Tuesday 24 June 2014

Arjuna Beta


Hati hiba melihat keadaan adik Muhammad Firdaus yang dikurung di dalam sebuah bilik yang amat menyedihkan. Diseliputi najis, rambut kusam tidak terurus, tubuh longlai seakan mayat yang telah reput. Apakah dosanya hingga tergamak sang ibu membiarkan Firdaus terkulai layu tersungkur ke  lantai berdebu, dipenuhi sampah dan berbau busuk selayaknya haiwan yang mendiaminya?Astaghfirullah..Semakin hilang kasih sayang sesama manusia. Semakin luput cintanya ibu kepada darah dagingnya yang dikandung 9 bulan. Di manakah silapnya?



Aku menjadi sebak kerana aku dan adik Muhammad Firdaus berkongsi nama yang sama. Nama sebuah syurga teratas yang menjadi impian bukan sahaja insan biasa seperti aku malah para sahabat nabi dan alim ulama'. Malangnya Firdaus melayari hidup tidak seindah namanya. Kedaifan menjadi alasan sang ibu merelakan Firdaus hidup umpama mayat hidup  Apa perlu dipedulikan si anak, tuntutan hidup perlu dilangsungkan. Mungkin di kaca mata sang ibu, Firdaus umpama beban yang tidak tertanggung.


Kubenarkan ungkapan seorang Ahli Falsafah Geneva, Jean Jacques Rousseau. Beliau pernah menyebut " Manusia secara semulajadinya adalah bersifat cintakan diri sendiri (amour de soi) dan mempunyai perasaan belas kasih (commiseration) sesama manusia. Namun, kemajuan  kebudayaan mewujudkan persaingan dan kehendak yang akhirnya menjadikan manusia itu bersifat egoistik (amourpropre). Sifat ini menyebabkan manusia terhakis sifat cintanya dan menjadikan manusia sombong, suka membandingkan diri dengan orang lain, iri hati, ingin tampil hebat dan mudah mengorbankan orang lain".-Rousseau, Le Contrat Social (1762). Bagiku cinta sang ibu kepada si anak terhakis dek tuntutan hidup yang penuh dengan materealistik hingga tergamak 'mengorbankan' insan tersayang.

Sebuah kisah tragis yang menyentuh hati dan menyedarkan aku betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang bapa. Mudah-mudahan tidak aku tersungkur ke kancah hina hingga hilang waras fikiran hanya kerana memenuhi tuntutan hidup. Wahai Arjuna Beta.. 

Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur


nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa


kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri


hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela


ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda


hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela


nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa