Monday 25 August 2014

ISIS- Antara Fitnah Dunia dan Mengejar Syahid


BBC melaporkan seorang journalist warganegara Amerika bernama James Foley telah disembelih hidup-hidup oleh militan ISIS ( Islamic State of Iraq and Syiria). Ia sebagai peringatan kepada Amerika di atas campur tangan tentera mereka di Iraq dan Syiria. ISIS juga telah menawan askar Iraq dan penduduk kampung di sebuah pergunungan sebelum dibunuh dengan menembak ratusan tawanan di kepala. Pembunuhan kejam ini mendapat liputan meluas di akhbar antarabangsa dan laman sosial. Islamophobia kembali meniti di bibir masyarakat beragama Ktistian dan lain-lain. Islam dianggap keji dan jahat angkara tindakan kejam kumpulan militan ISIS ini. Ramai ulama' menyifatkan ISIS sebagai sesat dan khawarij. Lebih malang, semakin ramai diantara kita yang turut terjebak bersama ISIS semata-mata mahukan pahala syahid. Nauzubillah..


Aku terpana tatkala membaca berita dan menonton di youtube bagaimana ISIS membunuh tawanan mereka. "Ada sesuatu yang tidak kena", dalam fikiranku. Cara ISIS mengasari tawanan, menembak dan menyembelih mangsa, peralatan perang mereka dan banyak lagi membuatkan aku bertanya adakah ini satu propaganda? Lantas aku cuba jalankan 'research' secara sendirian. Aku berpegang kepada pesanan Ustaz Badlisyah dalan rancangan Ilmu dan Falsafah di tv al Hijrah. "Setiap ilmu yang disampaikan bukan untuk 'memecah kebuntuan' atau menganggap kitalah yang paling tepat. Cukup sekadar menyampaikan untuk manusia lain berfikir". Hasil carian, aku temukan 'lompong-lompong' yang mungkin ianya kebetulan atau 'terlupa' ditutup oleh Sang Munafik. Di sini aku rungkaikan satu-persatu untuk kita berfikir:


1. Seorang pengkaji Geopolitic dan penulis Majalah online “New Eastern Outlook” bernama Tony Cartalucci yang berpengakalan di Bangkok telah mendedahkan ISIS adalah 'satu kumpulan ciptaan Amerika Syarikat' dan individu kaya dari Persian Gulf iaitu Arab Saudi, Qatar dan Kuwait.

"The Islamic State of Iraq and Syria (ISIS), now threatening Baghdad, was funded for years by wealthy donors in Kuwait, Qatar, and Saudi Arabia, three U.S. allies that have dual agendas in the war on terror".-the Daily Beast

2. ISIS kini menguasai kawasan Utara Syria dan merentasi Utara dan Barat Iraq yang secara ' kebetulan' adalah kawasan yang dikawal dan dikuasai oleh Agensi Perisikan Amerika (CIA) sejak beberapa tahun dahulu. Soalannya: bagaimana sebuah kawasan yang diawasi rapat oleh CIA boleh dikuasai mudah oleh ISIS?


3. Akhbar the Telegraph bertarikh Mac 2013 dalam artikel bertajuk “US and Europe in ‘major airlift of arms to Syrian rebels through Zagreb" menyatakan sebanyak 3,000 tan senjata telah dimuatkan dalam 75 buah kapal terbang dibiayai oleh Arab Saudi atas arahan Amerika telah diterbangkan ke Syiria. The New York Times pula melaporkan “Arms Airlift to Syria Rebels Expands, With C.I.A. Aid,” dengan bantuan Arab Saudi dan Turkey selain membenarkan ratusan pendaratan di Jordan dan Turkey.

4. Mantan mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Asri Zainal Abidin dalam artikel terbarunya bertajuk 'London, ISIS dan Gaza' turut menyatakan rasa pelik bagaimana ISIS sebuah kumpulan yang tidak dikenali menjadi sebegitu kuat. Beliau juga menegaskan apa yang dilakukan ISIS bukan yang dituntut oleh Islam.


