Wednesday, 5 February 2014

Terkenal Di Langit


Weird di Mata Manusia Normal
Manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk dikenali ramai. Saban hari, mereka 'mencipta' sesuatu yang pelik dan janggal di mata masyarakat hanya untuk menarik perhatian orang ramai agar mengenali mereka . Buktinya jelas. Lihat sahaja di youtube, facebook, majalah, surat khabar dan medium lain akan ragam manusia seperti ini. Ada yang dikenali dengan kata-kata kesatnya, mimik muka ala gwiyomi, cara berpakaian yang menjolok mata, serba warna warni dan mewah, kontroversi dan gosip liar serta banyak lagi. Malah ia telah menjadi satu trend ikut-ikutan pada zaman ini.

Trend Remaja Jepun Bergambar Sambil Menjilat Tombol Pintu
Dalam dunia politik pula, ia merupakan satu 'lumrah' dan 'wajib' bagi golongan politician. Disiplin ilmu politik melihat populariti adalah satu perkara yang perlu bertujuan menarik sokongan pengundi kepada mereka. Hujahnya bagaimana mahu berkhidmat jika tidak dikenali? Saya membenarkan kenyataan ini seratus peratus. Populariti adalah penting.


Namun, yang menjadi masalahnya ialah cara atau method yang sering digunakan untuk meraih populariti. Ramai dikalangan mereka memilih jalan untuk mengaibkan seseorang. Mendedahkan setiap apa yang tersorok di dalam kain dan selimut bukan sahaja terhadap musuh politiknya malah turut melibatkan isteri dan anak-anak mereka. Ada juga yang memilih jalan mencipta kontroversi melibatkan hal keagamaan tanpa peka dengan sensitiviti masyarakat. Perlembagaan dan kedaulatan negara pula dicarik-carik seperti tiada nilai. Samada kita sedar atau tidak, ia menjadi satu perkara yang dibenarkan oleh mata dan telinga kita. Saya berpandangan, mereka bukanlah seorang yang buta ilmu, agama dan undang-undang tetapi ia dilakukan semata-mata mahu meraih populariti di kalangan rakyat. Mereka mahu dikenali sebagai 'wira' dan 'jaguh' kerana berjaya menundukkan musuh. Populariti dalam dunia politik membuatkan mereka buta.

 'Terkenal Di Langit'
Saya teringatkan satu kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Uwais al Qarni. Beliau adalah seorang pemuda yang disebut Rasulullah SAW sebagai 'Terkenal di Langit' tetapi tidak dikenali di bumi. Uwais al Qarni dilahirkan di Yaman dan hidup pada zaman Rasulullah SAW. Namun, beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah SAW. Beliau tinggal bersama ibunya yang uzur dan buta. Ibunya tidak mampu melakukan sebarang kerja dan hanya mengharapkan Uwais untuk membantunya. Selepas misi dakwah sahabat Rasulullah SAW tiba di Yaman, Uwais al Qarni terus memeluk Islam. Beliau mengamalkan ajaran Islam sebaiknya dan memendam hasrat untuk bertemu Rasulullah SAW yang amat dicintai. Namun, kondisi ibunya yang uzur dan bergantung harap kepada beliau membataskan keinginannya. Uwais al Qarni tersepit antara kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan ketaatan kepada ibunya. Hinggalah pada suatu hari ibunya yang tahu akan keinginannya mengizinkan pemergian Uwais al Qarni untuk bertemu Rasulullah SAW di Madinah. Maka Uwais al Qarni pun memulakan perjalanan dari Yaman ke Madinah (anggaran jarak perjalanan: 400 km) hanya dengan berjalan kaki demi cintanya terhadap Rasulullah SAW. Takdir Allah menentukan setibanya beliau di Madinah, Rasullah SAW tiada di Madinah. Beliau tidak berputus asa dan menunggu selama beberapa hari sehingga akhirnya terpaksa memutuskan untuk pulang ke Yaman bagi berbakti kepada Ibunya. Malikat Jibrail telah menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW bahawa Uwais al Qarni datang ke Madinah untuk bertemu baginda. Rasulullah SAW pun menceritakan kepada para sahabat mengenai Uwais dari sudut fizikalnya, amalannya dan menyuruh sahabat mencari Uwais al Qarni. Rasulullah SAW berpesan Uwais al Qarni merupakan 'Tabi'in' dan Terkenal di Langit kerana ketaatan beliau kepada ibunya dan kecintaan luar biasa kepada Rasulullah SAW. Uwais al Qarni juga merupakan seorang fakir yang pemurah. Rasulullah SAW berpesan agar sahabat mencari Uwais al Qarni dan memohon agar Uwais al Qarni mendokan mereka kerana doanya dimakbulkan Allah. Uwais al Qarni menjadi terkenal di Yaman dan Madinah selepas itu dan mahu diangkat sebagai pemimpin tetapi beliau menolaknya dan terus mengasingkan diri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mengikut catatan sejarah, solat malamnya amat lama dan amalannya yang lain amat luar biasa sekali. Masa berlalu sehinggalah Zaman pemerintahan Saidina Umar al Khatab, Uwais al Qarni  berjaya ditemukan. Maka Saidina Umar al Khatab memohon agar Uwais mendoakan beliau. Uwais al Qarni syahid dalam pada Perang Siffin pada era pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib.

Satu kisah yang membuat saya bermuhasabah diri dan bercita-cita ingin menjadi seperti Uwais al Qarni. Isteri tercinta Hanim pernah berkata "Saya tidak mendoakan abang untuk menjadi ahli politik dan terkenal". Kini saya sedar apa yang dimaksudkan. Tidak mengapa tidak popular di dunia, mudah-mudahan  menjadi 'Terkenal di Langit'. Insya- Allah

No comments:

Post a Comment