Monday 14 October 2013

Bekalan Untuk Hari Esok



Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan The Herald. Keputusan itu sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Dis 2009. Penghakiman dibuat oleh tiga panel dan diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.



Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama serta mengamalkan konsep demokrasi dalam sistem perlembagaan negara, keterbukaan dan perkongsian dari segala aspek adakah sesuatu yang signifikan. Sejak sekian lama, kaum Melayu dan Islam sanggup 'membuka' ruang kerakyatan kepada kaum-kaum lain serta menghormati konsep kebebasan beragama. Islam sebagai agama rasmi sejak dahulu lagi pernah juga diuji dengan beberapa kes yang melibatkan isu-isu murtad. Murtadnya Natrah, Aisyah Bukhari, Lina Joey dan ramai lagi pastinya melukakan hati umat Islam di negara kita. Tambah perit, Islam tewas dek kerana keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka. Tiada apa yang mampu dilontar, hanya pasrah kerana selagi kita bernafas di muka bumi, pastinya undang-undang dunia yang layak menentukan. Namun, harus dipasak di dalam hati Mahkamah Masyar adalah sebaik-baik pengadilan.



Keputusan ini harus diterima oleh semua pihak. Janganlah dibarakan lagi api perpecahan. Kepada yang menang, bukan bermakna anda sewenang-wenangnya menghina mereka kerana jelas di dalam kitab agung al quran'tiada paksaan di dalam Islam'. Maka berhati-hatilah. Sujud syukur tanda kesyukuran dan berusahalah menutup setiap lompong dalam agamamu agar tidak diinjak musuh.



Kepada yang tewas, terima dengan hati terbuka dan hormatilah mereka yang lain. 'Allah' tidak dibenarkan di dalam majalah terbitanmu tetapi bukankah Ia ada di dalam kitabmu? Setidak-tidaknya kamu masih boleh beragama tanpa perlu takut kepada mereka. Kerana kita semua sama 'mencari' bekalan untuk hari esok!

No comments:

Post a Comment