Thursday 23 January 2014

Pemerdagangan Manusia



Profesionalisme kedoktoran tercalar apabila seorang doktor di China dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mencuri dan menjual bayi yang baru dilahirkan pesakitnya. Zhang Shuxia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati. Modus operandi jenayahnya dilakukan dengan memberitahu ibu bapa bayi berkenaan bahawa anak mereka telah mati atau atau ibunya menghidapi penyakit berbahaya yang boleh dijangkiti bayinya. Beliau seterusnya mengambil bayi berkenaan dan menjualnya kepada child traffickers. Sehingga beliau ditangkap, seramai tujuh orang bayi telah berjaya dijual.

Hal ini bukan satu perkara asing di Malaysia. Kes penyeludupan bayi pernah dilaporkan pada tahun 2012. Pihak polis telah berjaya menahan empat orang wanita termasuk seorang warga Singapura kerana menyeludup dua orang bayi yang berumur 22 hari dan 3 bulan. Mereka berjaya ditaham oleh sepasukan Polis Daerah Kelang Selatan di sebuah pusat membeli belah.


Laporan Pemerdagangan Manusia 2013 Amerika Syrikat menyebut Malaysia diletakkan di dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam isu pemerdagangan manusia . Kerajaan dikatakan tidak mematuhisepenuhnya piawaian minimum bagi penghapusan pemerdagangan orang. Hakikat sebenar yang berlaku di bumi bertuah ini dalam kesibukan kita mengejar kuasa!

Fakta yang sukar diterima oleh akal manusia normal namun ia berlaku di sekeliling kita. Bagaimana wang boleh membeli segala-galanya dan akhirnya menjerumuskan manusia ke lembah hina. Ia berlaku apabila manusia tidak 'redha' akan ketentuan tuhan. Anak kecil dijadikan barang dagangan persis anak patung yang dijual di jalanan. Berbagai alasan pantas direka bagi menghalalkan cara. Kesusahan hidup dan ingin membantu insan yang tidak mempunyai anak akan tetapi ia bukanlah hujah tepat bagi menukar bayi menjadi barang dagangan.

" Wahai manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) dari dirinya: dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.(Surah an Nisa'; ayat 1)

Sunday 12 January 2014

Gay dan Lesbian


Satu ketika kita digemparkan dengan perkahwinan sejenis seorang pelajar Malaysia tajaan Petronas di sebuah gereja bersama pasangannya seorang lelaki barat. Amat menjengkelkan apabila perkahwinan dilangsungkan lengkap dengan berbaju Melayu, sampin dan tengkolok. Lagak pendekar Melayu jati tetapi songsang. Fenomena ini semakin membimbangkan kita sebagai sebuah masyarakat normal.


Fenomena gay dan lesbian bukanlah satu perkara luar biasa di dunia yang sarat dengan kecanggihan teknologi kini. Tekanan demi tekanan yang dialami pemerintah di banyak negara menjadikan mereka semakin tertekan lantas tunduk atas desakan kaum sejenis ini. Lihat sahaja Amerika Syarikat. Pernah seketika, perkahwinan gay dan lesbian tidak dibenarkan di negara itu selaras dengan undang-undang negara. Namun, tekanan demi tekanan atas nama kebebasan hak asasi manusia, akhirnya pemerintah telah meluluskan dasar perkahwinan sesama jenis. Faktanya: sehingga Januari 2014 sebanyak 17 negeri di Amerika Syarikat telah mengiktiraf perkahwinan sejenis ini. Bertepatan dengan konsep pemerintahan Demokrasi Pluralisme negara Uncle Sam itu. Dalam Demokrasi Pluralisme, kerajaan kurang berfungsi terhadap kepentingan rakyat biasa sebaliknya menjalankan peranan sebagai memenuhi tuntutan golongan berpengaruh atau pendesak. Maka mendabik dada lah kaum ini atas kejayaan menundukkan si penguasa. Satu kejayaan bagi kaum Nabi Lut. Menanti azab Allah yang bakal menjelma..


