Sunday, 10 August 2014

Dari Gaza Ayat-ayat Allah Berbicara


Di laman sosial gempar akan peristiwa-peristiwa pelik dan aneh yang sedang berlaku di Gaza saat ini. Pejuang al Qassam berjaya keluar dari terowong yang terkambus selepas 21 hari terperangkap kerana dibom oleh jet pejuang Israhell. Allahuakbar! Allah tidak pernah mungkir akan janjiNya. Cumanya aku berpendirian usahlah kita terlalu taksub dengan karamah yang berlaku hingga membuka ruang musuh menggarap skrip fitnah memesongkan akidah. Lihat sahaja apa yang terhidang di youtube, video kononnya Nabi Muhammad S.A.W menaiki kuda putih memintas peluru berpandu yang dilancarkan di Syiria. Astaghfirullah! Ia benar-benar menguji keimanan. Antara hak dan bathil, kebenaran dan fitnah dunia. Perlu dicarik sehelai demi sehelai agar tak terjerumus ke lembah dosa. Bagaimanakah nasib anak kita nanti? Mampukah mereka membezakan antara yang benar dan salah jika kita sendiri masih keliru. Sungguh! Aku takut dan bermuhasabah diri..


Mungkin terdetik di hati kita, mengapa Israhell masih belum dinyahkan dari muka bumi ini? Mengapa Palastin terus dibedil, kematian terus meningkat? Mengapa Allah masih belum menurunkan hukumannya ke atas yahudi Laknatullah hingga terkadang kita merasa putus asa? Persoalan -persoalan ini aku yakin pernah bermain di fikiran. Ingatlah! Hakikatnya kita sedang diuji Allah atas iman yang kita miliki. Sejauh mana kita percaya akan ayat-ayat Allah di dalam al Quran.


Lantas aku terpanggil untuk mencari jawapan apakah benar Palastin berjuang sendirian? Aku temukan sebuah buku " Dari Semenanjung Gaza Ayat-Ayat Allah Berbicara" nukilan Muhammad Lili Nur Aulia. Benar! keramat telah berlaku di Gaza! Pertolongan Allah telah turun di sana!. Aku sisipkan di sini keajaiban yang pernah berlaku di Gaza tanda Allah sentiasa bersama hambaNya. Mungkin sesuatu yang boleh kita pelajari:


1. Darah masih mengalir walaupun setelah 2 minggu syahid

Seorang pejuang al Qassam, Yasir Ali Ukasyah gugur syahid setelah bertempur dengan tentera Zionis. Beliau berasal dari Mesir dan merupakan Hafiz al Quran. Setelah 2 minggu kematiannya, darah masih menitis dan kondisinya seperti orang yang sedang tertidur. Karamah ini menjadi kebanggaan tentera al Qassam dan menjadi isi khutbah Jumaat oleh khatib di masjid Gaza. Subhanallah! Berbahagialah wahai sahabat di alam sana!


2. Sujud syukur saat kematian anaknya.

Ummu Samir Ghazal, ibu kepada salah seorang pejuang Islam. Tatkala mendengar berita gugurnya si anak sebagai syahid, beliau terus sujud syukur kepada Allah. Menitimdi bibirnya "Anak-anak kami adalah para syuhada yang dengan izin Allah akan mendapat syurga yang kekal. Semoga anakku boleh memberikan syafaat kepadaku dan aku akan menemaninya di syurga". Betapa cekalnya hati seorang ibu..


3. Syahadah yang melencongkan roket.

Dalam satu pertempuran al Qassam dan Zionis, sebuah jet pejuang F-16 milik Zionis menghujani sekumpulan tentera al Qassam dengan roket yang terarah terus kepada mereka. Lantas, mereka mengucapkan 'asyahaduanlailahaillallah' tanda bersedia dengan kematian. Namun, secara tiba-tiba roket itu melencong 20 meter ke arah lain. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Mereka semua terselamat.


4. Batu dan pasir bertasbih

Seorang Murabith bernama Abu Mujahid menceritakan semasa beliau ditugaskan mengawal parit sempadan utara Gaza, beliau mendengar batu sedang mengintip pergerakan kereta kebal Israel. Terdengar suara yang bertasbih "Subhanallah" dan "Astaghfirullah". Beliau mengamati betul-betul dari mana datangnya suara itu sedangkan pada masa itu beliau hanya berseorangan. Ternyata, suara itu datang dari batu-batu dan pasir di sekelilingnya. MasyaAllah..


