Monday 29 July 2013

Lailatul Qadar



Alhamdulillah.. sampai kita ke 10 Ramadhan terakhir. Saat yang dinantikan insan yang merindui Jannatul Firdaus. Ini kerana terdapatnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu Lailatul Qadar. Mengikut perkiraan, 1000 bulan bersamaan dengan 84 tahun. Umat Rasulullah s.aw hari ini hayatnya sekitar 60-70 tahun sahaja. Sekiranya kita berjaya merebut 1 malam ini, insyaAllah impamanya kita beribadat sepanjang umur kita.
Terdapat banyak pendapat tarikh yang mana merupakan malam Lailatul Qadar ini. Sesetengah berpendapat ia berlaku pada malam-malam ganjil, ada hadith menyebut pada 10 malam terakhir. Walau apa pun tarikhnya, ia adalah milik Allah. Tentu ada sebab mengapa Allah merahsiakannya. Semoga kita memperolehnya. Wassalam

Saturday 27 July 2013

UMNO dan Keramat 13

Mesyuarat Terttinggi UMNO menetapkan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Pemilihan Bahagian pada 5 Oktober 2013. Persidangan sayap wanita, pemuda dan puteri pula ditetapkan pada 28 September manakala Perhimpunan Agung UMNO pula pada 2 hingga 7 Disember ini. Seramai 150,000 perwakilan dari 191 Bahahagian akan terlibat dalam pemilihan kali ini.



Pemilihan kali ini diramalkan sengit kerana pertama kali mempraktikkan pemilihan terbuka. Berkemungkinan akan terdapat keputusan-keputusan yang mengejutkan. Walau apa jua method atau sistem yang digunakan, bagi saya kepentingan parti yang menjurus kepada kedaulatan agama, bangsa dan negara perlu diberi keutamaan.



UMNO telah diuji hebat pada PRU ke 13 yang lalu. Penyelesaian isu semasa, pergolakan dalaman, tekanan pembangkang, pelantikan calon sehinggalah hari pilihan raya semuanya menjadi sejarah mimpi buruk kepada UMNO. Antara kawan dan lawan, antara kaca dan permata sedikit demi sedikit UMNO berusaha meleraikannya. Hinggakan UMNO terpaksa berubah wajah menjadi parti yang 'humble' di mata rakyat demi kelangsungan hidup. Namun, persoalannya adakah semua ini dijadikan iktibar atau disimpan sebagai bahan arkib yang tiada nilainya.

Rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada UMNO apa yang mereka mahukan. Tiada lagi keistimewaan kepada pemimpin yang sombong dan angkuh seakan ingin mati di kerusi empuk, tiada penghormatan kepada si perasuah, tiada lagi kemuliaan kepada pemimpin yang hanya bermewah-mewah dengan harta hasil kedudukan seakan dirinya lebih hebat dari Qarun..

Tun Mahathir sendiri ada menegur sikap pemimpin UMNO yang seakan lupa asal-usulnya. Bacalah, selidikilah dan hayatilah pesan Tun sebaiknya. Pesan pujangga, 'Menggenggam bara biar jadi debu'. Selamat berjuang wahai 'khalifah' kami. Demi agama, bangsa dan negara!. Wasaalam..

Thursday 25 July 2013

'UBAH' yang Mengubah Seseorang

Kajian terbaru UMcedel menyatakan slogan 'Ubah & Ini Kalilah' merupakan faktor mengapa pengundi di Parlimen Temerloh memilih calon PAS, Ustaz Nasarudin Tantawi pada PRU ke 13 selain daripada kebangkitan pengundi muda dan sokongan cina kepada pembangkang. Pengarah UMcedel, Prof. Datuk Mohammad Redzuan menjelaskan kajian awal sebelum PRU 13 menunjukkan sokongan pengundi cenderung 60% kepada calon BN, Datuk Saifudin Abdullah manakala calon PAS, Ustaz Nasarudin hanya mendapat kurang daripada 50% sokongan. Saya menyokong kenyataan ini tetapi punyai hujah tersendiri. Secara kebetulan, saya sempat mengenali dan mendekati kedua-dua pemimpin ini dalam tempoh masa yang berbeza.




