Dunia semakin pesat dengan saratnya teknologi canggih yang kadangkala tak pernah terjangkau dek akal manusia biasa. Begitu juga manusia. Berkejar-kejar mahu memajukan diri demi kelangsungan hidup yang masih samar kesudahannya. Namun, berpegang dengan prinsip 'Menuntut Ilmu Hingga Ke Liang Lahat' atau 'Belajar demi Masa Hadapan' menjadikan kita kuat dan terus melangkah meningkatkan ilmu pengetahuan. Setiap manusia telah ditentukan bahagian masing-masing. Bertuah kepada mereka yang dapat meneruskan pengajian pada usia muda tanpa perlu menggalas tanggungjawab berkeluarga atau bekerja. Mereka hanya perlu memberi sepenuh konsentrasi kepada ilmu yang dipelajari. Ia mengingatkan saya kepada seorang sahabat saya yang baru berumur 29 tahun dan kini berjaya memperolehi PhD di sebuah Universiti di Perancis. Sekarang Visiting Doctorate di Bouston University. Kejayaan yang digenggam dalam usia yang muda membuatkan saya merasa cemburu dan memasang angan-angan untuk berjaya seperti beliau. Bukan sahaja cemburu akan ilmu yang diperolehi tetapi sikap rendah diri, taat kepada ibu bapa dan suka membantu rakan-rakan menjadikan beliau sebagai idola dalam diam. Pernah satu ketika, saya buntu dalam mendapatkan bahan rujukan berkaitan bidang yang dipelajari lantas beliau menghulurkan tangan menghadiahkan buku itu dengan mengirimkannya dari Perancis. Satu nilai murni yang jarang diperolehi dalam dunia manusia hanya mementingkan diri sendiri hari ini.
Tersentuh Melihat Semangat Pak Cik ini |
Kepada mereka yang kurang bernasib baik kerana tidak dapat meneruskan pengajian ketika usia muda, saya melihat peluang menuntut ilmu setelah berkeluarga dan bekerja sebagai satu bonus kepada mereka. Hujahnya mereka telah berjaya 'menyelesaikan' sebahagian daripada tuntutan hidup dan hanya memerlukan sedikit pengorbanan untuk meningkatkan kemajuan diri. Pengalaman, kematangan serta sokongan isteri dan anak-anak menjadikan mereka mampu berdaya saing dan kuat untuk menempuh masa mendatang. Tiada istilah 'dah lewat untuk belajar' atau 'otak sudah berkarat'. Ilmu terbentang luas di hadapan. Hanya perlu dikorek dan digali. Mari kita selami kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Hurairah seorang periwayat hadith yang masyur;
Abu Hurairah dilahirkan dari suku Daws di Yaman. Beliau merupakan seorang yang miskin dan hanya memeluk Islam setelah berumur 16 tahun dalam misi dakwah sahabat Rasulullah di Yaman. Beliau terus mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya dan tinggal di Yaman. Ketika umur telah mencecah 30 tahun, barulah beliau berhijrah ke Madinah untuk menuntut ilmu secara langsung dengan Rasulullah SAW. Atas faktor kemiskinan diri, beliau tinggal di Suffah iaitu satu tempat bernaung di belakang Masjid Nabawi yang diperuntukkan kepada kaum Muslimin yang miskin. Di sini, beliau hidup seharian dan sering mengikatkan perutnya dengan batu bagi menahan lapar dan dahaga semata-mata mahu mendekati Rasulullah SAW untuk menuntut ilmu. Beliau berasa malu kerana telah tertinggal selama 20 tahun dalam mempelajari ilmu dari Rasulullah SAW. Ditambah dengan faktor usia yang telah meningkat dan daya ingatan yang semakin lemah. Maka Abu Hurairah dengan sedih menemui Rasulullah SAW dan memohon agar Baginda mendoakan beliau supaya diberikan daya ingatan yang kuat. Rasulullah SAW menyuruhnya menanggalkan serbannya dan Rasulullah mendoakan beliau dan mengaminkan doa Abu Hurairah. Sejak itu, beliau tidak pernah sekalipun tidak bersama Rasulullah SAW samada dalam peperangan atau majlis ilmu dan mencatat setiap butiran permata hadith dari Rasulullah SAW. Abu Hurairah hanya sempat 3 tahun bersama Rasulullah SAW sebelum baginda wafat namun berkat usaha dan semangat beliau untuk menuntut ilmu, Abu Hurairah dicatat sejarah sebagai periwayat hadith terbanyak (5,375 buah hadith) mengatasi sahabat baginda yang terdahulu bersama Rasulullah SAW. Ketika Abu Hurairah gering, beliau pernah menangis dan berkata:
"Aku tidak menangis kerana dunia kalian. Aku menangis kerana sungguh panjang perjalananku selepas ini. Setelah ini aku akan naik yang pada Nya hanya ada syurga dan neraka dan aku tidak tahu aku berada di mana"
Subhanallah.. Betapa besar nikmat tuhan pada hambaNya. Ia menginsafkan saya dan menjadikan saya semakin berasa kerdil dan mengharapkan pertolongan Nya dalam melunaskan tuntutan ini. Moga sampai akhirnya nanti.
No comments:
Post a Comment