5. Jumlah penghafaz al Quran teramai.

Walau dalam kesempitan hidup dan kesengsaraan, menjadi satu trend kepada remaja Palastin untuk menghafaz al Quran. Dilaporkan pada tahun 2008, Hamas berjaya melahirkan 2,500 hafiz dan hafizah al Quran. Pada tahun 2009, seramai 3,500 lagi orang penghafaz al Quran berjaya dilahirkan dan jumlah ini terus meningkat sehingga sekarang. Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menyifatkan ia sebagai mukjizat Allah kepada warga Palastin.


Banyak lagi peristiwa aneh yang terkandung dalam buku ini tak dapat aku tinta kan di sini. Karamah tetap akan berlaku kerana ianya milik Allah. Tak usah kita mempertikaikannya. Moga bertambah kuat iman kita dan yakinlah pertolongan Allah sentiasa bersama mereka di Palastin hingga Israhell dihancurkan seperti kaum terdahulu.

"Tidurlah wahai anakku Aisya Humaira Hanim di pangkuan papa"
3.50 p.m; 10 Ogos 14, Segamat-

Wednesday, 6 August 2014

Malaysia di Mata Israel



Gempak gempita seisi dunia memandang Malaysia bila Israel menuduh Malaysia melatih pejuang Hamas yang kini sedang bermati-matian demi mempertahankan tanah suci Palastin. Kononnya Malaysia melatih pasukan elit Hamas taktik berperang dan menculik tawanan. Entah apa permainannya hingga Malaysia sebuah negara kecil dilihat sebagai ancaman kepada dunia. Jika kerana sokongan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Palastin dijadikan sebab kenapa kita dituduh sedemikian, ingatlah wahai Israel! Tuduhanmu tidak sedikitpun menganjak pendirian kami.



Aku mengkaji dan mencari sebab mengapa mereka ini (kaum yahudi) tidak pernah belajar dari kesilapan. Mengapa perlu dicabar kuasa tuhan? Sedarkah mereka Allah memperincikan satu-persatu sifat dan balasan yang akan mereka perolehi? Malah, sejarah silam Bani Israel ini masih terpahat kukuh agar mereka sedar kesilapan mereka. Namun, mereka masih angkuh, bongkak dan terus melakukan kezaliman. Astaghfirullah..aku masih gagal mencari jawapan atas persoalan ini.



Tanpa sedar kita telah lama diperhatikan Israel. Benar! Mereka melihat kita sebagai ancaman. Buktinya, Malaysia pernah mengalami Krisis Ekonomi 1997 yang hampir menggadai harga sebuah negara bernama Malaysia ke tangan George Soros, seorang Billionaire berbangsa Yahudi. Kita hampir dikalahkan melalui kuasa ekonomi. Mujur, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir bijak membaca percaturan Soros dan akhirnya Soros berputih mata. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kita.



Pendirian teguh Malaysia bersama Palastin dan kelantangan pemimpin kita membidas Israel menyebabkan kita menjadi perhatian dunia. Malah tidak keterlaluan jika aku mengatakan kita lebih 'berani' berbanding negara Arab yang lain. Tun Mahathir dalam satu persidangan antarabangsa menempelak Yahudi Israel secara terang-terangan. Akibatnya beliau sendiri pernah disekat memasuki Israel. Terkini, blognya turut disekat kerana kritikan beliau terhadap Israel laknatullah.



Israel terus mengintai kita. Berhati-hatilah!. Israel menuduh pesawat MH 370 ini dipenuhi senjata dan sedang menuju ke Israel. Lantas Israel mengetatkan kawalan di semua pintu masuknya. Selain itu, wujud juga laporan menyatakan tragedi MH17 yang ditembak jatuh adalah satu perancangan Yahudi dalam menjayakan New World Order. Sejauh manakah kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui. Aku bukan penyiasat bertauliah mahupun perisik sehebat Central Intelligent Agency (CIA). Aku hanya mencari kebenaran melalui bacaan dan sedikit pertimbangan.



Hatiku berdesik ada sesuatu yang akan atau sedang direncanakan Israel terhadap kita. Jelas! mereka melihat kita sebagai satu ancaman dan pastinya mereka akan melakukan apa sahaja untuk menyambung hayat Israel di muka bumi ini. Doaku agar kita dijauhkan dari segala kejahatan dan malapetaka.



Ingatan buat diriku dan teman-teman; bersatulah kita dalam mempertahankan agama yang suci ini. Kepada berbaju hijau dan biru, bukan masanya untuk bermegah-megah dengan bintang-bintang di bahu mahupun pingat di dada. Kepada ahli politik dan pengampu politik, ini bukan masanya untuk mencari kontrak bagi mengisi perut yang buncit. Kepada alim ulama', kerahlah segala keringat dan ilmu yang ada untuk menyatukan umat ini. Bukan masanya untuk kafir-mengkafirkan sesama kamu. 'Panjangkanlah hayat dunia ini untuk anak cucu kita mengisi bekalan ke sana'.

