Tuesday 4 March 2014

'Politik Pembangunan'- Bumi Kenyalang

Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Perubahan Corak Kepimpinan

Sarawak berubah corak kepimpinannya apabila Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuat keputusan mengejut dengan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuatkuasa Febuari 2014. Jawatan yang disandangnya selama 33 tahun lantas meletakkan beliau sebagai Ketua Menteri paling lama di Malaysia dan mungkin di dunia. Dikalangan orang politik, beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Uban'. Beliau mula berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak pada era pentadbiran Perdana Menteri ke-3 iaitu Almarhum Datuk Seri Hussein Onn sehingga sekarang. Beliau menyerahkan tampuk pemerintahan kuasa kepada Tan Sri Adenan Satem. Tan Sri Adenan Satem merupakan satu nama yang tidak asing di Sarawak dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di peringkat negeri dan Pusat. Antara kejayaannya ialah pernah menjadi juara debat mengenai isu 'Tanah Adat' di Sarawak. Tanah Adat adalah isu utama di Sarawak selain pembangunan pada setiap kali pilihan raya di Sarawak. Sehingga kini, tiada formula tepat yang dapat diaplikasikan bagi menangani isu ini kerana ia amat kompleks serta berkaitan dengan adat resam masyarakat peribumi Sarawak. Maka tidak hairanlah 'juara' dalam isu tanah adat ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Walaupun Tan Sri Adenan Satem pernah menarik diri daripada jawatan Menteri Kabinet Persekutuan, namun takdir Allah menentukan beliau adalah insan yang paling layak untuk menerajui kepimpinan di Sarawak. Beliau mengenepikan dua tokoh lain iaitu Datuk Abang Johari Tun Openg dan Datuk Awang Tengah yang juga amat berpengaruh di Sarawak.



Ideologi 'Politik Pembangunan'

Senario politik di Sarawak adalah suatu yang unik dan sukar diramal oleh pengkaji politik di Semenanjung. Ini kerana Sarawak mengamalkan corak politik yang 'tertutup' dan 'berdiri atas kaki sendiri'. Tertutup di sini tidak bermaksud sempit dan naif tetapi ia bermaksud Sarawak mengamalkan pentadbiran politik secara berasingan dan tidak bergantung secara total kepada corak pemerintahan politik di Semenanjung. Jika di Semenanjung, parti dominan ialah UMNO selaku parti terbesar majoriti Melayu. Susun jalur dan kepimpinan parti UMNO ini akan menentukan hala tuju pantadbiran negara berdasarkan pelantikan kabinet Persekutuan. Sebaliknya di Sarawak parti terbesar ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Menariknya, PBB diterajui oleh gabungan beberapa kaum di Sarawak seperti Melayu, Melanau, Iban, Penan dan lain-lain. Formula perkongsian kuasa yang diamalkan dalam parti sejak dahulu masih relevan sehingga kini dan ia tidak terikat dengan amalan corak kepimpinan parti di Semenanjung. Lebih menarik Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden PBB adalah dari kaum Melanau iaitu satu kaum minoriti di Sarawak. Penggantinya Tan Sri Adenan Satem juga berbangsa Melanau. Sebagai sebuah parti dominan di Sarawak, PBB berpegang kepada idelogi 'Politik Pembangunan' sebagai matlamat utama parti. Ideologi ini telah berjaya menarik sokongan rakyat Sarawak kepada PBB pada setiap kali pilihan raya diadakan sehingga Sarawak dikategorikan sebagai deposit tetap kepada BN. Hal ini kerana rakyat Sarawak masih mengharapkan pembangunan daripada Kerajaan Negeri demi kelangsungan anak cucu mereka. Namun, seringkali dipersoalkan adakah 'Politik Pembangunan' ini berjaya khususnya di bawah pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun atau sebaliknya. Jika berjaya, mengapa masih wujud jurang kemiskinan yang ketara khususnya di kawasan pedalaman? Jika tidak berjaya, adakah 33 tahun masih tidak cukup untuk membangunkan Sarawak? Saya membenarkan telahan ahli akademik yang menyatakan Politik adalah "the art of the possible", iaitu suatu seni yang menandakan segala-galanya dapat dijayakan. Hanya beliau yang mengetahui cara dan corak yang hendak diperhalusi serta bagaimana mahu 'menghalalkan' segala tindakannya di mata rakyat.

Kritikan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Sebagai seorang Ketua Menteri, beliau tidak lari daripada kritikan-kritikan pihak luar dan pendesak. Antara isu yang sering diutarakan ialah skandal rasuah, empayar kekayaan luar biasa beliau dan keluarga, tempoh pemerintahan yang terlalu lama, pemilikan balak secara haram dan pencerobohan tanah adat bumiputera Sarawak. Namun, isu-isu ini tidak sedikit pun dilihat sebagai penghalang kepada beliau untuk terus menerajui tampuk pemerintahan di Sarawak. Beliau tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah goyah apabila diasak.

Bersama Tun Abdul Rahman Yakub

Pandangan Mantan Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak

Saya berkesempatan mendekati Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub. Beliau adalah bapa saudara kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau juga bertanggungjawab membawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke arena politik dan seterusnya menyerahkan kerusi Ketua Menteri Sarawak yang disandangnya kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Dikalangan rakyat Sarawak, 'Peristiwa Ming Court' pada tahun 1987 menjadi satu sejarah politik yang penting kepada Bumi Kenyalang. Ia bagi saya merupakan satu kisah yang menarik dan unik yang mencorak sistem politik di Sarawak sehingga hari ini. Tun Rahman berkongsi pengalaman beliau dengan saya bagaimana mentadbir Sarawak dan sukarnya mereka mencari formula untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di Sarawak. Menurut beliau, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan seorang yang 'genius' sejak dari kecil. Kesusahan keluarga menjadikan beliau rapat dengan Tun Rahman. Tun Rahman melihat Tan Sri Abdul Taib Mahmud berpotensi untuk menggantikan tempat beliau. Lantas beliau terus dilatih mendalami ilmu politik dengan menjawat jawatan penting diperingkat Persekutuan dan Negeri sejurus tamat pengajian dalam jurusan undang-undang. Firasat Tun Rahman  tepat, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya menjadi Arkitek Pembangunan di Sarawak selepas dilantik menjadi Ketua Menteri mengikut acuannya sendiri walaupun krisis Ming Court telah menjarakkan beliau dengan bapa saudaranya itu.

Tan Sri Adenan Satem

Masa Hadapan Sarawak

Secara peribadi, saya melihat pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri adalah tepat. Pengalaman beliau di peringkat Persekutuan dan Negeri menjadikan beliau lebih terkehadapan. Ia penting kerana sebagai sebahagian dari Malaysia, Sarawak perlu berhubung rapat dengan kepimpinan Pusat walaupun terpisah dengan faktor geografi. Oleh itu, pucuk pimpinannya perlu arif corak pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan bagaimana 'menyesuaikannya' dengan kepimpinan di Sarawak. Ia dilihat signifikan bagi mengekalkan saling bergantungan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan. Kepada yang telah berjasa; Terima Kasih atas jasa yang diberikan dan Selamat Bertahta di Singgahsana. Kepada yang baru dilantik: Kuatkan usaha dan jadikan amanah ini sebagai jariah bekalan untuk ke syurga..'Politik Pembangunan'-Bumi Kenyalang