Tuesday, 6 August 2013

Manusia Semakin Gila

Semalam kita dikejutkan dengan berita cubaan merampas kuasa dan menggulingkan Yang Dipertuan Agong di Istana Negara. Sekumpulan lelaki dan dua orang perempuan lengkap berpakaian hitam mendakwa mereka utusan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara.
Berita sebegini bukan suatu yang menghairankan kerana sebelum ini Insiden Lahad Datu yang mempunyai motif yang sama telah mengambil tempat. Pernahkah kita terfikir apa motif sebenar mereka?



Hakikat yang perlu kita tahu, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi dan mengamalkan sistem politik yang stabil. Pemimpin negara kita sentiasa mengambil jalan diplomatik dengan negara luar dalam menyelesaikan setiap masalah yang menimbulkan ketegangan antara dua negara asing sehingga kadang-kadang dikutuk kerana terlalu berlembut. Kesannya, kita sentiasa 'terselamat' dari ancaman luar dan dalam negara. Lihat sahaja negara luar disekeliling kita seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand semuanya pernah bergolak hebat sehingga menggugat kestabilan politik negara mereka. Atas faktor ini, Malaysia 'dicemburui' mereka. Dahulunya saya berfikiran seperti orang lain. Apa yang hendak ditakutkan dengan mereka, angkat sahaja senjata, kerahkan saja prajurit kita ke medan tempur. Namun, semakin matang diri ditambah sedikit pengetahuan dan pengalaman, kini saya sedar apa yang sedang pemimpin kita lakukan. Peperangan tidak akan menyelesaikan masalah. Iraq, Libya, Mesir dan negara lain boleh dijadikan panduan. Kita sedang meniti satu jurang yang dalam. Berjaya bermakna hidup, tergelincir bermakna mati. Pemimpin kita adalah 'Tali' nya. Berhati-hatilah. Mereka sedang mengintai kita..

Monday, 5 August 2013

Mesir, Malaysia dan Nikmat Keamanan



Seluruh dunia gempita bila diwarwarkan Presiden Morsi al Hafiz digulingkan. Syiah dan Sunni terus berbalah menegakkan keadilan mengikut acuan dan fahaman masing-masing. Ramadhan tidak lagi dipandang mulia, nafsu dan kemaruk berkuasa terus dijadikan matlamat utama. Mesir yang dulunya dikenali sebagai sebuah negara yang hebat tamadunnya kini hanya sebuah gelanggang perang. Hosni Mubarak telah digulingkan, Morsi dilantik melalui proses pilihan raya, namun sehingga kini Mesir masih mencari rentak kedamaian. Dimanakah silapnya?

Faktanya: Mesir sejak sekian lama diperintah oleh golongan Pegawai Tinggi Tentera yang mendapat kuasa melalui rampasan kuasa. Anwar Sadad adalah seorang pegawai tentera, Hosni Mubarak juga merupakan bekas pegawai tentera udara Mesir. Secara total, dapat dilihat Mesir tidak mencapai status demokrasi seperti Malaysia tetapi lebih bercorak totalitarian. Kesannya, walaupun Morsi dilantik secara rasmi melalui proses pilihan raya, namun peranan tentera tidak dapat dinafikan dalam menggulingkan kerajaan. Pilihan raya hanya sebagai auta sang saka hijau untuk mengaburi mata rakyatnya. Kemaruk berkuasa tetap melekat di hati mereka.

Berbeza dengan Malaysia yang merupakan sebuah negara demokrasi berpalimen dan raja berpelembagaan. Kita masih tergolong dalam status negara sedang membangun. Namun, kita berada sedikit kehadapan dari Mesir dalam struktur politik tempatan. Pemilihan pemimpin utama negara tetap tertakluk kepada proses pilihan raya. Tidak sesekali pernah berlaku rampasan kuasa seperi negara luar. Struktur Angkatan Tentera Malaysia juga lebih teratur. Taat setia sepenuhnya diberi kepada Yang Di Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi negara dan bukan kepada Perdana Menteri. Ia menyukarkan sebarang rampasan kuasa berlaku. ATM lebih bersifat neutral dalam politik. Namun, terkadang kita cuba meniru rentak mereka walaupun kita sendiri tidak pasti apakah kesudahannya.

Kini, kita sedang berada di hadapan mereka. Jawapannya ada pada tangan kita. Adakah kita mahu seperti mereka?

