Saturday, 4 January 2014

Firaun Sepet dan Berhidung Mancung


Harian Metro 4 Jan 2014 melaporkan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un telah menjatuhkan hukuman mati kepada bapa saudaranya. Hukuman kejam dijatuhkan dengan membogelkan dan memasukkan mangsa ke dalam tempat kurungan 120 ekor anjing liar yang sengaja tidak diberi makanan selama 3 hari untuk meratah mangsa hidup-hidup. Alasannya hanya kerana bapa saudaranya dianggap menentang kepimpinan beliau. Saya sendiri cuba menyelidiki kesahehan berita ini dengan merujuk di BBC News dan akhbar Hong Kong. Dapatan kajian saya menunjukkan terdapat percanggahan ketepatan maklumat yang diberi. Berita ini masih belum disahkan dengan tepat.

Walau apa pun kondisinya, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Firaun Moden telah lama dilahirkan. Lihat sahaja apa yang dilakukan di Syiria, Palastein dan negara Islam lain. Bibit sejarah kejam manusia akhir zaman persis Firaun telah lama bermula. Aduhai manusia, dimana letaknya nilai kasih sayang sesama kamu?


Kim Jong-un merupakan pemerintah tertinggi negara dan angkatan tentera Korea Utara. Beliau merupakan ' The Youngest Supreme Leader in the world'. Beliau baru berumur 31 tahun dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik. Beliau mengambil alih pemerintahan tertinggi Korea Utara selepas kematian bapanya Kim Jong Il yang merupakan ketua negara ketika itu. Jiwa muda tanpa pengalaman meletakkan beliau bertindak mengikut perasaan dan hawa nafsu tanpa akal yang waras tak ubah bagai Firaun bermata sepet. Kejamnya dunia..


Hal yang sama mirip Presiden Syiria, Basyar al Assad yang mempunyai latarbelakang doktor perubatan dipanggil pulang mengambil alih pemerintahan Syiria selepas kematian bapanya al Assad. Dilahirkan dalam kelompok minoriti tetapi berjaya menduduki tampuk pemerintahan tertinggi negara. Lagaknya bagai seorang pejuang Islam tetapi entah di mana Islamnya bila rakyatnya dibiarkan disembelih hidup-hidup. Kanak-kanak bergelimpangan bagai sampah diracun gas beracun. Sehingga kini, ribuan rakyatnya tersungkur di kaki Firaun ini lantas diinjak-injak. Hinanya harga diri ini di kakimu wahai Firaun. Bongkaknya dirimu persis Firaun Berhidung Mancung.


Nabi Musa pernah berdoa kepada Allah dek kerana gerunnya berhadapan dengan Firaun. Lantas Allah berikan kekuatan dan pertolongan kepada Nabi Musa sehingga terbenam di dasar Laut Mati.


Termenung seketika mendongak langit. Terfikir, betapa nikmatnya hidup di bumi bertuah ini. Alhamdulillah, Firaun mungkin hanya pada kisah dan gelarannya tetapi bukan realiti di sini. Setidak-tidaknya pena ini masih mampu bertinta tanpa rasa gerun kepada Firaun bermata sepet dan berhidung mancung.

No comments:

Post a Comment