Saya pernah bersua muka dan mengenali Datuk Saifudin ketika PRK Sibu, Sarawak yang lepas. Dari pandangan mata saya, beliau merupakan seorang yang mesra tetapi tegas dan berprinsip. Oleh sebab sifatnya yang 'berprinsip' ini, beliau seakan dipinggirkan oleh pemimpin UMNO yang lain. Kenyataan-kenyataan beliau berhubung isu BERSIH, pembelaan ke atas mahasiswa UUM berhubung isu 'Listen!Listen! dan teguran membina kepada kerajaan disalah tafsir seolah-olah beliau memihak kepada pembangkang. Dalam satu bual bicara di TV3 pada musim PRU 13 yang lalu, beliau menjelaskan perlunya pemimpin itu berprinsip dan berilmu selain menolak 'politik mengampu'. Dalam satu insiden, beliau sebagai Timb. Menteri Pengajian Tinggi dihalang masuk ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atas sebab tertentu.




Saya juga mengikuti perkembangan Ust. Nasarudin dalam ceramahnya di sekitar Rompin pada PRU ke 13 yang lalu.Orangnya lantang tetapi cukup merendah diri dari segi penampilannya. Beliau adalah individu pertama di kalangan pemimpin politik yang berani mengambil langkah mengisytiharkan harta. Pendapatan bulanannya hanya sekitar pendapatan seorang kerani kanan. Tagline 'Temerloh di Hati Kome' yang digunakan beliau juga berjaya merapatkan jurang antara beliau dengan rakyat. Kehidupan seharian secara bersahaja dan tiada protokol.

Pada pandangan saya, kedua-dua pemimpin ini adalah hebat tetapi yang membezakan mereka ialah siapa yang lebih rendah diri bersama rakyat. Slogan 'Ubah' hanya bantuan sokongan dan digunakan dalam kempen pembangkang di seluruh Malaysia. Pemimpin UMNO lebih dlihat sebagai parti 'orang atasan'. Maka dengan ini 'Ubah' berjaya mengubah seseorang. Sekian.

Nuzul al Quran



Ramadhan memasuki pertengahannya. Rahmat Allah kita dihadiahkan Nuzul Quran sebelum menghampiri Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Saya bukanlah pakar agama atau ustaz yang petah berbicara selok-belok agama. Post ini sekadar mengingatkan diri yang lemah betapa agungnya nikmat tuhan.

Fakta menyatakan Nuzul Quran berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadhan tahun 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mukjizat al Quran tidak dapat dinafikan manusia. Betapa hati musuh Islam satu ketika dahulu iaitu Saidina Umar al Khatab luluh dengan ayat-ayat Tuhan ini. Peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di sekeliling kita juga telah tersurat didalamnya. Aisyah meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda: " Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang manusia berbangga dengannya, dan menjadi kemegahan umatku ialah al Quran". Allahuakbar..

Harga Sebuah Kemenangan

PRK DUN Kuala Besut baru sahaja melabuhkan tirainya. Seperti diramal, BN memperoleh kemenangan dengan majoriti 2, 592 undi sekaligus mengekalkan penguasaan di negeri Terengganu. Syabas diucapkan kepada 'YB Baru' BN. Amanah dan tanggungjawab besar menanti anda di hadapan. Semuanya akan dihitung di Padang Masyar kelak. Berhati-hatilah..



Kepada calon PAS, diharap bersabar dengan kekalahan ini. Sesungguhnya ini baru permulaan bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa akan datang. Perkuatkan diri dengan ilmu, kesabaran yang tingi dan sifat-sifat mahmudah. Sampai masanya, akan diangkat Tuhan menjadi pemimpin.

Tahniah kepada semua. Kekalkan muafakat demi keharmonian kaum yang kita idamkan. Demi anak-anak kita. Sekian.

Wednesday 24 July 2013

Tembok Tamadun Yang Mulai Roboh


Mahkamah membenarkan ikat jamin RM 30,000 setiap atas tiga pertuduhan kepada blogger seks, Vivian Lee dan Alvin Tan. Mereka didakwa di bawah akta hasutan kerana memuat naik gambar 'berbuka dengan babi' yang membangkitkan kemarahan umat Islam yang sedang berpuasa. Selain itu, mereka juga didakwa kerana memuat naik gambar aksi seks mereka di blog untuk tatapan umum.

Fenomena menghina agama semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Apakah ia berpunca daripada lemahnya penguatkuasaan atau salah didikan ibu dan ayah? Tanpa sedar, masyarakat semakin hilang sensitiviti kesucian beragama. Semua dilakukan atas prinsip kebebasan. Jika ini dibiarkan bimbang nanti akan mencetuskan api perkauman di negara kita. 