Mengapa Amerika 'berpura-pura' mahu memusnahkan ISIS dan apakah objektifnya adalah suatu yang sukar dirungkai. Ia sebuah perancangan dan muslihat yang dirancang rapi. Mungkin mahu menunjukkan kejahatan Islam di mata dunia, mungkin juga mahu menguasai tanah dan hasil bumi Iraq atau mahu memecah-belahkan kesatuan umat dan lainnya. Aku khuatir andai kita tersilap pilih antara 'jihad' atau 'mati katak'. Benarlah hadith Rasulullah:

Ya Allah berilah keberkatan kepada kami, pada Syam kami dan pada Yaman kami”. Para sahabat berkata “dan juga Najd (Iraq) kami?”. Beliau bersabda “disana muncul kegoncangan dan fitnah, dan disanalah akan muncul tanduk setan”

[Shahih Bukhari 2/33 no 1037]

Moga Allah selamatkan kita dari fitnah dunia. Leraikanlah segala kekusutan, penuhilah dada kami dengan ilmu agar dapat membezakan yang hak dan bathil agar dapat kami mengetuk pintu syurgaMu.

Friday 22 August 2014

Mengenang MH 17


Langit mendung seakan turut bersedih. Di kaca tv, media menyiarkan siaran langsung Majlis Istiadat Ketibaan Jenazah MH 17 dari Belanda di KLIA. Suasana suram menyelubungi waris mangsa dan seluruh rakyat Malaysia. Serba hitam, air mata tak henti tumpah menyekang pipi. Al Fatihah tak putus meniti di bibir buat sedekah, ucapan takziah dan pengutus semangat bertebaran di media sosial. 22 Ogos 2014- Malaysia Berkabung!


Khutbah Jumaat berkisar tentang perjalanan roh dan catatan di Luh Mahfuz. Kematian adalah satu ketentuan Allah yang sudahpun tertulis di Luh Mahfuz. Hatiku tersentuh. Entah apa takdir kematianku nanti. Bagi mereka, sudah tercatat permulaan perjalanan ke alam barzah mereka sedemikian rupa. Tak mampu kusekang air mata saat imam mendengarkan ayat ke 5 Surah al Fatihah
(إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ)
"Hanya Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan".

Sungguh! Kami mengharapkan pertolonganMu ya Allah.
Usai solat Jumaat, aku bersolat jenazah. Hadiah ikhlas dariku buat Allahyarham Hasni Hardi Parlan yang terbaring sepi dalam keranda dihadapanku. Membawa bersama sedekah kami menuju ke alam kekal abadi. Sebak ku rasa...


Aku terkesan dengan pemergian mereka. Insan mulia binasa angkara tangan kotor gilakan kuasa. Ke mana hilang akal nan waras, mengapa menepi sifat kasih sayang? Sesungguhnya kita tersepit antara kesombongan dan ketamakkan kuasa dunia. Kita terus terhimpit mencari siapa dalang tragedi ini. Moga tangan ini berupaya mengubah dunia 1 hari nanti. In Sha Allah..

Bersemadilah dengan tenang wahai sahabat. Terimalah sedekah kami agar Allah mengampunkan dosa-dosamu, buat meringankan siksaan, melapangkan kubur dan pembuka jalan untukmu ke Jannatul Firdaus kerana pasti kami jua akan menurutimu. Al fatihah-Mengenang MH 17-

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

(Surah al Luqman; 34)

Thursday 14 August 2014

Setahun Tragedi Raba'ah Adawiyah dan Kaitannya dengan Konflik Israel-Palastin


Masa berlalu pantas, hari ini 14 Ogos 2014 genap setahun tragedi pembunuhan beramai-ramai orang awam oleh kudeta Sisi di Dataran Raba'ah Adawiyah. Dilaporkan seramai 450 orang telah terbunuh ditembak peluru hidup kudeta al Sisi selain digempur mayat-mayat as syahid dengan jentolak. Tak cukup dengan itu, helikopter turut melepaskan tembakan dari udara seakan mereka yang di bawah itu pengganas bersenjata. Lebih malang, ambulan tidak dibenarkan masuk bagi merawat mereka yang tercedera dan mati. Mereka yang syahid adalah penyokong mantan Presiden Mesir dari Ikhwanul Muslimin, Morsi.


Peristiwa ini aku saksikan sendiri melalui youtube, al Jazeera dan media tempatan. Pada ketika itu, seluruh dunia Islam berasa terkejut dan bersedih atas tindakan tentera Mesir yang dikepalai Presiden Mesir sekarang, al Sisi. Sudahlah Morsi digulingkan secara haram, penyokongnya pula diperlakukan tak ubah seperti apa yang Israhell lakukan kepada Gaza. Ketika itu juga, seluruh masjid bergema dengan Qunut Nazilah dan kiriman doa kepada mereka di sana. Sungguh..air mataku bergenang saat itu.


