain? Ia satu contoh yang simple tetapi realiti yang berlaku dalam dunia hari ini. Ia belum lagi termasuk kos-kos lain termasuk menyediakan sepanduk, poster, hotel dan banyak lagi. Maka tidak hairanlah ramai dikalangan insan yang berminat atau telah menyertai dunia politik memilih jalan yang salah semata-mata mahu kekal di dunia politik. 

Keduanya, jika berjaya naik ke atas dalam hiraki politik. Satu cabaran dan dugaan hebat sedang menanti di sini. Ia adalah 'Wang' dan 'Wanita'. Di sini sebenarnya ujian yang paling besar bagi seorang pemimpin. Ramai di kalangan pemimpin politik tumbang hanya kerana pengaruh dua perkara ini. Ia bukan satu perkara yang pelik kerana Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu pernah bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاء
 " Tidaklah aku tinggalkan suatu ujian yang lebih berat bagi laki-laki, melebihi (ujian terkait) wanita.
(Hadith Riwayat Bukhari)

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
“Sesungguhnya, dunia ini manis dan hijau. Allah menjadikan kalian sebagai pengatur di dalamnya secara turun temurun, lalu Dia melihat sikap kalian perbuat. Karena itu, berhati-hatilah kalian terhadap dunia, dan berhati-hatilah kalian terhadap wanita karena awal bencana yang menimpa Bani Israil adalah pada wanitanya.” (Hadits sahih; Hr. Muslim, no. 2742)

Di sini saya sertakan beberapa nama tokoh dunia yang tumbang kerana ujian ini:


1.Dominique Strauss Khann (Presiden Bank Dunia)
Pada bulan Mei 2011, karier politik beliau berakhir apabila pihak berkuasa Amerika Syarikat memfailkan tuduhan rogol ke atas beliau. Beliau didakwa merogol seorang pembantu hotel di New York. Ia diikuti dakwaan seorang penulis berbangsa Perancis yang turut mendakwa Dominique telah melakukan gangguan seksual ke atas dirinya. Selain itu, beliau juga disiasat kerana didapati terlibat dalam 'rogol berkumpulan' atau gang rape ke atas seorang wanita di sebuah hotel di Washington.


2. Bill Clinton (Presiden Amerika Syarikat)
Reputasi Amerika Syarikat goyah apabila skandal seks Presidennya Bill Clinton dan pembantunya Monica Lewinsky tersebar meluas. Walaupun beliau membuat penafian pada awalnya, namun bukti percakapan di telefon telah menjerat beliau dan akhirnya menjatuhkan reputasi beliau sebagai Presiden.


3. Silvio Berlusconi (Perdana Menteri Italy)
Beliau telah disabitkan dengan dakwaan menjalinkan hubungan sulit dengan penari kelab malam yang baru berumur 18 tahun iaitu Karima El Mahroug. Hubungan seks dilakukan di pejabat, kediaman rasmi Perdana Menteri sekaligus mengundang kemarahan rakyat kepada beliau.


4. Jeneral David Petraeus (Direktor Agensi Perisikan Pusat-CIA)
Jeneral David Petraeus didapati bersalah kerana terlibat dalam skandal seks bersama seorang penulis Buku Biografi 'All In: The Education of General David Petraeus' yang bernama Paula Broadwell. Beliau yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Direktor CIA bertaraf empat bintang terpaksa melepaskan jawatannya atas prinsip tanggungjawab yang tinggi terhadap organisasi.


5. Francois Hollande (Presiden Perancis 2014)
Beliau masih memegang jawatan Presiden Perancis sehingga sekarang. Beliau didakwa mempunyai skandal seks bersama seorang artis Julie Gayet. Skandal beliau ini telah tersebar luas dan pasangannya Valerie Trierweiler yang merupakan seorang journalist telah dimasukkan ke hospital akibat tekanan yang dihadapinya.