Thursday, 1 August 2013

Rasulullah

Perasaan bercamput baur saat berakhirnya Ramadhan. Seakan Ramadhan terakhir buatku sebelum menuju ke alam kekal. Tiada sedikit pun rasa taksub akan Aidilfitri yang bakal menyusul. Sekadar memenuhi tuntutan agama; Aidilfitri bulan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa. Alhamdulillah aku panjatkan.
Hati tersentuh bila teringatkan insan mulia Rasulullah s.a.w.



Cinta dan rindu kepada insan ini tak tertahan dek hati yang kotor. Setiap malam berdoa agar dipertemukan dengan Rasulullah walaupun hanya dalam mimpi. Namun, hampa masih tak kunjung tiba. Sedar dan insaf atas segala kekurangan. Moga Rasulullah memberi syafaatnya padaku di Masyar kelak. Moga serban baginda memberatkan neraca timbangan ku kelak. Amin..Cinta Rasulullah-

Gun & Roses



Saban hari kita terbaca di dada akhbar berbagai kes pembunuhan dilaporkan. Terbaru, masyarakat disajikan dengan insiden tembak-menembak di sana-sini. Satu situasi yang cukup menggerunkan. Hidup seakan beraksi di pentas Hollywood, bebas melepaskan tembakan di mana-mana. Memetik skrip sebuah filem gangster tempatan 'Lu Langsi Lu Mati'. Apakah kesudahannya tanah tumpah darahku...

S aban tahun, kekuatan anggota keselamatan dipertingkat disamping dilengkapi dengan alatan canggih, namun ia masih gagal meyakinkan kita bahawa kita sedang berada di zon selamat. Justeru, siapa yang harus dipersalahkan? Apakah mekanisme terbaik membanteras jenayah ini daripada berleluasa?

Secara peribadi saya menyokong kenyataan Ketua Polis Negara bahawa jenayah ini mungkin berpunca daripada penyeludupan senjata secara haram di sempadan. Faktanya; Malaysia bukan negara pengeksport senjata seperti Amerika dan Rusia. Kemasukan senjata ke dalam negara untuk tujuan keselamatan adalah melalui saluran undang-undang yang sah. Lalu, bagaimana senjata ini masih boleh digunakan secara illegal? Sudah pasti ada tangan-tangan kotor yang membawanya masuk secara haram. Maka berdirilah kita antara 'Gun & Roses'. Kecelakaan & Kebahagiaan. Menanti hari esok yang masih belum pasti kesudahannya. Fikir-fikirkan..

Monday, 29 July 2013

Lailatul Qadar



Alhamdulillah.. sampai kita ke 10 Ramadhan terakhir. Saat yang dinantikan insan yang merindui Jannatul Firdaus. Ini kerana terdapatnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu Lailatul Qadar. Mengikut perkiraan, 1000 bulan bersamaan dengan 84 tahun. Umat Rasulullah s.aw hari ini hayatnya sekitar 60-70 tahun sahaja. Sekiranya kita berjaya merebut 1 malam ini, insyaAllah impamanya kita beribadat sepanjang umur kita.
Terdapat banyak pendapat tarikh yang mana merupakan malam Lailatul Qadar ini. Sesetengah berpendapat ia berlaku pada malam-malam ganjil, ada hadith menyebut pada 10 malam terakhir. Walau apa pun tarikhnya, ia adalah milik Allah. Tentu ada sebab mengapa Allah merahsiakannya. Semoga kita memperolehnya. Wassalam

Saturday, 27 July 2013

UMNO dan Keramat 13

Mesyuarat Terttinggi UMNO menetapkan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Pemilihan Bahagian pada 5 Oktober 2013. Persidangan sayap wanita, pemuda dan puteri pula ditetapkan pada 28 September manakala Perhimpunan Agung UMNO pula pada 2 hingga 7 Disember ini. Seramai 150,000 perwakilan dari 191 Bahahagian akan terlibat dalam pemilihan kali ini.



Pemilihan kali ini diramalkan sengit kerana pertama kali mempraktikkan pemilihan terbuka. Berkemungkinan akan terdapat keputusan-keputusan yang mengejutkan. Walau apa jua method atau sistem yang digunakan, bagi saya kepentingan parti yang menjurus kepada kedaulatan agama, bangsa dan negara perlu diberi keutamaan.