Hatiku memberontak mencari jawapan mengapa tergamak seorang Islam bernama al Sisi sanggup berbunuhan sesama umat? Aku mengikuti forum isu Mesir di TV al Hijrah, membelek laporan-laporan antarabangsa. Ia ibarat sebuah puzzle. Aku kumpul dan cantumkan satu-persatu. Lalu aku temukan jawapannya dan sedikit ilmu 'Nujum Pak Belalang' yang ada padaku aku gunakan untuk meramal apakah kesudahannya. Aku rungkaikan di sini buat renungan kita bersama.


Siapakah Presiden Mesir Sekarang? Al Sisi adalah seorang arab Mesir yang berketurunan Yahudi di sebelah ibunya. Ia disahkan oleh seorang journalist Mesir dalam satu laporannya. Al Sisi juga ditawarkan loan sebanyak 1 juta dolar US oleh Arab Saudi untuk menggulingkan Presiden Morsi. Sebelum proses rampasan kuasa dilakukan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Agensi Perisikan Israel (Mosad) untuk membincangkan strategi yang perlu bagi menggulingkan Morsi. Selepas kejatuhan Morsi, aku meramal Al Sisi akan memegang kuasa Presiden dan sesuatu akan berlaku dalam dunia Islam. Ya benar! Telahanku tepat.


Al Sisi menang pilihan raya dan kini menjadi Presiden Mesir. Sejurus selepas kemenangannya, Arab Saudi menawarkan bantuan jutaan dollar kepada al Sisi sebagai 'reward' kerana berjaya menggulingkan Morsi. Lebih mengejutkan, Israel menawarkan 80 juta US Dollar kepada beliau untuk membangunkan semula Mesir. Israel berjanji akan melobi Amerika untuk memberi bantuan ketenteraan kepada Mesir dan berharap al Sisi dapat meyakinkan Abbas (pemimpin Palastin) dan Hamas bagi mengiktiraf negara Yahudi Israhell.


Justeru apa kaitannya dengan senario perang Israel-Palastin yang sedang berlangsung sekarang?. NGO Aman Palastin dan lain-lain dari Malaysia dan seluruh dunia 'tersangkut' di pintu masuk ke Palastin di Mesir sejak dari awal peperangan bermula bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Mereka disekat tentera Mesir dari masuk ke Gaza dari pintu Rafah kononnya atas faktor keselamatan sedangkan Mesir sengaja mahu melengah-lengahkan masa bantuan sampai ke Gaza. Membunuh dengan senyap!. Laporan di fb rasmi Aman Palastin pula menyatakan Kerajaan Mesir turut menghulurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan (yang telah berkulat dan tarikh luput). Astaghfirullah! Mereka sedang bermain wayang. Pura-pura membantu tetapi terus memberi tekanan kepada Palastin. Kini, Hamas dan Israel dalam Ganjatan Senjata 72 jam dan sedang berunding bagi menyelesaikan konflik. Walaupun berkali-kali rundingan diadakan, namun masih gagal mencapai kata putus. Dan selama itulah Palastin terus dibedil. Mengapa ia berlaku? Mungkinkah Mesir hanya berlakon menyelesaikan konflik Israel-Palastin?Apa mahu diselesaikan lagi andai Mesir si perantara sudah digenggam Israhell. Munafik bak musang berjanggut. Doaku moga Allah menghancurkan pakatan mereka. Aku berharap..

Hayatilah firman Allah:

"Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja"... - (Surah Toha, ayat 72)

Tuesday 12 August 2014

Dari Gaza Ayat-ayat Allah Berbicara (II)


Terasa canggung pula tatkala membelek semula artikel ' Dari Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara' yang telah aku upload 2 hari lepas. Masih banyak isi pokok yang belum aku lunaskan. Karamah benar-benar berlaku di Gaza. Lalu aku titipkan apa yang aku perolehi dari buku ini sebagai panduan kita bersama. Terjun ke dunia akademik, aku ditatih mencatat sebarang sumber rujukan agar penulisanku tidak lompong. Ya! aku praktikkan di sini. Ingin aku tegaskan, penulis buku ini menyatakan sumber maklumat yang diperolehi adalah melalui laporan wartawan al Jazeera, pasukan perubatan, saksi mata di tempat kejadian selain individu yang mengalaminya sendiri di Gaza. Rujuk lah jika perlu.


