Wednesday 27 November 2013

Ashabul Kahfi di Akhir Zaman



Siti Aishah Abdul Wahab satu nama yang mengemparkan dunia ketika ini. Beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Britain setelah dijadikan hamba selama 30 tahun dalam sebuah rumah di Lamberth, London. Beliau kini berumur 69 tahun.

Siapakah beliau? Apakah yang mendorong beliau sehingga sanggup menghambakan diri sebegini rupa?

Siti Aishah Abdul Wahab berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau pernah menuntut di Kolej Tengku Kursiah sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Juruukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo Plan".(Berita Harian 27 Nov 13 melaporkan School of Economics (LSE). Beliau dipercayai aktif dengan sebuah pertubuhan aktivis yang digelar sebagai "New Malayan Youth", sebuah pertubuhan yang berhaluan kiri diinspirasikan daripada fahaman komunis Mao Tse Tung atau Mao Zedong. Beliau pernah diburu pihak polis pada era 1970 an kerana terlibat dengan aktiviti komunis namun berjaya melarikan diri. Sejak dari itu tidak diketahui di mana beliau berada walaupun wujud usaha pihak keluarganya untuk cuba membawa beliau pulang ke Malaysia pada sekitar tahun 1991 sehinggalah sebuah akhbar Britain membongkar kes perhambaan beliau.



Sebuah kisah yang tragis dan menyayat hati. 30 tahun satu tempoh yang cukup lama untuk tinggal di bawah satu bumbung tanpa melihat keindahan dunia. Dengan usia yang mencecah 69 tahun, apa lagi yang mampu dilakukan. Berharap agar masih dapat melihat matahari walau mata semakin kabur. Teringatkan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur ratusan tahun di dalam sebuah gua hanya kerana meyelamatkan iman diri. Kini, kisah ini berulang walaupun berbeza konteks iman dan ideologi. Moga pengakhiran yang baik buatmu Siti Aishah, Ashabul Kahfi di akhir zaman..

Monday 25 November 2013



Tahniah diucapkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed di atas pelantikan sebagai Naib Presiden Persatuan Penguatkuasaan Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA). Sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia dan paling utama Malaysia telah membuka mata asing terhadap rasuah.

Namun, masih banyak lompong yang harus diperbaiki. Jangan terlalu bermegah dengan kedudukan tetapi amanah harus dilaksanakan. Jika diri sudah merasa gah dengan dua sayap di awan, ingatlah amanah tidak sesekali berganjak dari bumi yang dipijak. Apakah kesudahan dakwan kes rasuah Ketua Menteri Sarawak tatkala gendang perang PRU ke 13 telah bermula? Laporan Audit Negara menyatakan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan hasil cukai rakyat dalam tadbir urus penjawat awam. Adakah amanah anda telah dilaksanakan? Atau sekadar bermegah dengan nama dan kedudukan, sesekali memilih bulu untuk bertindak.

Ingatlah wahai teman. Mata takkan berhenti berkedip walau sesaat, tangan kan terus berdoa jika teraniaya. Bukan pingat atau kedudukan yang akan dihadapkan di bawah teriknya matahari di Masyar kelak. Pesan Imam Syafei sesungguhnya yang paling berat adalah Amanah. Laksanakanlah sebaiknya agar ia menjadi abadat dan pemberat timbangan di sana nanti..