Hati memberontak, perasaan bercampur marah dan geram dengan kenyataan seorang Intelektual Islam yang mahu dikenali sebagai Ahli Falsafah Melayu. Terkenal dengan jolokan 'Anti Hadith' iaitu satu gelaran yang diperolehi daripada hasil karyanya yang mempertikaikan kewajaran umat Islam hidup berpandukan hadith. Buku penulisannya pernah diharamkan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Beliau pernah memimpin sebuah parti berfahaman sosialis dan ditahan di di bawah ISA sekitar tahun 80 an. Kini dengan umur mencecah 80 tahun, skrip lama digarap kembali. Kononnya bagi menyuarakan pandangan yang telus tanpa meminta sebarang pujian. Itu ini mohon diperbetulkan tanpa melihat cacatnya diri sendiri, kotornya empunya badan bila agama suci diinjak-injak. Siapakah gerangan yang dimaksudkan? Sila rujuk ucapan biadab beliau di sini: http://kassimahmad.blogspot.com/
Beliau menyenaraikan kesilapan-kesilapan umat Islam pada zaman ini yang pada hemat saya satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Intelektual seperti beliau. Antara kenyataan beliau ialah:
1. Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran sebaliknya tunduk dengan ajaran 'Kasta Paderi' iaitu ulama'.
2. Umat Islam mendewa-dewakan Imam Besar dalam ajaran Ahli Sunnah Waljamaah iaitu Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795).
3. Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’.
4. Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! .
Sebagai seorang muslim, saya terpanggil untuk merujuk kepada beliau mengenai 4 perkara yang disebutkan di atas.
1. Beliau menyatakan umat Islam hari ini tunduk kepada 'Kasta Paderi' iaitu ungkapan yang merujuk kepada golongan ulama'. Islam tidak pernah membezakan darjat berdasarkan kedudukan seseorang. Yang membezakan seseorang muslim ialah tahap keimanan dan berapa banyak amalan yang dikumpul untuk dihitung di hadapan Allah nanti. Sejak sekian lama saya tidak pernah merasakan diri ini perlu atau terpaksa tunduk kepada golongan ulama'. Mereka hanya berperanan sebagai 'pembimbing' atau pewaris ilmu Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW untuk dikembangkan bagi menjamin kehidupan manusia yang lebih baik. Seruan atau ajakan mereka ke arah kebenaran adalah satu pilihan samada kita mahu atau tidak menerimanya. Jadi, di manakah hujahnya umat Islam hari ini tunduk kepada golongan ini? Di dalam agama Hindu memang wujud kasta yang meletakkan beberapa golongan dalam ketidaksamaan sosial. Kasta tertinggi disebut Brahmin (golongan agama), Kasta ke-2 disebut Ksyatriya (raja dan pahlawan), ke-3 Vaisya (peniaga dan petani), ke-4 Sudra (buruh). Terdapat satu golongan yang tidak boleh disentuh kerana dianggap tidak setara iaitu Pariyah atau dikenali sebagai 'Dalit'. Hinanya golongan Dalit ini sehingga terpaksa membuka selipar atau kasut jika lalu di perkampungan golongan atasan, anak-anak mereka diasingkan di sekolah dari bercampur dengan kanak-kanak lain malah ada yang ke sekolah hanya untuk mencuci tandas. Jika minum di kedai kopi, cawan yang digunakan perlu dibasuh sendiri. Brahmin dipandang mulia dan suci sehingga berjaya mengawal kehidupan manusia serta dianggap kasta terbaik. Jika dilihat dari sudut Islam, adakah ulama' berperanan sama seperti Brahmin? Tentunya tidak sebab ulama' hanya memainkan peranan sebagai pendakwah dan pakar rujuk jika berlaku ketidakfahaman dalam agama. Malah mereka bebas didekati dan disentuh bagi menguatkan persaudaraan sesama Islam. Seruan dan ajakan golongan ulama' pula tidak berbentuk paksaan tetapi ia pilihan diri sendiri samada mahu menerima atau tidak. Jadi, di manakah bukti kami terpaksa tunduk dengan golongan ulama'?