6. Al Quran Kekal Terpelihara

Seorang imam Masjid an Nur di Kampung Syaikh Ridhwan bernama Abu Ahid telah menceritakan dalam satu serangan Zionis ke atas masjid itu, hampir semua bangunan masjid itu rosak teruk. Zionis membedil masjid itu dengan jet pejuang F-16 yang memuntahkan roketnya. Anehnya, dikala semua bangunan masjid runtuh, al Quran masih terpelihara baik dan yang lebih menghairankan beberapa mushaf itu terbuka tepat di lembaran ayat tentang 'kemenangan' dan 'kesabaran' seperti dalam firman Allah " Dan Pasti akan Kami uji kamu dengan sesuatu ketakutan dan kelaparan"...(al Baqarah; 155)..Subhanallah! Ia benar-benar menggetar jiwaku.


7. Bersandar kepada 'Kekuatan Langit'

Mungkin diantara kita yang suka mengikuti perkembangan al Qassam di Palastin sering mendengar nama 'Abu Ubaidah'. Beliau adalah Komandan al Qassam dan sering menjadi jurucakap al Qassam dengan muka yang dilitupi kain merah. Pengalaman ini diceritakan sendiri olehnya.
Dalam satu misi Murabithun (pejuang yang menjaga perbatasan), mereka ditugaskan mengintip pergerakan kereta kebal Israel, menanam bom di dalam kereta kebal Israhell dan melakukan serangan hendap. Ketika malam hening, kereta kebal Israel melalui kawasan tersebut dan pejuang al Qassam dengan menagis menadah tangan berdoa " Ya Allah, turunkanlah pertolongan, gerakkan angin, tebarkan debu, mantapkanlah pasukan Mu dan kalahkan musuhMu". Secara tiba-tiba awan putih turun mengaburi mata askar Israhell. Lantas pejuang al Qassam masuk kedalam kereta kebal dan menanam bom di dalamnya dan berjaya keluar dengan selamat. Malam berganti siang, bom berjaya diletupkan dan membunuh 5 orang askar Israhell dan puluhan yang lain cedera. Benar! Pertolongan Allah telah sampai! Subhanallah.


8. Jumlah Kelahiran Luar Biasa Dalam 3 Minggu Serangan Israhell

Maklumat ini diperolehi secara langsung oleh jurucakap rasmi Hamas, Dr. Shami Abu Zuhri ketika mengunjungi Indonesia pada pertengahan tahun 2009. Ketika Israhell membedil Gaza berterusan selama 3 minggu, seramai 1,300 orang rakyat Palastin kebanyakkannya kanak-kanak elah terbunuh. Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai 3,500 orang bayi telah dilahirkan di Palastin hanya dalam tempoh 3 minggu serangan itu. Bermakna Allah menggantikan 1 orang yang syahid dengan 2-3 orang sebagai ganti. Masya Allah..Mungkinkah akan lahir 'Salahuddin al Ayubi' seperti dinanti?


9. Pasukan al Qassam Memakai Pakaian Putih

Hal ini diceritakan oleh seorang penulis dari Timur Gaza bernama Asyraf al Gafari melalui persaksiannya di Jabal Sharoni, Jabal Reish dan Jabal Kesyif. Satu ketika tentera Israhell melakukan penangkapan beramai-ramai sejumlah pemuda di rumah mereka di Grem. Dalam soal siasat yang dijalankan, tentera Israhell bertanya kepada mereka 'Apakah pakaian seragam al Qassam?". Mereka menjawab "al Qassam berpakaian serba hitam". Lantas tentera Israhell memukul mereka dan menempelak "al Qassam berpakaian putih!".

Dalam satu wawancara media dengan tentera Israhell. Seorang tentera Israhell menyatakan beliau menjadi buta kerana melihat seorang pemuda yang berpakaian serba putih dan melemparnya dengan segenggam debu.

Menurut Asyraf tentera Israhell berasa takut apabila tiba waktu malam kerana sering dibayangi 'tentera putih'. Sehingga kini, al Qassam sering dijoloki dengan nama ' Tentera Malaikat'. Sungguh! Ia kuasa tuhan yang yang maha Berkuasa!



Cukupkah setakat ini yang ingin aku nukilkan. Doaku agar kisah yang dipaparkan akan meningkatkan iman kita kepada Allah. Bukan untuk bermegah-megah, moga menjadi ilmu yang pahalanya mengalir mengisi bekalku di alam barzah nanti. Wassalam.


