Kehidupan manusia hari ini lebih berkisar kepada soal kuasa. Gila kuasa, Tamak Kuasa, Penyalahgunaan Kuasa antara istilah yang saban hari memenuhi setiap ruang pemikiran manusia. Akibatnya yang tidak berkuasa terus ditekan hingga tenggelam ke pasak bumi. Yang hilang kuasa pula meroyan sana dan sini tidak menerima hakikat yang diri tidak lagi empunya kuasa. Itulah dunia..tercipta khas untuk insan-insan yang berkuasa. Dalam dunia politik 'Kuasa' menjadi kiblat bagi mereka untuk 'menghalalkan' setiap tindakan. Kerajaan berusaha sedaya upaya mengekalkan kuasa manakala pembangkang pula mengerahkan setiap keringat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa menjadikan dunia kita penuh caci maki, fitnah memfitnah. Kuasa oh kuasa..
David Easton menterjemahkan kuasa sebagai satu kebolehan seseorang individu atau kumpulan, kebolehan ini menjelma apabila mereka mempengaruhi individu atau kumpulan lain untuk mengikuti kehendak mereka yang berkuasa. Terdapat 2 cara untuk mendapatkan kuasa iaitu melalui kekerasan dan tanpa kekerasan.
Lembaran sejarah tidak pernah berbohong. Gilakan kuasa dan menggunakan kekerasan untuk mendapatkannya telah meletakkan pemerintah tertinggi Kemboja iaitu Pol Pot sebagai antara manusia terkejam di dunia. Dengan hanya memerintah selama 3 tahun (1976-1979), seramai 3 juta rakyat Kemboja mati di tangannya. Satu contoh bilamana kekerasan digunakan hanya untuk mendapatkan kuasa. Nauzubillah..
Berbeza di Malaysia, sejak merdeka kita bergelut secara demokratik di bawah lingkungan perlembangan negara untuk mendapatkan kuasa. Pilihan raya berfungsi sebagai penentu jalan untuk mendapatkan kuasa. Bermakna kita memilih untuk mendapatkan kuasa secara tidak menggunakan kekerasan.
Yang memerintah berusaha mengekalkan kuasa dengan memenuhi kehendak rakyat lebih-lebih lagi tatkala gendang pilihan raya mula dipalu. Namun, terkadang leka dan lupa bila berkuasa hingga mencengkam dalam diam. Perut buncit sang pengampu terus dipenuhi, janji mega ditepati sebagai balasan atas talian hayat menyambung usia. Jatuh sakit, dirawat, pulih, sampai masanya sakit kembali. Lemahnya sifat manusia.. Di seberang sana pula mengerakkan segala ikhtiar hanya atas nama kuasa. Menabur janji itu dan ini untuk mengumpan rakyat persis menanam tebu di pinggir bibir. Terkadang bertindak melebihi garis norma perlembagaan yang dibenarkan. Kerana kuasa kita binasa. Kerana kuasa kita terus begini. Semuanya berkisar atas nama KUASA.
No comments:
Post a Comment