Kepada mereka berdua; ingatlah kami tidak gila untuk membiarkan Islam kami dipijak, kami tidak pekak dengan kata cacian pada agama kami dan kami tidak buta untuk membiarkan maksiat bermaharajalela. Diam kami bukan kerana takut, tunduk kami bukan pengecut. Pesan buat diriku dan anak-anakku.. Tembok Tamadun Yang Mulai Roboh-


Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

Alhamdulillah kerajaan baru mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam Gred 1-54 sebanyak RM 500. Manakala 660,000 orang pasara kerajaan pula akan memperolehi bantuan sebanyak RM 250. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 835 juta.

Teringatkan lagu yang sering kedengaran di televisyen. 'Terima kasih ku ucapkan padaMu, atas nikmat yang diberi padaku'..

Antara Iman & Glamour




Ramadhan semakin hampir ke penghujungnya. Rasulullah berpesan agar kita berlumba-lumba mengumpul amalan di bulan mulia ini dan mendapatkan Malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.Hitunglah sebaiknya, adakah kita telah mengisinya dengan amalan atau sekadar berpuasa, syarat untuk mengejar Aidilfitri?

Dalam kesibukan sesetengah kita mengisi 'kantung amalan', kita disentak dengan kisah empat Miss World Malaysia yang beragama Islam. Larangan Majis Fatwa Kebangsaan untuk memasuki pertandingan dicabar dan dipandang enteng seolah-olah agama tiada nilainya. Malah seakan menegakkan benang yang basah, berdiri atas prinsip kebebasan. Benarlah kata-kata Rasulullah: Masa terasa pendek, amal soleh berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah (maksiat) berleluasa, dan banyaknya kekecohan. Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah kekecohan tersebut? Rasulullah s.a.w menjawab: “Pembunuhan-pembunuhan”.
(HR Bukhari dalam Kitab Fitan dalam bab ‘Zuhur Al-Fitan’ dan HR Muslim dalam Kitab Al-‘Ilm)

Namun, janganlah kita menghukum kerana mereka juga sama seperti kita. Hanya Allah yang mampu menilai. Sama-sama kita doakan agar dibukakan pintu hati mereka kembali ke jalan Islam. Pesan buatku dan permata hatiku. Wallahualam..

Tuesday 23 July 2013

2 Wajah

Masyarakat Malaysia digemparkan dengan isu pelajar Sek. Keb. Sri Pristana yang terpaksa makan di sebuah tandas.Dilaporkan di facebook, pelajar ini diasingkan di sebuah tandas untuk makan dan minum bagi menghormati pelajar Islam sempena bulan Ramadhan. Timb. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengarahkan satu tindakan tegas diambil terhadap pengurusan sekolah sekiranya tuduhan tersebut berasas.
Pihak sekolah menyatakan tindakan mengalihkan pelajar makan dan minum di situ adalah kerana kantin sekolah sedang dalam pembaikan dan tidak dapat menampung lebih 1,375 orang murid dalam satu masa. Bilik yang menempatkan pelajar tersebut bukanlah sebuah  tandas sebaliknya sebuah bilik persalinan yang bersih dan teratur. Bilik persalinan tersebut tidak mempunyai tandas atau mangkuk tandas seperti yang didakwa ramai pihak.
Isu ini telah menggemparkan ibu bapa di seluruh Malaysia. Penelitian perlu dibuat dengan sebaiknya dalam isu ini. Penulis berpendapat isu ini tidak seharusnya diperbesarkan kerana ia hanya akan mengeruhkan keharmonian kaum antara yang beragama Islam dan bukan Islam. Sebarang tindakan perlulah melalui saluran yang betul samada melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah. Pihak sekolah juga perlu bijak dalam menangani sebarang masalah berkaitan pelajar kerana ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka. Disyorkan agar pihak sekolah menghantar notis makluman pemindahan kantin tersebut kepada ibu bapa selain mendapat persetujuan daripada PIBG terlebih dahulu. Janganlah isu ini dipolitikkan demi kepentingan sesetengah pihak. Kewarasan dan timbang-tara seadilnya penting bagi 'menjernihkan' keharmonian kaum yang sudah mula 'rosak'. 2 gambar di bawah cukup memberikan kita kefahaman untuk menilai. Sekian.





