Saturday 21 December 2013

Penarik Beca dan Menara Affel


Dipetik dari akhbar Berita Harian online: JAKARTA: Bakal calon presiden Indonesia 2014, penyanyi dangdut, Rhoma Irama, berkata beliau mempunyai banyak rancangan jika dipilih menjadi pemimpin baru negara itu. Antara rancangan beliau termasuk meningkatkan jumlah anggota pasukan keselamatan, memajukan koperasi luar bandar, kebebasan beragama, membantu petani dan meningkatkan belanjawan pendidikan.


Dunia semakin berkecamuk. Mungkin istilah ini yang lebih tepat digunakan bagi menggambarkan kecelaruan dalam masyarakat dunia hari ini. Meniti usia yang semakin ke penghujungnya, kita tak terlepas dengan isu-isu yang kadangnya difikirkan begitu dengkel untuk diterima akal. Namun, itulah dunia. Penuh dengan ketidak adilan, gila kuasa dan pengkat, tamakkan harta seakan disinilah hentian terakhir yang kekal abadi.

Pemimpin dilantik bukan pada sifat pemimpinnya, bukan juga pada kepandaiannya, tidak kena pada tempatnya. Apa yang dinilai ialah pada susuk tubuhnya, kepetahan bertutur cara dan popularitinya seolah-olah nasib rakyat bawahan bergantung harap pada nilai-nilai ini. Betapa murahnya..


Sindrom artis terjun ke bidang politik bukanlah suatu yang baru. Ia berlaku seiring dengan kepesatan zaman dunia serba canggih ditokok pemikiran manusia yang semakin liberal. Arnold schwarzenegger seorang artis Hollywood yang terkenal pernah dilantik sebagai Gabenor di sebuah wilayah di US.


Ilona Staller seorang pelakon porno/lucah era awal 90 an juga pernah diangkat menyertai politik di parlimen Itali. Semasa menjadi ahli politik, beliau pernah secara terbuka menawarkan diri untuk menjalinkan hubungan seks dengan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein kononnya bagi memujuk Saddam Hussein untuk tidak berperang pada masa Perang Gulf. Murahnya harga politik bila dilacurkan.


Di Britain, seorang pengarah filem lucah iaitu Anna Arrowsmith yang berjaya memenangi beberapa award hasil filem lucah arahannnya menawarkan diri untuk bertanding merebut kerusi parlimen Britain pada satu pilihan raya yang lalu. Anna Arrowsmith berkata ia dilakukan atas prinsip Demokrasi. Memetik kata beliau " Kepada penduduk Kent, saya berharap anda tidak menilai saya berdasarkan kerja saya. Saya melibatkan diri dalam industri filem lucah untuk menjadikan filem itu lebih mesra wanita. Pada era ini, orang ramai yang hidup dalam masyarakat demokrasi sepatutnya diberi pilihan untuk menonton apa yang mereka mahu," kata Arrowsmith.


Di Malaysia tidak kurang hebatnya. Sekitar PRU ke 13 yang lalu, fenomena artis menyertai parti politik dapat dilihat dengan jelas. Malah sesetengah daripada mereka turut dilantik menjadi calon parti bagi menentang pihak lawan. Bukan menidakkan keupayaan mereka jauh sekali merendahkan martabat golongan ini tetapi matlamatnya tidak jelas. Adakah mereka digunakan hanya untuk menarik sokongan atau benar-benar layak diangkat sebagai pemimpin. Atau kita sudah ketandusan ilmuan dan agamawan yang pada fikiran saya lebih layak dipasangkan payung terjun untuk ke dunia politik. Alangkah baiknya jika mereka mengerah keringat mereka untuk menyatukan kita? Mungkin ia dikatakan remeh bagi sesetengah pihak tetapi fikirkan.


Beranikah kita mendaki Menara Affell di Paris jika yang membuatnya seorang penarik beca dan bukannya seorang jurutera mahir? Ibarat kita memperjudikan sisa hidup jika dibiarkan yang memimpin bukan seorang pemimpin.

No comments:

Post a Comment