2. Beliau menyatakan kami mendewa-dewakan Imam besar dalam aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Apakah yang dimaksudkan dengan 'mendewa-dewakan'? Adakah ia merujuk kepada gambar yang digantung di dinding rumah dan disembah-sembah? Atau cara kami solat dan melakukan amalan lain mengikut garis panduan Imam ini? Setiap amalan atau disiplin dalam Islam digariskan oleh Imam ini berdasarkan Al Quran dan Sunnah yang dikaji secara halus bagi menepati apa yang diajar Rasulullah SAW. Imam Syafie misalnya berguru dengan beberapa tokoh Islam terkemuka, menganalisis ilmu yang diperolehi dan melakukan solat sunat sebelum setiap perkara diputuskan. Beliau tidak mereka-mereka dalam membina satu disiplin ilmu/mazhab. Setiap perkara ada dalil dan hujahnya berlandaskan Al Quran dan Hadith. Bagaimana pula jika saya bertanya adakah beliau mendewakan Karl Marx iaitu seorang pengasas ideologi Sosialis berdasarkan gambar beliau menziarahi kubur Karl Marx?
3. Beliau juga menyebut tentang penggunaan frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) bagi Rasululullah yang dikatakan kami mendewa-dewa kan baginda. Ingin saya nyatakan, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) kami sebut bukanlah bermakna kami mendewakan baginda tetapi bagi menunjukkan rasa cinta kami kepada Rasululullah insan mulia yang tidak pernah kami temui sepanjang hidup kami. Ungkapan ini melahirkan rasa cinta yang mendalam selain mengharapkan syafaat baginda di akhirat kelak. Jika hari ini, manusia sanggup membunuh diri kerana cinta, menoreh dan membuat tatoo nama pasangannya di lengan hanya kerana cinta. Adakah jika kami mengungkap frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) kami dianggap mendewakan beliau? Bukankah ia lebih mulia jika dibandingkan dengan tindakan membunuh diri, menyeksa badan dan lain-lain bagi menunjukkan rasa cinta kepada seseorang? Semoga Allah mengampuni beliau dan Rasululullah tidak lokek memberi syafaatnya kepada beliau di Masyar kelak.
4. Beliau menyatakan perempuan yang bertudung seolah tidak suci. Rambutnya terperap dan busuk. Jadi, mengapa pula beliau berseluar dalam dan berstokin? Memakai baju dan seluar? Tidakkah ia menghalang angin untuk masuk? Tidakkah ia busuk? Memetik pandangan seorang Ahli Falsafah Greek iaitu Zino; Ketentuan dalam sesuatu ciptaan Tuhan mengikut hukum 'The Law of Reason' dan 'Devine Reason'. Maksudnya setiap apa yang telah ditetapkan adalah mengikut hukum Tuhan. Manusia hanya berupaya meningkatkan martabat diri sekiranya menggunakan akal yang sempurna. Islam menyuruh wanita memakai tudung bagi menjamin kesucian wanita tersebut. Rambut wanita mampu menimbulkan fitnah dan meransang lelaki untuk mendekatinya. Contoh yang mudah, yang manakah tuan akan tertarik? Melihat wanita yang gugur rambutnya dan botak atau wanita yang mempunyai rambut blonde dan menawan? Pastinya tuan akan memilih wanita yang berambut blonde dan menawan kerana tarikan yang ada pada wanita tersebut iaitu rambutnya. Justeru, Islam mengajar umatnya menutup aurat bagi menjaga kesuciannya melainkan kepada suaminya. Adalah tidak adil jika hanya dilihat dari sudut saintifik kerana 'Devine Reason' adalah suatu yang hampir pasti mustahil untuk difikirkan manusia.
Saya berhujah dengan tidak menggunakan nas Al Quran kerana saya bukanlah pakar agama. Saya cuba untuk mengelak dari mengolah sesuatu perkara yang bukan dalam bidang saya. Juga tidak menggunakan hadith kerana secara jelas beliau tidak percaya kepada hadith. Apa yang pasti sebagai seorang Ahli Falsafah yang berfahaman sosialis, setiap kajian dan hujah yang beliau kemukakan berpandukan kepada pandangan Karl Marx yang terkenal dengan pandangan radikal dan merupakan pengasas ideologi komunis. Beliau menyatakan Tuan menolak hadith-hadith yang dikemukakan oleh ilmuwan Islam sebaliknya hanya berpegang secara total kepada al Quran. Berdasarkan hujah yang beliau berikan, tidak pula beliau memetik mana-mana ayat al Quran bagi menyokong hujah beliau. Apa yang jelas hanya kenyataan-kenyataan 'pandir' tanpa ada bukti yang kukuh. Beliau mungkin hebat dalam ilmu falsafah tetapi beliau tidak hebat dalam Ilmu agama. Justeru, elakkanlah diri daripada mengulas sesuatu perkara yang bukan kepakaran beliau. Jangan nanti beliau hanya dipandang sebagai 'Intelektual Pandir'. Bertaubatlah..
No comments:
Post a Comment