Januari 2014, satu monumen dibina di Tel Aviv, Israel bagi memperingati gay dan lesbian yang menjadi mangsa pembunuhan kejam era Nazi. Betapa bodohnya manusia umpama haiwan bila bertuhankan nafsu..Ia bukan satu perkara yang baru kerana monumen yang sama telah dibina di Berlin, Jerman dan Amsterdam. Objektifnya hanya satu, sebagai memperingati mangsa pembunuhan gay dan lesbian yang tidak meneruskan hidup bagi menikmati saat indah bersama. Semasa pemerintahan Adolf Hitler, ribuan gay dan lesbian dihantar ke sebuah kem sekitar 1930-1940 dan Polis Rahsia Gestapo telah menahan 100,000 orang gay.


Al Quran menukilkan kisah kaum Lut yang merayu agar diserahkan tetamu berwajah tampan yang pada hakikatnya seorang malaikat untuk dilempiaskan nafsu jijik mereka. Lantas datang balasan Allah hingga lenyap mereka di muka bumi. Nauzubillah..' Dan prahara angin telah meruntuhkan negeri kaum Lut. Ia menimbuni negeri itu sebagai azab dengan puing-puing yang menimpanya'.(Surah al Qamar ayat 53-54).

Doa kita agar dijauhkan nasab keturunan kita dari tergolong dikalangan mereka. Ingatan buat diriku dan putera-puteriku.

R4BIA


Masih ingatkah kita tragedi Bumi Mesir berdarah? Siapakah yang menjadi dalang kepada kejatuhan Presiden Morsi? Rampasan kuasa tentera tatkala demokrasi sedang mekar di bumi anbiya' sehingga ulama' berselisih pendapat apakah darah rakyat dikira syahid atau sia-sia. Siapakah yang mengetuai serangan kudeta tatkala dahi umat Islam sedang sujud kepada Penciptanya? Beliau lah Jeneral Abdel Fattah al Sisi. Ketua Angkatan Tentera Mesir dan Menteri Pertahanan kepada Presiden Morsi.


BBC News melaporkan beliau kini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bertanding kerusi Presiden Mesir pada pilihan raya akan datang (tahun 2014). Beliau menyatakan akan menawarkan diri bertanding sekiranya mendapat mandat daripada tentera Mesir. Masa berlalu, tanpa perlu berselindung lagi, inilah jawapan mengapa Morsi digulingkan. Jeneral yang GILA KUASA! Hingga sanggup menggadaikan nyawa rakyat yang tidak berdosa. Masjid dan hospital dibakar. Nyawa manusia dipandang enteng bagai sampah. Kononnya atas nama keamanan dan keselamatan yang entah dimana kebenarannya. Paling tersentuh bilamana rampasan kuasa direstui Arab Saudi lantas disanggah Presiden Kesatuan Ulama' Sedunia, Prof. Dr. Yusuf al Qardawi. Allahuakbar! Dimanakah hilang kewarasan mereka?


Di Malaysia, anak muda sibuk memperagakan baju berlogo tangan R4bia. Berbondong-bondong mahasiswa kita kembali ke tanah air berikutan keadaan yang tidak selamat di sana. Masjid bergema mendoakan keselamatan saudara Islam kita di sana. Masihkah kita ingat saat itu?



Kini, tangan kotor itu sedang menjejak langit. Mahu diangkat sebagai Presiden. Demi 'keamanan' dan 'keselamatan' ciptaannya demi untuk nafsu diri mahu berkuasa. Moga Allah hancurkannya seperti Abrahah dan bala tenteranya. R4BIA-

Saturday 11 January 2014

Singa Neraka


Bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon dilaporkan telah meninggal dunia sebentar tadi selepas koma selama 8 tahun akibat penyakit stroke. Beliau berusia 85 tahun dan menghembuskan nafas terakhir di Sheba Medical Center.


Tidak perlu diperkenalkan kepada dunia siapa Ariel Sharon. Beliau adalah wira dan pejuang bangsa di mata rakyat Israel sehingga digelar 'The Lion of God' atau 'Singa Tuhan'. Hebatnya beliau hingga ramai rakyat Palastein disembelih hidup-hidup, anak tidak beribu-bapa, Isteri menjanda. Darah rakyat Palastein ditagih bagi menghalalkan bumi Israel bertapak di dalam peta dunia. Benarlah telahan al Quran, satu bangsa hebat yang angkuh dan sombong. Hebatnya dirimu wahai Singa Neraka.


Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Nikmat bernafas direnjat antara hidup dan mati. 8 tahun lamanya. Allahuakbar! Wahai tuhan, telah KAU Saksikan tangan-tangan najis yang mengotorkan agamaMu. Berikanlah balasan atas apa yang mereka lakukan. Berdirilah dirimu di sisi Firaun, Qarun dan Abu Jahal di pintu neraka wahai Singa Neraka!



.

Sunday 5 January 2014

Kuasa


Kehidupan manusia hari ini lebih berkisar kepada soal kuasa. Gila kuasa, Tamak Kuasa, Penyalahgunaan Kuasa antara istilah yang saban hari memenuhi setiap ruang pemikiran manusia. Akibatnya yang tidak berkuasa terus ditekan hingga tenggelam ke pasak bumi. Yang hilang kuasa pula meroyan sana dan sini tidak menerima hakikat yang diri tidak lagi empunya kuasa. Itulah dunia..tercipta khas untuk insan-insan yang berkuasa. Dalam dunia politik 'Kuasa' menjadi kiblat bagi mereka untuk 'menghalalkan' setiap tindakan. Kerajaan berusaha sedaya upaya mengekalkan kuasa manakala pembangkang pula mengerahkan setiap keringat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa menjadikan dunia kita penuh caci maki, fitnah memfitnah. Kuasa oh kuasa..

David Easton menterjemahkan kuasa sebagai satu kebolehan seseorang individu atau kumpulan, kebolehan ini menjelma apabila mereka mempengaruhi individu atau kumpulan lain untuk mengikuti kehendak mereka yang berkuasa. Terdapat 2 cara untuk mendapatkan kuasa iaitu melalui kekerasan dan tanpa kekerasan.


Lembaran sejarah tidak pernah berbohong. Gilakan kuasa dan menggunakan kekerasan untuk mendapatkannya telah meletakkan pemerintah tertinggi Kemboja iaitu Pol Pot sebagai antara manusia terkejam di dunia. Dengan hanya memerintah selama 3 tahun (1976-1979), seramai 3 juta rakyat Kemboja mati di tangannya. Satu contoh bilamana kekerasan digunakan hanya untuk mendapatkan kuasa. Nauzubillah..


Berbeza di Malaysia, sejak merdeka kita bergelut secara demokratik di bawah lingkungan perlembangan negara untuk mendapatkan kuasa. Pilihan raya berfungsi sebagai penentu jalan untuk mendapatkan kuasa. Bermakna kita memilih untuk mendapatkan kuasa secara tidak menggunakan kekerasan.

Yang memerintah berusaha mengekalkan kuasa dengan memenuhi kehendak rakyat lebih-lebih lagi tatkala gendang pilihan raya mula dipalu. Namun, terkadang leka dan lupa bila berkuasa hingga mencengkam dalam diam. Perut buncit sang pengampu terus dipenuhi, janji mega ditepati sebagai balasan atas talian hayat menyambung usia. Jatuh sakit, dirawat, pulih, sampai masanya sakit kembali. Lemahnya sifat manusia.. Di seberang sana pula mengerakkan segala ikhtiar hanya atas nama kuasa. Menabur janji itu dan ini untuk mengumpan rakyat persis menanam tebu di pinggir bibir. Terkadang bertindak melebihi garis norma perlembagaan yang dibenarkan. Kerana kuasa kita binasa. Kerana kuasa kita terus begini. Semuanya berkisar atas nama KUASA.