PRK Kuala Besut ' Juara @ 16-16'

Kurang 24 jam dari sekarang, satu pilihan raya paling menarik dalam sejarah negara akan berlansung. Pilihan Raya Kecil kali ini bakal menentukan samada Kerajaan BN terus memerintah atau berada dalam kedudukan seri 16-16 (jumlah kerusi DUN yang dimenangi) bersama PAS. Ini merupakan pilihan raya pertama selepas PRU ke 13. Fakta PRK DUN Kuala Besut adalah seperti berikut:


(CALON BN)
  • Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman
  • 37 tahun
  • Bekas Jurutera Awam di Jab. Pengairan dan Saliran
  • Anak seorang Ustaz
  • Tagline: 'Anak Ustaz Profesional Orang Muda'


(CALON PAS)
  • Endot @ Azhar bin Yusof
  • 48 tahun
  • Kontraktor kelas A
  • Dikenali penduduk setempat dengan panggilan 'Che Long'
  • Sentimen ' Se Ne Se Ne (16-16)'
  1. PRK diadakan berikutan kematian calon penyandang BN iaitu  Dr A Rahman Mokhtar
  2. Pada PRU 2008; Dr A Rahman menang majoriti 2,434 undi ke atas calon PAS iaitu Napisah Ismail
Kekuatan BN:
  1. Kelebihan dilihat memihak kepada BN untuk mempertahankan kerusi dari sudut kekuatan jentera, logistik dan kewangan yang boleh mempengaruhi pengundi. 
  2. Selain itu, populariti Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang turun sebagai Timb. Pengarah PRK ini dilihat tepat untuk mempengaruhi sokongan pengundi.
  3. Berkemungkinan BN dapat mengatasi sokongan undi luar (anak muda yang tinggal di perantauan) kerana PRK diadakan pada hari bekerja (Rabu). 
Kekuatan PAS:
  1. Kekuatan PAS juga tidak boleh dipandang rendah kerana calon dikatakan mesra dan dikenali penduduk setempat. Sebagai perbandingan, calon anak muda PAS iaitu Ust Nasarudin Tantawi memenangi kerusi parlimen Temerloh pada PRU ke 13 yang lalu dengan slogan 'Temerloh di Hati Kome'. Hal ini menunjukkan slogan yang dimainkan disamping sifat calon yang mesra rakyat mampu melonjak kedudukan calon.
  2. Sentimen 'Se Ne Se Ne (16-16) yang dimainkan mampu mengubah keputusan saat akhir untuk melihat 'Terengganu Baru'.
  3. Namun, PAS masih mengharapkan undi luar anak muda untuk balik menyokong mereka. Pada PRU ke 13, prestasi BN di Terengganu merosot kerana undi luar.
Walau apa pun, keputusan rasmi hanya akan diketahui sekitar jam 10 malam. Kepada pengundi diucapkan Selamat Mengundi. Jagalah tertib ketika mengundi kerana mereka juga adalah sama seperti kita 'Ingin Dihormati dan Menghormati'. Sekian, wassalam. 

LANGKAH KANANKU

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Tuhanku pena ini mula bertinta buat pertama kalinya. Tiada apa yang dapat aku zahirkan melainkan syukur yang tidak terhingga di atas kurniaanNya. Ramadhan telah memasuki fasa kedua. Janji Allah ‘ Adalah bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan daripada api neraka’.  Moga kita menguatkan tekad untuk mencari kesempurnaan dalam berpuasa. 




Kuhambakan diriku atas nama 'Tinta Putih' sebagai  simbolik ketinggian ilmu dan kebersihan hati dalam mencari redha Ilahi. Bukan niat bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari puji-pujian manusia. Hanya berkarya untuk menambah ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman hidup. Sudi-sudilah kalian membaca, berkongsi komen, cadangan, teguran denganku. Moga dengan teguran kalian dapat menjadikan diriku semakin tunduk ke bumi.

Berlalunya Ramadhan sepantas roda berpusing. Sedetik masa berlalu, tiada siapa yang dapat mengembalikannya. Begitulah juga hidup. Mungkin banyak kesilapan yang masih belum diperbaiki, mungkin ramai hati yang masih terluka dek sifat sombong dan angkuh kita. Pesan buat diriku dan teman-teman. Sama-samalah kita renungkan.

Salam perkenalan dariku 'Tinta Putih'.-demi keluarga-