Friday, 3 January 2014

Jannatul Firdaus



Tanpa sedar, kita sedang meniti titian usang untuk ke seberang. Entah apa nasibnya. Terus mara atau terjatuh lantas lemas dihanyutkan arus. Jika dahulu, wayang politik hanya dimainkan oleh aktor dan aktres politik, namun kini tidak lagi. Berpusu-pusu kita untuk mendapat tempat di hati rakyat. Negara Demokrasi katanya.


Berundurnya Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah sebagai Perdana Menteri tidak sedikit pun meredakan kemarahan mereka. Berlalunya Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan tidak langsung menyedarkan kita. Perginya Ibu Segala Pilihan Raya tidak juga menamatkan virus perpecahan dikalangan umat. Jika dulu anak muda hanya mengenal politik 5 tahun sekali tatkala pilihan raya diadakan, namun sekarang tidak lagi. Mereka rancak berpolitik setiap saat,minit dan ketika. Malah aktor politik kian bertambah dari hari ke hari. Ulama' yang dahulunya disanjung tinggi turut terheret ke ke pentas politik. Ilmu yang ada dipancar menyuluh laluan sang penyamun. Ada juga menjadi aktor hero tamil dengan kenyataan yang menyimbah minyak ke api yang sedang membara. Fatwa diuli menjadi inti, hadith dan nas dilentur cantik buat menyenangkan mata sang raja. Apa difikir dosa dan pahala?


Ulama' terus berperang antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljamaah. Kini Wahabi pula. Ulama' sibuk mencanang politik halal dan haram. Kami terus keliru. Ya Allah dimana tempat kami mengadu?


Benar, ini dunia akhir zaman. Penuh dengan kekotoran dan kerosakan. Namun, kami anak yang baru belajar bertatih. Bimbinglah kami, pimpinlah kami agar kami tidak terjerumus ke lembah hina. Hendak diharapkan orang politik, kami sedar mereka sedang berpolitik. Entahkan ikhlas entahkan tidak. Hendak disandarkan kepada ilmuwan, ada pula yang layu menjadi kangkung. Tiada siapa yang kami harapkan, hanya ulama' sebagai tempat kami bergantung harap. Pimpinlah kami dengan ikhlas hati 'kerana Allah' dalam meniti titian usang ini. Moga sampai akhirnya ke JANNATUL FIRDAUS.

No comments:

Post a Comment