Sedang kita diulit mimpi bertilam empuk, masih ramai di luar sana yang terbujur kaku seketika di kaki lima. Tidur mereka tidak berbumbung, makan cukup sekadar menyambung nafas yang bersisa. Merenung matahari yang bersinar malap seakan tidak memberi erti buat mereka. Terkadang mereka dicemuh, dihina namun sedikit pun tak memberi kesan untuk merubah hari-hari mendatang. Inilah 'Gelandangan'..
Di bumi bertuah ini, nasib gelandangan terus mendapat tempat di hati masyarakat. NGO dan agensi kerajaan sering memberi perhatian kepada mereka. Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membantu mereka memulakan hidup baru sebagai masyarakat normal. Tempat tinggal sementara, makanan dan peluang pekerjaan disediakan buat mereka. Malangnya saban hari berlaku peningkatan dari sudut jumlah mereka. Apakah yang menyebabkan hal ini berlaku? Adakah kerana masyarakat Malaysia mudah menerima mereka dan terlalu pemurah sehingga mendorong mereka memilih jalan pintas sebegini? Atau memang nasib mereka tidak dipedulikan lantaran memilih untuk dihina masyarakat demi kelangsungan hidup. Rakyat di negara jiran berbondong-bondong ke sini untuk mengaut limpahan kekayaan bumi tercinta ini tetapi kita sendiri masih memilih untuk meminta-minta tanpa sedikit pun tenaga dikerah.
Seorang ahli falsafah Greek bernama Zeno (334-262s.m) pernah menyatakan " No single thing is so like another, so exactly its counterpart, as all of us are to one another....no one would be so like his own self as all men would be like all others." Falsafah ini menekankan manusia hanya akan sedar mengenai kesamaan antara mereka jika mereka menggunakan akal fikiran dengan betul. Maksudnya kita semua sama dari segi darjat. Fikirkan!
Jika di Jepun, gelandangan ditawarkan kerja untuk membersihkan sisa limpahan loji nuklear kesan tsunami yang melanda negara itu. Kerajaan Jepun menyediakan asrama, makanan dan gaji untuk mereka. Walaupun sesetangah pihak mendakwa ia satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana mempertaruhkan nyawa gelandangan terhadap radiasi nuklear. Namun, setidak-tidaknya mereka 'diajar' untuk bertanggungjawab dan tidak hidup meminta-minta. Bagaimana pula hal ini di Malaysia?
Islam mengajar kita sebagai umat supaya sentiasa prihatin terhadap fakir miskin tetapi Islam juga mengajar kita agar tidak meminta-minta. Hatta Rasulullah s.a.w sendiri berdoa agar digolongkan dikalangan orang miskin. Indahnya Islam..Nasib sesuatu kaum tidak akan berubah jika kita tidak merubahnya. Gelandangan, atur langkahmu, gerakkan sendimu, ubahlah hidupmu. Kami sentiasa bersama. Gelandangan-
No comments:
Post a Comment