6. Hosni Mubarak (Presiden Mesir)
Digulingkan dalam satu gerakan protes rakyat Mesir kesan langsung Arab Spring. Antara sebab mengapa beliau ditumbangkan ialah isu rasuah yang berleluasa dan memiliki aset yang luar biasa sepanjang pemerintahannya.


7. Ferdinand Marcos (Presiden Filipina)
Hidup dalam pelarian setelah digulingkan rakyatnya yang marah atas tindakannya menggelapkan duit negara dan memiliki kekayaan yang luar biasa. Lebih malang, beliau ditumbangkan oleh seorang suri rumah bernama Corazon Aquino (isteri Benigno Aquino) yang akhirnya diangkat sebagai Presiden Filipina.

Tujuh orang tokoh di atas adalah sebahagian daripada ratusan mereka yang tumpas dengan ujian ini. Selain wanita, wang juga berperanan sebagai ujian besar buat mereka. Saban hari kita mendengar isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Benarlah apa yang Rasulullah ingatkan kepada kita sebagai umatnya. Ia berbalik kepada 2 perkara yang saya sebutkan pada awalnya; dalami ilmu politik dan agama sebaiknya kerana dengan mendalaminya kita tidak akan menjadi 'politician ikut-ikutan' dan  sentiasa dalam lingkungan garis panduan agama. Doa saya juga agar kita diselamatkan daripada 2 ujian ini apabila berjaya kelak.

Dari raut wajah beliau, hujah yang saya berikan dapat saya rasakan meyakinkan beliau. Beliau menggangguk setuju dan mengajukan 1 soalan kepada saya; So, kenapa pulak engkau belajar politik?.. Saya menyatakan tujuan saya belajar mendalami ilmu politik bukan untuk menjadi ahli politik tetapi saya bercita-cita ingin menjadi penasihat kepada ahli politik. Menegur apa yang salah, mencadangkan apa yang perlu. Walau bukan mufti, setidak-tidaknya menjadi 'Hang Nadim' kepada mereka. Beliau tersenyum tanda setuju..



Monday 3 February 2014

Niqab/Burqa

Saya tertarik dengan satu artikel daripada Harakahdaily yang memaparkan kisah seorang pilot/juruterbang wanita pertama di dunia yang berniqab. Kapten Shahnaz Laghari seorang pilot wanita kelahiran Pakistan dan merupakan pemegang Guiness Book of Record sebagai juruterbang pertama berniqab penuh ketika menerbangkan pesawat. Harakahdaily juga melaporkan beliau merupakan pejuang hak kemanusiaan khususnya dalam hal kewanitaan di Pakistan. Beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Pakistan pada tahun 2012 atas tiket Bebas. Selain aktif dalam pertubuhan Islam, beliau turut menunjukkan keperihatinan beliau terhadap golongan miskin di negaranya dengan membuka pusat pendidikan secara percuma dan pusat latihan menjahit.




Niqab atau juga disebut sebagai burqa (sehelai kain yang menutup bawah paras mata hingga ke leher) bagi wanita adalah satu identiti dan amalan kaum wanita Islam bagi menjaga kehormatan diri. Ia melambangkan kesucian Islam dalam menghormati wanita dan menjaga martabat kaum wanita. Namun, Barat seringkali mendakwa Niqab adalah satu cara melindungi identiti terorist dan ia bakal mengundang ancaman yang merbahaya kepada sesebuah negara jika dibenarkan pemakaiannya. Perancis misalnya, telah menguatkuasakan larangan pemakaian tudung bagi kanak-kanak perempuan Islam pada tahun 2004. Seterusnya pada tahun 2010, pemerintah Perancis telah meluluskan undang-undang larangan pemakaian niqab pula bagi kaum wanita di negara itu. Larangan ini dikuatkuasakan di bawah Prinsip Laicite iaitu satu undang-undang lama negara itu bagi mengekalkan identiti dan kebudayaan Perancis. Langkah ini dikecam oleh Amerika Syarikat dan Britain kerana dianggap mencabuli Hak Asasi Manusia.