Saturday 4 January 2014

Firaun Sepet dan Berhidung Mancung


Harian Metro 4 Jan 2014 melaporkan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un telah menjatuhkan hukuman mati kepada bapa saudaranya. Hukuman kejam dijatuhkan dengan membogelkan dan memasukkan mangsa ke dalam tempat kurungan 120 ekor anjing liar yang sengaja tidak diberi makanan selama 3 hari untuk meratah mangsa hidup-hidup. Alasannya hanya kerana bapa saudaranya dianggap menentang kepimpinan beliau. Saya sendiri cuba menyelidiki kesahehan berita ini dengan merujuk di BBC News dan akhbar Hong Kong. Dapatan kajian saya menunjukkan terdapat percanggahan ketepatan maklumat yang diberi. Berita ini masih belum disahkan dengan tepat.

Walau apa pun kondisinya, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Firaun Moden telah lama dilahirkan. Lihat sahaja apa yang dilakukan di Syiria, Palastein dan negara Islam lain. Bibit sejarah kejam manusia akhir zaman persis Firaun telah lama bermula. Aduhai manusia, dimana letaknya nilai kasih sayang sesama kamu?


Kim Jong-un merupakan pemerintah tertinggi negara dan angkatan tentera Korea Utara. Beliau merupakan ' The Youngest Supreme Leader in the world'. Beliau baru berumur 31 tahun dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik. Beliau mengambil alih pemerintahan tertinggi Korea Utara selepas kematian bapanya Kim Jong Il yang merupakan ketua negara ketika itu. Jiwa muda tanpa pengalaman meletakkan beliau bertindak mengikut perasaan dan hawa nafsu tanpa akal yang waras tak ubah bagai Firaun bermata sepet. Kejamnya dunia..


Hal yang sama mirip Presiden Syiria, Basyar al Assad yang mempunyai latarbelakang doktor perubatan dipanggil pulang mengambil alih pemerintahan Syiria selepas kematian bapanya al Assad. Dilahirkan dalam kelompok minoriti tetapi berjaya menduduki tampuk pemerintahan tertinggi negara. Lagaknya bagai seorang pejuang Islam tetapi entah di mana Islamnya bila rakyatnya dibiarkan disembelih hidup-hidup. Kanak-kanak bergelimpangan bagai sampah diracun gas beracun. Sehingga kini, ribuan rakyatnya tersungkur di kaki Firaun ini lantas diinjak-injak. Hinanya harga diri ini di kakimu wahai Firaun. Bongkaknya dirimu persis Firaun Berhidung Mancung.


Nabi Musa pernah berdoa kepada Allah dek kerana gerunnya berhadapan dengan Firaun. Lantas Allah berikan kekuatan dan pertolongan kepada Nabi Musa sehingga terbenam di dasar Laut Mati.


Termenung seketika mendongak langit. Terfikir, betapa nikmatnya hidup di bumi bertuah ini. Alhamdulillah, Firaun mungkin hanya pada kisah dan gelarannya tetapi bukan realiti di sini. Setidak-tidaknya pena ini masih mampu bertinta tanpa rasa gerun kepada Firaun bermata sepet dan berhidung mancung.

Friday 3 January 2014

Jannatul Firdaus



Tanpa sedar, kita sedang meniti titian usang untuk ke seberang. Entah apa nasibnya. Terus mara atau terjatuh lantas lemas dihanyutkan arus. Jika dahulu, wayang politik hanya dimainkan oleh aktor dan aktres politik, namun kini tidak lagi. Berpusu-pusu kita untuk mendapat tempat di hati rakyat. Negara Demokrasi katanya.


Berundurnya Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah sebagai Perdana Menteri tidak sedikit pun meredakan kemarahan mereka. Berlalunya Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan tidak langsung menyedarkan kita. Perginya Ibu Segala Pilihan Raya tidak juga menamatkan virus perpecahan dikalangan umat. Jika dulu anak muda hanya mengenal politik 5 tahun sekali tatkala pilihan raya diadakan, namun sekarang tidak lagi. Mereka rancak berpolitik setiap saat,minit dan ketika. Malah aktor politik kian bertambah dari hari ke hari. Ulama' yang dahulunya disanjung tinggi turut terheret ke ke pentas politik. Ilmu yang ada dipancar menyuluh laluan sang penyamun. Ada juga menjadi aktor hero tamil dengan kenyataan yang menyimbah minyak ke api yang sedang membara. Fatwa diuli menjadi inti, hadith dan nas dilentur cantik buat menyenangkan mata sang raja. Apa difikir dosa dan pahala?


