Sunday 1 December 2013

Hisab Terakhir



UMNO telah mengumumkan sembilan Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO. Mencuri perhatian, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Mohammad Kazim Elias yang turut dilantik bagi sembilan kerusi tersebut. Selain itu, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan mantan Timbalan Naib Chanselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah juga tidak kurang menarik perhatian umum. Gabungan barisan ahli politik, ulama' dan tokoh akademik diyakini dapat mentransformasikan UMNO ke arah yang lebih baik.

Saya berpandangan ini satu langkah yang baik. Namun, ia perlu dilaksanakan secara telus. Maksudnya, setiap daripada mereka perlu neutral dan mengoptimumkan keupayaan atau kepakaran masing-masing bagi menghasilkan idea-idea yang dapat memberi nafas baru kepada UMNO. Perubahan perlu berlaku dari dalam dan secara konsisten.



Golongan ulamak: jadikanlah amanah ini sebagai satu ujian buat kamu atas apa yang kamu sering lontarkan dalam setiap ceramahmu. Hidupkanlah roh-roh Islam didalam UMNO. Jadilah kamu seperti Nabi Yusuf yang berani menasihati sang penguasa walau sanggup dipenjara. Bukan menambah musang berjanggut. Atau Sang Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan..biarkan..



Golongan ahli akademik: anggap ini sebagai satu cabaran untuk kamu melaksanakan prinsip-prinsip ilmiah. 'Berkatalah benar meskipun ianya pahit' . Bukankah asas ini yang sering kamu warwarkan dalam menuntut ilmu? Nah! Inilah masanya kamu buktikan. Letakkan dirimu umpama Hang Nadim yang bijaksana. Memerah otak demi rakyat. Jangan berdengket merubah menjadi 'Yes Boss' tanpa sejengkal pun akalmu tidak dipasak. Akhirnya manjadi Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai.

Ingat dan insaflah dengan ujian besar ini. Kerana dirimu bakal menjadi insan terakhir yang akan dihisab nanti..

No comments:

Post a Comment