Catatan di Hari Lahir Anakandaku Muhammad A'sief yg ke-3,
12 Ogos 14, Segamat.

Sunday 10 August 2014

Dari Gaza Ayat-ayat Allah Berbicara


Di laman sosial gempar akan peristiwa-peristiwa pelik dan aneh yang sedang berlaku di Gaza saat ini. Pejuang al Qassam berjaya keluar dari terowong yang terkambus selepas 21 hari terperangkap kerana dibom oleh jet pejuang Israhell. Allahuakbar! Allah tidak pernah mungkir akan janjiNya. Cumanya aku berpendirian usahlah kita terlalu taksub dengan karamah yang berlaku hingga membuka ruang musuh menggarap skrip fitnah memesongkan akidah. Lihat sahaja apa yang terhidang di youtube, video kononnya Nabi Muhammad S.A.W menaiki kuda putih memintas peluru berpandu yang dilancarkan di Syiria. Astaghfirullah! Ia benar-benar menguji keimanan. Antara hak dan bathil, kebenaran dan fitnah dunia. Perlu dicarik sehelai demi sehelai agar tak terjerumus ke lembah dosa. Bagaimanakah nasib anak kita nanti? Mampukah mereka membezakan antara yang benar dan salah jika kita sendiri masih keliru. Sungguh! Aku takut dan bermuhasabah diri..


Mungkin terdetik di hati kita, mengapa Israhell masih belum dinyahkan dari muka bumi ini? Mengapa Palastin terus dibedil, kematian terus meningkat? Mengapa Allah masih belum menurunkan hukumannya ke atas yahudi Laknatullah hingga terkadang kita merasa putus asa? Persoalan -persoalan ini aku yakin pernah bermain di fikiran. Ingatlah! Hakikatnya kita sedang diuji Allah atas iman yang kita miliki. Sejauh mana kita percaya akan ayat-ayat Allah di dalam al Quran.


Lantas aku terpanggil untuk mencari jawapan apakah benar Palastin berjuang sendirian? Aku temukan sebuah buku " Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara" nukilan Muhammad Lili Nur Aulia. Benar! keramat telah berlaku di Gaza! Pertolongan Allah telah turun di sana!. Aku sisipkan di sini keajaiban yang pernah berlaku di Gaza tanda Allah sentiasa bersama hambaNya. Mungkin sesuatu yang boleh kita pelajari:


1. Darah masih mengalir walaupun setelah 2 minggu syahid

Seorang pejuang al Qassam, Yasir Ali Ukasyah gugur syahid setelah bertempur dengan tentera Zionis. Beliau berasal dari Mesir dan merupakan Hafiz al Quran. Setelah 2 minggu kematiannya, darah masih menitis dan kondisinya seperti orang yang sedang tertidur. Karamah ini menjadi kebanggaan tentera al Qassam dan menjadi isi khutbah Jumaat oleh khatib di masjid Gaza. Subhanallah! Berbahagialah wahai sahabat di alam sana!


2. Sujud syukur saat kematian anaknya.

Ummu Samir Ghazal, ibu kepada salah seorang pejuang Islam. Tatkala mendengar berita gugurnya si anak sebagai syahid, beliau terus sujud syukur kepada Allah. Menitimdi bibirnya "Anak-anak kami adalah para syuhada yang dengan izin Allah akan mendapat syurga yang kekal. Semoga anakku boleh memberikan syafaat kepadaku dan aku akan menemaninya di syurga". Betapa cekalnya hati seorang ibu..


3. Syahadah yang melencongkan roket.

Dalam satu pertempuran al Qassam dan Zionis, sebuah jet pejuang F-16 milik Zionis menghujani sekumpulan tentera al Qassam dengan roket yang terarah terus kepada mereka. Lantas, mereka mengucapkan 'asyahaduanlailahaillallah' tanda bersedia dengan kematian. Namun, secara tiba-tiba roket itu melencong 20 meter ke arah lain. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Mereka semua terselamat.


4. Batu dan pasir bertasbih

Seorang Murabith bernama Abu Mujahid menceritakan semasa beliau ditugaskan mengawal parit sempadan utara Gaza, beliau mendengar batu sedang mengintip pergerakan kereta kebal Israel. Terdengar suara yang bertasbih "Subhanallah" dan "Astaghfirullah". Beliau mengamati betul-betul dari mana datangnya suara itu sedangkan pada masa itu beliau hanya berseorangan. Ternyata, suara itu datang dari batu-batu dan pasir di sekelilingnya. MasyaAllah..