Ulama' terus berperang antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljamaah. Kini Wahabi pula. Ulama' sibuk mencanang politik halal dan haram. Kami terus keliru. Ya Allah dimana tempat kami mengadu?


Benar, ini dunia akhir zaman. Penuh dengan kekotoran dan kerosakan. Namun, kami anak yang baru belajar bertatih. Bimbinglah kami, pimpinlah kami agar kami tidak terjerumus ke lembah hina. Hendak diharapkan orang politik, kami sedar mereka sedang berpolitik. Entahkan ikhlas entahkan tidak. Hendak disandarkan kepada ilmuwan, ada pula yang layu menjadi kangkung. Tiada siapa yang kami harapkan, hanya ulama' sebagai tempat kami bergantung harap. Pimpinlah kami dengan ikhlas hati 'kerana Allah' dalam meniti titian usang ini. Moga sampai akhirnya ke JANNATUL FIRDAUS.

Wednesday 1 January 2014

Gelandangan


Sedang kita diulit mimpi bertilam empuk, masih ramai di luar sana yang terbujur kaku seketika di kaki lima. Tidur mereka tidak berbumbung, makan cukup sekadar menyambung nafas yang bersisa. Merenung matahari yang bersinar malap seakan tidak memberi erti buat mereka. Terkadang mereka dicemuh, dihina namun sedikit pun tak memberi kesan untuk merubah hari-hari mendatang. Inilah 'Gelandangan'..

Di bumi bertuah ini, nasib gelandangan terus mendapat tempat di hati masyarakat. NGO dan agensi kerajaan sering memberi perhatian kepada mereka. Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membantu mereka memulakan hidup baru sebagai masyarakat normal. Tempat tinggal sementara, makanan dan peluang pekerjaan disediakan buat mereka. Malangnya saban hari berlaku peningkatan dari sudut jumlah mereka. Apakah yang menyebabkan hal ini berlaku? Adakah kerana masyarakat Malaysia mudah menerima mereka dan terlalu pemurah sehingga mendorong mereka memilih jalan pintas sebegini? Atau memang nasib mereka tidak dipedulikan lantaran memilih untuk dihina masyarakat demi kelangsungan hidup. Rakyat di negara jiran berbondong-bondong ke sini untuk mengaut limpahan kekayaan bumi tercinta ini tetapi kita sendiri masih memilih untuk meminta-minta tanpa sedikit pun tenaga dikerah.

Seorang ahli falsafah Greek bernama Zeno (334-262s.m) pernah menyatakan " No single thing is so like another, so exactly its counterpart, as all of us are to one another....no one would be so like his own self as all men would be like all others." Falsafah ini menekankan manusia hanya akan sedar mengenai kesamaan antara mereka jika mereka menggunakan akal fikiran dengan betul. Maksudnya kita semua sama dari segi darjat. Fikirkan!


Jika di Jepun, gelandangan ditawarkan kerja untuk membersihkan sisa limpahan loji nuklear kesan tsunami yang melanda negara itu. Kerajaan Jepun menyediakan asrama, makanan dan gaji untuk mereka. Walaupun sesetangah pihak mendakwa ia satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana mempertaruhkan nyawa gelandangan terhadap radiasi nuklear. Namun, setidak-tidaknya mereka 'diajar' untuk bertanggungjawab dan tidak hidup meminta-minta. Bagaimana pula hal ini di Malaysia?

Islam mengajar kita sebagai umat supaya sentiasa prihatin terhadap fakir miskin tetapi Islam juga mengajar kita agar tidak meminta-minta. Hatta Rasulullah s.a.w sendiri berdoa agar digolongkan dikalangan orang miskin. Indahnya Islam..Nasib sesuatu kaum tidak akan berubah jika kita tidak merubahnya. Gelandangan, atur langkahmu, gerakkan sendimu, ubahlah hidupmu. Kami sentiasa bersama. Gelandangan-