Wednesday 28 August 2013

Merdeka: Malaysiaku Berdaulat

2013 Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56. Pelbagai suka duka, perit jerih dan susah payah pejuang kemerdekaan dahulu dihargai dan dihayati. Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos muncul, maka berpusu-pusu lah media massa, pemimpin kenamaan, pakar akademik, negarawan dan tokoh pejuang tanah air mula membicarakan erti kemerdekaan. Namun, perlu dilihat sejauh mana generasi hari ini dapat merasai dan menghayati maksud sebenar kemerdekaan. Adakah kemerdekaan bermaksud 'bebas bersuara' di facebook atau bebas melakukan apa sahaja tanpa batas melintasi norma hidup bermasyarakat?



Pengalaman saya berbicara dan mendengar sendiri luahan bekas Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kob semasa saya bertugas di Sarawak dahulu cukup mengajar saya erti kemerdekaan dan bersyukur dengan apa yang diperolehi sekarang. Beliau antara tokoh yang berperanan mencipta kestabilan politik dan menyahkan anasir asing keluar dari Sarawak. Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk menstabilkan Sarawak. Peristiwa serangan kamunis di Sarawak sehingga ke penubuhan Rascom adalah salah satu usaha dan inisiatif beliau bersama pemimpin lain untuk membebaskan Sarawak. Atas kebijaksanaan beliau, Sarawak bebas dari penjajahan anasir asing walaupun lewat beberapa tahun daripada Semenanjung Malaysia. Beliau sempat mengingatkan saya, 'Orang Melayu kena pandai berpolitik. Tuntutan agama jangan dipisahkan'. Sehingga hari ini, saya masih berpegang kepada kata-kata beliau. Kini, walaupun beliau tidak lagi aktif dalam politik, namun beliau aktif mengadakan kelas agama di rumah beliau. Satu usaha yang amat saya kagumi.

Semoga tamatnya pengajian saya kelak, ilmu yang dikutip dapat disumbang kepada negara khasnya dalam bidang politik. Bukan nama atau gelaran yang dikejar, cukuplah sekadar menjadi 'pejuang kemerdekaan era kini' demi kelangsungan hidup anak-anak dan generasi akan datang. Kalau bukan kita yang mencorak, siapa lagi? Malaysiaku berdaulat.-

No comments:

Post a Comment