5. Jumlah penghafaz al Quran teramai.

Walau dalam kesempitan hidup dan kesengsaraan, menjadi satu trend kepada remaja Palastin untuk menghafaz al Quran. Dilaporkan pada tahun 2008, Hamas berjaya melahirkan 2,500 hafiz dan hafizah al Quran. Pada tahun 2009, seramai 3,500 lagi orang penghafaz al Quran berjaya dilahirkan dan jumlah ini terus meningkat sehingga sekarang. Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menyifatkan ia sebagai mukjizat Allah kepada warga Palastin.


Banyak lagi peristiwa aneh yang terkandung dalam buku ini tak dapat aku tinta kan di sini. Karamah tetap akan berlaku kerana ianya milik Allah. Tak usah kita mempertikaikannya. Moga bertambah kuat iman kita dan yakinlah pertolongan Allah sentiasa bersama mereka di Palastin hingga Israhell dihancurkan seperti kaum terdahulu.

"Tidurlah wahai anakku Aisya Humaira Hanim di pangkuan papa"
3.50 p.m; 10 Ogos 14, Segamat-

Wednesday 6 August 2014

Malaysia di Mata Israel



Gempak gempita seisi dunia memandang Malaysia bila Israel menuduh Malaysia melatih pejuang Hamas yang kini sedang bermati-matian demi mempertahankan tanah suci Palastin. Kononnya Malaysia melatih pasukan elit Hamas taktik berperang dan menculik tawanan. Entah apa permainannya hingga Malaysia sebuah negara kecil dilihat sebagai ancaman kepada dunia. Jika kerana sokongan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Palastin dijadikan sebab kenapa kita dituduh sedemikian, ingatlah wahai Israel! Tuduhanmu tidak sedikitpun menganjak pendirian kami.



Aku mengkaji dan mencari sebab mengapa mereka ini (kaum yahudi) tidak pernah belajar dari kesilapan. Mengapa perlu dicabar kuasa tuhan? Sedarkah mereka Allah memperincikan satu-persatu sifat dan balasan yang akan mereka perolehi? Malah, sejarah silam Bani Israel ini masih terpahat kukuh agar mereka sedar kesilapan mereka. Namun, mereka masih angkuh, bongkak dan terus melakukan kezaliman. Astaghfirullah..aku masih gagal mencari jawapan atas persoalan ini.



Tanpa sedar kita telah lama diperhatikan Israel. Benar! Mereka melihat kita sebagai ancaman. Buktinya, Malaysia pernah mengalami Krisis Ekonomi 1997 yang hampir menggadai harga sebuah negara bernama Malaysia ke tangan George Soros, seorang Billionaire berbangsa Yahudi. Kita hampir dikalahkan melalui kuasa ekonomi. Mujur, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir bijak membaca percaturan Soros dan akhirnya Soros berputih mata. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kita.



Pendirian teguh Malaysia bersama Palastin dan kelantangan pemimpin kita membidas Israel menyebabkan kita menjadi perhatian dunia. Malah tidak keterlaluan jika aku mengatakan kita lebih 'berani' berbanding negara Arab yang lain. Tun Mahathir dalam satu persidangan antarabangsa menempelak Yahudi Israel secara terang-terangan. Akibatnya beliau sendiri pernah disekat memasuki Israel. Terkini, blognya turut disekat kerana kritikan beliau terhadap Israel laknatullah.



Israel terus mengintai kita. Berhati-hatilah!. Israel menuduh pesawat MH 370 ini dipenuhi senjata dan sedang menuju ke Israel. Lantas Israel mengetatkan kawalan di semua pintu masuknya. Selain itu, wujud juga laporan menyatakan tragedi MH17 yang ditembak jatuh adalah satu perancangan Yahudi dalam menjayakan New World Order. Sejauh manakah kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui. Aku bukan penyiasat bertauliah mahupun perisik sehebat Central Intelligent Agency (CIA). Aku hanya mencari kebenaran melalui bacaan dan sedikit pertimbangan.



Hatiku berdesik ada sesuatu yang akan atau sedang direncanakan Israel terhadap kita. Jelas! mereka melihat kita sebagai satu ancaman dan pastinya mereka akan melakukan apa sahaja untuk menyambung hayat Israel di muka bumi ini. Doaku agar kita dijauhkan dari segala kejahatan dan malapetaka.



