Thursday 25 July 2013

'UBAH' yang Mengubah Seseorang

Kajian terbaru UMcedel menyatakan slogan 'Ubah & Ini Kalilah' merupakan faktor mengapa pengundi di Parlimen Temerloh memilih calon PAS, Ustaz Nasarudin Tantawi pada PRU ke 13 selain daripada kebangkitan pengundi muda dan sokongan cina kepada pembangkang. Pengarah UMcedel, Prof. Datuk Mohammad Redzuan menjelaskan kajian awal sebelum PRU 13 menunjukkan sokongan pengundi cenderung 60% kepada calon BN, Datuk Saifudin Abdullah manakala calon PAS, Ustaz Nasarudin hanya mendapat kurang daripada 50% sokongan. Saya menyokong kenyataan ini tetapi punyai hujah tersendiri. Secara kebetulan, saya sempat mengenali dan mendekati kedua-dua pemimpin ini dalam tempoh masa yang berbeza.




Saya pernah bersua muka dan mengenali Datuk Saifudin ketika PRK Sibu, Sarawak yang lepas. Dari pandangan mata saya, beliau merupakan seorang yang mesra tetapi tegas dan berprinsip. Oleh sebab sifatnya yang 'berprinsip' ini, beliau seakan dipinggirkan oleh pemimpin UMNO yang lain. Kenyataan-kenyataan beliau berhubung isu BERSIH, pembelaan ke atas mahasiswa UUM berhubung isu 'Listen!Listen! dan teguran membina kepada kerajaan disalah tafsir seolah-olah beliau memihak kepada pembangkang. Dalam satu bual bicara di TV3 pada musim PRU 13 yang lalu, beliau menjelaskan perlunya pemimpin itu berprinsip dan berilmu selain menolak 'politik mengampu'. Dalam satu insiden, beliau sebagai Timb. Menteri Pengajian Tinggi dihalang masuk ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atas sebab tertentu.




Saya juga mengikuti perkembangan Ust. Nasarudin dalam ceramahnya di sekitar Rompin pada PRU ke 13 yang lalu.Orangnya lantang tetapi cukup merendah diri dari segi penampilannya. Beliau adalah individu pertama di kalangan pemimpin politik yang berani mengambil langkah mengisytiharkan harta. Pendapatan bulanannya hanya sekitar pendapatan seorang kerani kanan. Tagline 'Temerloh di Hati Kome' yang digunakan beliau juga berjaya merapatkan jurang antara beliau dengan rakyat. Kehidupan seharian secara bersahaja dan tiada protokol.

Pada pandangan saya, kedua-dua pemimpin ini adalah hebat tetapi yang membezakan mereka ialah siapa yang lebih rendah diri bersama rakyat. Slogan 'Ubah' hanya bantuan sokongan dan digunakan dalam kempen pembangkang di seluruh Malaysia. Pemimpin UMNO lebih dlihat sebagai parti 'orang atasan'. Maka dengan ini 'Ubah' berjaya mengubah seseorang. Sekian.

No comments:

Post a Comment