UMNO telah diuji hebat pada PRU ke 13 yang lalu. Penyelesaian isu semasa, pergolakan dalaman, tekanan pembangkang, pelantikan calon sehinggalah hari pilihan raya semuanya menjadi sejarah mimpi buruk kepada UMNO. Antara kawan dan lawan, antara kaca dan permata sedikit demi sedikit UMNO berusaha meleraikannya. Hinggakan UMNO terpaksa berubah wajah menjadi parti yang 'humble' di mata rakyat demi kelangsungan hidup. Namun, persoalannya adakah semua ini dijadikan iktibar atau disimpan sebagai bahan arkib yang tiada nilainya.

Rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada UMNO apa yang mereka mahukan. Tiada lagi keistimewaan kepada pemimpin yang sombong dan angkuh seakan ingin mati di kerusi empuk, tiada penghormatan kepada si perasuah, tiada lagi kemuliaan kepada pemimpin yang hanya bermewah-mewah dengan harta hasil kedudukan seakan dirinya lebih hebat dari Qarun..

Tun Mahathir sendiri ada menegur sikap pemimpin UMNO yang seakan lupa asal-usulnya. Bacalah, selidikilah dan hayatilah pesan Tun sebaiknya. Pesan pujangga, 'Menggenggam bara biar jadi debu'. Selamat berjuang wahai 'khalifah' kami. Demi agama, bangsa dan negara!. Wasaalam..

Thursday, 25 July 2013

'UBAH' yang Mengubah Seseorang

Kajian terbaru UMcedel menyatakan slogan 'Ubah & Ini Kalilah' merupakan faktor mengapa pengundi di Parlimen Temerloh memilih calon PAS, Ustaz Nasarudin Tantawi pada PRU ke 13 selain daripada kebangkitan pengundi muda dan sokongan cina kepada pembangkang. Pengarah UMcedel, Prof. Datuk Mohammad Redzuan menjelaskan kajian awal sebelum PRU 13 menunjukkan sokongan pengundi cenderung 60% kepada calon BN, Datuk Saifudin Abdullah manakala calon PAS, Ustaz Nasarudin hanya mendapat kurang daripada 50% sokongan. Saya menyokong kenyataan ini tetapi punyai hujah tersendiri. Secara kebetulan, saya sempat mengenali dan mendekati kedua-dua pemimpin ini dalam tempoh masa yang berbeza.




Saya pernah bersua muka dan mengenali Datuk Saifudin ketika PRK Sibu, Sarawak yang lepas. Dari pandangan mata saya, beliau merupakan seorang yang mesra tetapi tegas dan berprinsip. Oleh sebab sifatnya yang 'berprinsip' ini, beliau seakan dipinggirkan oleh pemimpin UMNO yang lain. Kenyataan-kenyataan beliau berhubung isu BERSIH, pembelaan ke atas mahasiswa UUM berhubung isu 'Listen!Listen! dan teguran membina kepada kerajaan disalah tafsir seolah-olah beliau memihak kepada pembangkang. Dalam satu bual bicara di TV3 pada musim PRU 13 yang lalu, beliau menjelaskan perlunya pemimpin itu berprinsip dan berilmu selain menolak 'politik mengampu'. Dalam satu insiden, beliau sebagai Timb. Menteri Pengajian Tinggi dihalang masuk ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atas sebab tertentu.




Saya juga mengikuti perkembangan Ust. Nasarudin dalam ceramahnya di sekitar Rompin pada PRU ke 13 yang lalu.Orangnya lantang tetapi cukup merendah diri dari segi penampilannya. Beliau adalah individu pertama di kalangan pemimpin politik yang berani mengambil langkah mengisytiharkan harta. Pendapatan bulanannya hanya sekitar pendapatan seorang kerani kanan. Tagline 'Temerloh di Hati Kome' yang digunakan beliau juga berjaya merapatkan jurang antara beliau dengan rakyat. Kehidupan seharian secara bersahaja dan tiada protokol.

Pada pandangan saya, kedua-dua pemimpin ini adalah hebat tetapi yang membezakan mereka ialah siapa yang lebih rendah diri bersama rakyat. Slogan 'Ubah' hanya bantuan sokongan dan digunakan dalam kempen pembangkang di seluruh Malaysia. Pemimpin UMNO lebih dlihat sebagai parti 'orang atasan'. Maka dengan ini 'Ubah' berjaya mengubah seseorang. Sekian.