Ingatan buat diriku dan teman-teman; bersatulah kita dalam mempertahankan agama yang suci ini. Kepada berbaju hijau dan biru, bukan masanya untuk bermegah-megah dengan bintang-bintang di bahu mahupun pingat di dada. Kepada ahli politik dan pengampu politik, ini bukan masanya untuk mencari kontrak bagi mengisi perut yang buncit. Kepada alim ulama', kerahlah segala keringat dan ilmu yang ada untuk menyatukan umat ini. Bukan masanya untuk kafir-mengkafirkan sesama kamu. 'Panjangkanlah hayat dunia ini untuk anak cucu kita mengisi bekalan ke sana'.

Tuesday 15 July 2014

Gaza Menangis

Gaza menangis
Gaza menangis. Hari ini 17 Ramadhan 1435, sejarah Islam Perang Badar (17 Ramadhan 2H) berulang kembali. Seramai 186 orang rakyat Palastin gugur sebagai syuhada. Ratusan yang lain cedera parah, lumpuh dan menanti saat Malaikat Izrael datang menjemput. Anak kecil, ibu dan ayah yang tidak berdaya menjadi sasaran kerakusan Israel Laknatullah. Azan Maghrib saat berbuka disambut dengan letupan bom Israel. Bergembiralah wahai syuhada di syurga sana. Moga Allah anugerahi kami juga tempat yang sama di sisimu.

Arthur James Balfour
Aku tidak berniat untuk merungkai sejarah penindasan Israel ke atas Palastin. Ia suatu pengkisahan yang panjang. Buku dan kitab sudah sedia terhampar untuk kita fahami apa maksud tersirat di atas tragedi ini. Baca dan fahamilah. Sesungguhnya Palastin telah melalui sejarah penderitaan yang amat panjang. Ia bermula pada 2 November 1917 apabila Setiausaha Luar Britain, Arthur James Balfour menandatangani satu deklarasi 'membenarkan' pendudukan Yahudi di tanah mulia Palastin yang akhirnya membentuk sebuah negara bernama Israel. Deklarasi ini  dikenali sebagai ‘Balfour Declaration’. Surat berkenaan diserahkan kepada Baron Rothschild (Pemimpin Komuniti Yahudi British). 

Rothschild
Maka bermulalah pencerobohan Yahudi Israel ke tanah Palastin beransur-ansur sehingga sekarang. Persoalannya, apakah kuasa Britain untuk menyerahkan tanah negara orang lain kepada Israel? Contoh yang mudah; adakah Singapura punyai kuasa untuk mengagihkan tanah Malaysia kepada Amerika? Ia suatu teori mudah apabila kuasa Dominan mengatasi kuasa kecil. Fikir-fikirkan..

Anak Kecil Dibunuh
Hati hiba menanti apakah kesudahan penderitaan rakyat Palastin. Tidak cukup dengan bedilan roket dan serangan udara, darat dan laut, Israel kini sedang memuntahkan gas phosphorus ke atas saudara kita di sana. Sejenis asap kimia yang apabila terkena kulit mampu membakar hingga ke tulang. Senjata ini pernah digunakan tentera Amerika semasa Operasi Mark 77 di Falluja, Iraq. Ditambah pula dengan sejenis bom (DAIM) yang mampu membunuh dengan cepat atau mengakibatkan barah. Siapakah sasaran mereka? Rakyat Palastin yang tidak bersenjata. Benar kata Allah; “Dan telah kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam kitab itu; Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini sebanyak dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.”
(Al Israa’; ayat 4)

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu

Betapa azabnya mereka di sana. Allahuakbar! Akhirilah derita saudara kami di sana. Hancurkanlah Yahudi sebagaiman Engkau pernah menghancurkan Tentera Abrahah..

Anak-anak Palastin
Air mata bergenang saat doa dan Qunut Nazilah dipanjat, dadaku sebak tatkala melihat gambar anak kecil berlubang dadanya ditembusi peluru, sang ibu terkulai layu ditangisi anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Mereka saudara kami, mereka anak-anak kami. Peliharalah mereka ya Allah. Aku merenung sebuah hadith Rasulullah S.A.W:

“Segolongan dari umatku akan terus berada dalam kebenaran, mereka akan terus berjuang melawan orang yang memusuhi mereka. Mereka seperti bekas makan di antara para penyentapnya sampai Allah memutuskan (kemenangan bagi mereka) sementara dalam keadaan seperti itu. ‘Wahai Rasulullah, di mana mereka?’ “Mereka disekitar Baitul Maqdis”(Hadith Riwayat Ahmad)


“Ya Allah Kau berikanlah kemenangan kepada mujahidin di Palastin sebagaimana Kau berikan kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badar”. amin ya Rabbal alamin.