Artikel 2, Universal Declaration of Human Rights (10 Dec 1945) menyatakan:
" Setiap manusia mempunyai hak dan kebebasan seperti yang diisytiharkan dalam deklarasi terkini dengan tiada perbezaan bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik atau sebarang pandangan atau sebarang keadaan lain".

Namun, ia tidak sedikit pun membuat pemerintah negara itu goyah akan tindakan mereka.  Minoriti Islam di negara itu terus ditindas dengan ancaman demi ancaman dari Sang Pemerintah. Niqab dilihat sebagai satu ancaman. Peliknya pada tahun 2014 Perancis telah menarik semula larangan pengguguran bayi dan membenarkan perkahwinan gay di negara itu. Ia sekaligus menaikkan kemarahan rakyat negara itu yang melihat langkah ini sebagai satu tindakan yang bodoh dan menjijikkan.Ia membuatkan saya merasa betapa hinanya manusia apabila matanya tidak dapat melihat kebenaran. Maka yang kotor dianggap suci. Niqab dianggap sebagai ancaman sedangkan perkahwinan gay dan pengguguran bayi diangkat sebagai satu perkara yang mulia. Astaghfirullah..
Firman Allah: 
"Katakanlah (wahai Muhammad). Inilah jalanku (agamaku). Aku dan orang yang mengikutiku, menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata."(Surah Yusuf: 108)







Silent Politician



Front Page Utusan Malaysia
Dunia politik kita hari ini tidak pernah sunyi daripada caci maki, fitnah memfitnah, berbohong, riak dan takbur oleh golongan ahli politik. Lebih teruk bilamana masyarakat kita tanpa membezakan susun lapis daripada ibu ayah hingga ke anak kecil seringkali disajikan dengan politik lucah yang sering ditayangkan secara percuma di dada akhbar atau di laman sosial. Oleh yang demikian, wujud tanggapan negatif masyarakat yang mengklasifikasikan politik adalah sesuatu yang kotor dan jijik. Namun begitu, masih ramai di luar sana bercita-cita dan menunggu 'wahyu' dari langit untuk diangkat sebagai ahli politik. Pelbagai bentuk strategi diatur. Ada yang mula berjinak-jinak mendekati dan menghimpit golongan ahli politik dan kuncu-kuncunya, ada yang cuba melonjak nama dengan mendedahkan sesuatu yang 'mustahil' dan 'pelik' untuk diterima akal masyarakat luar, malah ada yang sanggup menggadaikan maruah dengan menjadi 'wira' di dalam kain orang lain. Segala aib musuh didedahkan tanpa berasa malu dengan perbuatan mereka. Seolah mereka maksum di Padang Masyar sehingga Allah tidak pula membuka aib mereka sebagai balasan. Nauzubillah..

Perkuburan Baqi

Sejarah Islam pernah mencatatkan Saidina Uthman bin Affan RA merupakan seorang Khalifah Islam yang pendiam, lemah lembut, kuat bekerja dan paling kurang bertutur. Beliau digelar sebagai 'Zin Nurain' kerana memiliki dua cahaya iaitu mengahwini puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum selepas kewafatan Ruqayyah. Beliau juga merupakan seorang yang kaya raya sebelum dilantik sebagai khalifah dan sering menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Kehebatan beliau terserlah sehingga Islam berjaya menakluk Iran, Afghanistan, Afrika Utara, Ageria hingga ke Eropah ketika era pemerintahannya.  Beliau contoh seorang pemimpin politik yang pendiam tetapi hebat di zamannya.

Bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim

Hakikatnya, tidak semua ahli politik itu seperti yang sering dilabel masyarakat. Dalam kedasyatan perebutan kuasa yang berlaku, masih wujud sebilangan mereka yang pada hemat saya masih berprinsip dan layak menjadi pemimpin. Hal ini saya sandarkan kepada pengalaman saya mendekati mereka samada secara langsung atau melalui pembacaan dan sembang politik di kedai kopi. Antaranya ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Hj. Fadillah Yusuf. Saya mengenali beliau semasa bertugas di Sarawak satu ketika dahulu. Pernah bekerja secara bersama dan sepanjang tempoh itu, saya melihat keperibadian beliau sebagai satu yang 'rare' untuk ditemui pada zaman politik yang penuh pancaroba ini. Beliau tidak banyak bercakap tetapi tegas dalam menjalankan tugasnya. Ia juga mengingatkan saya kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Seorang yang lembut bila berbicara dan hanya melemparkan senyuman bila dicerca. Pernah satu ketika beliau 'dibuli' oleh segerombolan Menteri-menteri di Sarawak ketika Pilihan Raya Kecil Batang Ai satu ketika dahulu. Namun, ia tidak sedikit pun menaikkan kemarahan beliau malah beliau hanya tersenyum sehingga membuatkan mereka tersipu malu. Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz juga menarik perhatian saya. Sifat rendah diri dan zuhud dalam ketika beliau masih di atas menjadikan saya tertarik dengan keperibadian beliau. Benar seperti  yang sering diingatkan isteri saya kepada saya "keperibadian seseorang itu akan mencerminkan siapa dia sebenarnya". Ianya fakta yang hanya perlu dipraktikkan dalam diam tanpa perlu berbicara. Tidak perlu dicanang siapa aku sebenarnya? Aku adalah orang baik dan sebagainya..
Bersama Menteri Kerja Raya Datuk Hj. Fadillah Yusuf

Sifat Rendah Diri Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz
Walau apa pun  kondisinya, ia menjadikan saya berpegang teguh dengan prinsip 'Diam itu lebih baik daripada berkata-kata'. Saya semakin bermuhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih tunduk ke bumi. Seringkali berdoa agar dijadikan insan yang dijauhkan dari sifat riak, takbur dan sombong dan pengakhiran yang 'Husnul Khatimah'.Semoga ia diikuti oleh golongan elit politik di luar sana. Banyakkan diam dari caci mencaci dan kuat berusaha demi kepentingan rakyat. Kami impikan 'Silent Politician'.

Sunday 2 February 2014

Mengapa Aku Menulis?



Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Pena ini mula bertinta setelah sekian lama aku tinggalkan. Kesibukan dalam proses menyesuaikan diri di alam ilmu. Sedikit terasa gentarnya bila berhadapan dengan ujian demi ujian dalam komposisi gedung ilmu. Usaha dan kiriman doa dari keluarga InsyaAllah akan tercapai jua misiku. Kini ada sesuatu yang ingin aku kongsikan...Mengapa aku menulis?

Kisahku bukan sesuatu yang menarik untuk dipertontonkan. Jauh sekali untuk diangkat sebagai nobelist atau mendapat tempat di media masa. Seringkali aku ditanya mengapa aku menulis? Adakah ia masih relevan dalam dunia hari ini sibuk mengejar harta dan kekayaan? Mengapa perlu aku bertinta di dunia maya dan tidak memilih novel sebagai gelanggangnya?Aku punyai jawapan tersendiri. Hal ini mengingatkanku kepada 3 kisah yang memberiku keyakinan untuk terus menapak dalam dunia ini.



1. Selepas kewafatan Rasulullah yang kita cintai, Saidina Abu Bakar diangkat menjadi khalifah. Islam bersinar menerangi dunia ketika itu. Namun, apa yang menyedihkan seorang demi seorang sahabat terutama yang menghafaz Al Quran gugur di medan jihad. Situasi ini menimbulkan rasa gusar di hati sahabat terutama Saidina Umar al Khatab. Beliau mencadangkan agar AlQuran dikumpul dan ditulis semula. Cadangan beliau diterima dan akhirnya naskah Al Quran berjaya disusun dan ditulis semula hanya selepas kewafatan beliau iaitu pada zaman Khalifah Uthman bin Affan. Memang ini semua adalah takdir yang Allah tentukan untuk memelihara Al Quran hingga ke akhir zaman. Kerana 'penulisan' mereka maka wujudlah Al Quran Resam Uthmani seperti yang kita baca hari ini. Maka, bukankah ianya bermula dengan menulis?



