Friday 11 April 2014

Jeneral Firaun



Sepi seketika dari dunia penulisan ditokok dengan isu MH 370 yang masih belum menemui kesudahannya. Moga Allah membuka hijab antara yang ghaib dan nyata agar terlerai segala kekusutan. InsyaAllah..


Tersusun rapi di rak buku ilmiah, sebuah kitab kecil lama yang telah menjangkau usia 16 tahun dalam simpanan. Kitab Al Mathurat susunan As Syahid Hassan Al Banna yang merupakan pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin. Melihat kitab ini membawa saya hanyut memikirkan apakah kesudahan nasib umat Islam di Mesir pada ketika ini. Saya cuba merungkai persoalan yang bermain di fikiran satu persatu. 

Dunia Islam sekali lagi bergoncang apabila Mahkamah Tinggi Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin. Kurang seminggu hukuman ini dijatuhkan, Jeneral Tentera Abdul Fatah Al Sisi yang bertanggungjawab menggulingkan Presiden Morsi pula mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden Mesir pada pilihan raya Mesir pada bulan Mei 2014 ini.


Siapakah Al Sisi ini? Siapakah yang mendalangi kekejaman beliau? Apakah motifnya? Benarkah Morsi dijatuhkan atas faktor mengekang keganasan? Soalan-soalan ini yang menghantui pemikiran saya. Bagaimana seorang Islam tergamak membunuh ratusan manusia hanya kerana kemaruk kuasa. Astaghfirullah..

Tanpa kita peduli bumi Mesir telah sekian lama ditakluk tentera. Rampasan kuasa tentera mula dilakukan oleh Jeneral Mohammaed Neguib dan Kolonel Gamal Nasir pada malam 23 Julai 1952 dengan kerjasama Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika dan Britain. Tentera berperanan menggulingkan Raja Faruq yang terkenal dengan sikap suka berfoya-foya, berjudi dan suka bermewah-mewah. Bermula penggulingan Raja Faruq ini, maka tamatlah sistem pemerintahan Monarki (Beraja) di Mesir. Tentera terus memerintah dari zaman Kolonel Gamal Nasir, Anwar el Sadat dan seterusnya Hosni Mubarak. Ketiga-tiga mereka adalah pegawai tentera yang diangkat menjadi Presiden Mesir. Sehinggalah Hosni Mubarak digulingkan menerusi Revolusi Arab Spring. Buat pertama kalinya Mohamad Morsi dari Ikhwanul Muslimin dilantik memegang kerusi Presiden Mesir melalui pilihan raya dalam sistem Demokrasi.


Namun, dendam tentera yang terpaksa melepaskan kerusi yang disandang Hosni Mubarak tidak pernah luntur. Puncak dendam ini dibalas dengan penggulingan Mohamad Morsi pada tahun 2013. Masjid dan hospital dibakar, mayat syuhada digempur dan peluru sesat mencari mangsa tanpa amaran. Semuanya kerana tamakkan kuasa. Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai pengganas sesuai dengan skrip yang digarap Amerika. Israel berdondang sayang di Tel Aviv atas kemenangan tentera lantas menghulurkan bantuan pinjaman kepada Al Sisi bagi membangunkan Mesir. Ulama' berlumba-lumba mengampu Sang Pemerintah persis 'Ahli Nujum Firaun' sehingga wujud dakwaan mereka bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W dan baginda menghalalkan darah sesiapa yang menentang tentera di Mesir. 'Fatwa' ini disanggah Ulama' terkenal Mekah (Rujuk nukilan Dr. Maza di Minda Tajdid). Watak Firaun yang kejam, Ahli Nujum yang mengampu, Nabi Harun dan Nabi Musa yang menegakkan agama Allah kini hidup kembali. Allahuakahbar! Dunia semakin ke penghujungnya.