17 Ramadhan 1435h; Gaza Menangis

Tuesday 8 July 2014

Syahid Yang Berjalan di Muka Bumi

Apakah nilai perjuangan mereka?
Aku menjadi kaget dengan berita-berita mengenai kegiatan militan yang telah menular ke Malaysia. Penglibatan seorang pensyarah Universiti Malaya, bekas AJK Parti Islam Semalaya (PAS), Ustaz Lotfi Ariffin dan bekas ahli kumpulan Ukay's dalam aktiviti militan membuatku merenung jauh. ISIL (Islamic State of Iraq and the Levent), al Qaeda, Abu Sayyaf membuatku tertanya-tanya adakah perjuangan mereka selayaknya diangkat sebagai wira Islam bak gerombolan tentera Khalid Al Walid? Atau tak ubah seperti 'pengganas' sebagaimana yang dicanang Amerika dan sekutunya. Apakah sebenar yang dicari? Luput sudahkah nikmat dunia di mata mereka hingga rela terpisah nyawa dan badan. Aku berpendirian untuk  mendiamkan diri. Siapalah aku untuk menghakimi mereka jika ulama yang selaut ilmunya juga khilaf dalam memberikan jawapan. Hatta Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memutuskan apakah nilai perjuangan mereka. 

The Great Philosopher Sun Tzu

Bagiku, mereka memilih jalan tersendiri untuk berjihad bagi mengejar 'syahid' di jalan Allah. Aku percaya picu senjata tidak akan ditarik jika agama mereka tidak diinjak musuh. Ah! usah bicara soal keadilan jika yang memerintah hanya dungu mengikut telunjuk kuasa besar walaupun mereka sedar yang diinjak adalah saudara seagama mereka. Lihat saja apa yang berlaku di Iraq, Syiria, dan Mesir. Manusia semakin hilang kewarasannya. The Great Chinese Philosopher, Sun Tzu pernah mengingatkan " The greatest sytrategy is never having to fight". Tetapi malangnya mereka mencorak dunia dengan senjata sehingga Islam yang syumul dianggap kotor dan musuh utama. Maka usah disalahkan jika Islam bangkit menentang mereka. Janji Allah pasti datang. InsyaAllah..

Talhah bin Ubaidillah
Jauh aku menelusuri hingga akhirnya ia mengingatkanku kepada satu kisah seseorang yang dikatakan Rasulullah S.A.W sebagai "Syahid yang Berjalan di Muka Bumi". Insan mulia ini adalah Talhah bin Ubaidillah. Talhah merupakan salah seorang daripada 10  sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Beliau berumur muda 15 tahun daripada Rasulullah dan berasal dari bani yang sama dengan Abu Bakar al Siddiq. Hebatnya Talhah sehingga sanggup menggadaikan kekayaannya di jalan Allah. Beraninya Talhah sehingga terpalit 25 luka berdarah di badannya hanya untuk melindungi Rasulullah daripada mata pedang kaum  kafir dalam Perang uhud. Tingginya peribadi dan ilmunya hingga tergolong dalam kalangan sahabat yang mahu diangkat sebagai khalifah selepas kewafatan Saidina Umar al Khatab. Namun kerendahan hati menjadikan beliau menolak tawaran tersebut. Beliau gugur syahid dalam Perang Jamal ketika sedang mengingatkan kaum muslimin akan kebinasaan yang sedang mereka hadapi kerana berperang sesama sendiri. Maka tepatlah sabda rasulullah:  "Siapa yang ingin melihat ada seorang syahid yg masih hidup di muka bumi,maka lihatlah kepada Talhah Bin Ubaidillah."

Jihad
Jauh di sudut hatiku berdoa moga aku juga ditempatkan di tempat para syuhada. Walau tak mampu untuk keluar berjihad menentang musuh, cukuplah dengan ilmu yang dituntut. Bukankah Rasulullah S.A.W pernah bersabda; " Barangsiapa yang mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi".
11 Ramadhan 1435h.- Syahid yang Berjalan di Muka Bumi-