2. Aku mengkagumi negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Karyanya 'Malay Dilemma' pernah mencetuskan kontroversi di bumi Malaya dan ia menarik minatku untuk mengenali beliau walau hanya di alam ilmu tanpa jasad. Ketika buku ini ditulis, beliau bukanlah seorang Perdana Menteri yang perlu disanjung ke sana ke mari. Beliau hanya seorang anak muda yang baru mengenal erti politik. Suatu yang memeranjatkan apabila beliau berani menyuarakan isi hati dan nasihatnya mengenai 13 Mei 1969 dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Beliau menulis bagaimana Tunku hakikatnya telah kehilangan sokongan orang Melayu. Satu persatu kesilapan Tunku 'ditinta' lantaran 'kegagalan' Tunku yang sedang sibuk menaruh nasib tanpa menyedari kiamat sedang membadai di luar jendela. Kerana utusan tangannya, Tun Mahathir dipecat daripada UMNO. Tetapi siapa sangka kerana tulisannya juga beliau akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia.



3. A. Samad Said bukan nama asing bagi masyarakat di bumi bertuah ini tetapi mungkin asing bagi diriku. Mana kan tidak, dalam zaman manusia berkaca mata hitam, berambut pacak, berseluar jeans, berkasut kulit, masih ada lagi insan seperti beliau yang hidup dalam kezuhudan seolah menolak dunia yang penuh dengan kepura-puraan. Beliaulah Sasterawan Negara..kehidupannya amat bersederhana. Terkadang aku merasakan sengaja beliau berwatakan sedemikian kerana untuk 'mendekati' dan 'mendalami' masyarakat sekeliling. Karyanya amat aku kagumi. Beliau pernah menyatakan “tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan fikirannya, penulis sebagai seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa saja yang meresapi atau menghayati karyanya.” Nah! Inilah jawapannya atas apa yang sedang aku lakukan. Menulis..



Selain itu, ramai tokoh ilmuwan dan agamawan yang menjadikan penulisan sebagai medium mereka menyampaikan ilmu, berdakwah selain mendekati masyarakat. Chedet.com-Tun Mahathir, universiti MKI-Prof. Kamil, Minda Tajdid-Prof, Madya Dr. Asri dan lain-lain. Mereka adalah insan hebat yang mencorak alam maya ini menjadi lebih manis dan indah dengan ilmu yang diperolehi. Lantas menggerakkan sendi-sendiku untuk menjadi seperti mereka. Insan hebat sering berkata "Untuk berjaya tidak perlu membuat sesuatu yang baru tetapi hanya meniru apa yang orang telah berjaya lakukan".



Kerjayaku bermula dengan menulis. Bersyukur kerana dengan hasil tanganku, sedikit sebanyak membantu 'mereka' mengetahui apa yang berlaku dalam ruang lingkup sosiologi masyarakat bawahan. Juga membuat 'mereka' berfikir bahawa dunia tidak semudah untuk digenggam. Namun, itu hanya satu kenangan indah yang banyak mengajarku erti kehidupan. Jatuh bangun dalam dunia moden kemaruk kuasa. Ada yang menyokong usaha ini ditokok dengan idea bernas yang memberiku nafas baru untuk terus menulis. Tak lupa ada juga yang menolak dengan alasan karyaku bukan fakta politik yang mampu mengisi benak pemikiran mereka sebagai rakyat. Bagiku mungkin mereka mengharap sesuatu yang 'weird' untuk mereka jaja bersandar kepada pengalamanku yang tak seberapa. Maafkan aku kerana aku bukanlah Edward Snowdan. Hidupku berprinsip dan sesekali tidak akan aku gadai apa yang aku miliki. Kini aku berjuang meneruskan kehidupan walau berbeda dunia. Aku terus menulis. Mungkin untuk tatapan A'isy, Ah Teck, A'sief, Aisya dan Arisy selepas ketiadaanku nanti. Mengapa aku menulis?-