Tuesday, 15 July 2014

Gaza Menangis

Gaza menangis
Gaza menangis. Hari ini 17 Ramadhan 1435, sejarah Islam Perang Badar (17 Ramadhan 2H) berulang kembali. Seramai 186 orang rakyat Palastin gugur sebagai syuhada. Ratusan yang lain cedera parah, lumpuh dan menanti saat Malaikat Izrael datang menjemput. Anak kecil, ibu dan ayah yang tidak berdaya menjadi sasaran kerakusan Israel Laknatullah. Azan Maghrib saat berbuka disambut dengan letupan bom Israel. Bergembiralah wahai syuhada di syurga sana. Moga Allah anugerahi kami juga tempat yang sama di sisimu.

Arthur James Balfour
Aku tidak berniat untuk merungkai sejarah penindasan Israel ke atas Palastin. Ia suatu pengkisahan yang panjang. Buku dan kitab sudah sedia terhampar untuk kita fahami apa maksud tersirat di atas tragedi ini. Baca dan fahamilah. Sesungguhnya Palastin telah melalui sejarah penderitaan yang amat panjang. Ia bermula pada 2 November 1917 apabila Setiausaha Luar Britain, Arthur James Balfour menandatangani satu deklarasi 'membenarkan' pendudukan Yahudi di tanah mulia Palastin yang akhirnya membentuk sebuah negara bernama Israel. Deklarasi ini  dikenali sebagai ‘Balfour Declaration’. Surat berkenaan diserahkan kepada Baron Rothschild (Pemimpin Komuniti Yahudi British). 

Rothschild
Maka bermulalah pencerobohan Yahudi Israel ke tanah Palastin beransur-ansur sehingga sekarang. Persoalannya, apakah kuasa Britain untuk menyerahkan tanah negara orang lain kepada Israel? Contoh yang mudah; adakah Singapura punyai kuasa untuk mengagihkan tanah Malaysia kepada Amerika? Ia suatu teori mudah apabila kuasa Dominan mengatasi kuasa kecil. Fikir-fikirkan..

Anak Kecil Dibunuh
Hati hiba menanti apakah kesudahan penderitaan rakyat Palastin. Tidak cukup dengan bedilan roket dan serangan udara, darat dan laut, Israel kini sedang memuntahkan gas phosphorus ke atas saudara kita di sana. Sejenis asap kimia yang apabila terkena kulit mampu membakar hingga ke tulang. Senjata ini pernah digunakan tentera Amerika semasa Operasi Mark 77 di Falluja, Iraq. Ditambah pula dengan sejenis bom (DAIM) yang mampu membunuh dengan cepat atau mengakibatkan barah. Siapakah sasaran mereka? Rakyat Palastin yang tidak bersenjata. Benar kata Allah; “Dan telah kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam kitab itu; Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini sebanyak dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.”
(Al Israa’; ayat 4)

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu

Betapa azabnya mereka di sana. Allahuakbar! Akhirilah derita saudara kami di sana. Hancurkanlah Yahudi sebagaiman Engkau pernah menghancurkan Tentera Abrahah..

Anak-anak Palastin
Air mata bergenang saat doa dan Qunut Nazilah dipanjat, dadaku sebak tatkala melihat gambar anak kecil berlubang dadanya ditembusi peluru, sang ibu terkulai layu ditangisi anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Mereka saudara kami, mereka anak-anak kami. Peliharalah mereka ya Allah. Aku merenung sebuah hadith Rasulullah S.A.W:

“Segolongan dari umatku akan terus berada dalam kebenaran, mereka akan terus berjuang melawan orang yang memusuhi mereka. Mereka seperti bekas makan di antara para penyentapnya sampai Allah memutuskan (kemenangan bagi mereka) sementara dalam keadaan seperti itu. ‘Wahai Rasulullah, di mana mereka?’ “Mereka disekitar Baitul Maqdis”(Hadith Riwayat Ahmad)


“Ya Allah Kau berikanlah kemenangan kepada mujahidin di Palastin sebagaimana Kau berikan kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badar”. amin ya Rabbal alamin.


17 Ramadhan 1435h; Gaza Menangis

Tuesday, 8 July 2014

Syahid Yang Berjalan di Muka Bumi

Apakah nilai perjuangan mereka?
Aku menjadi kaget dengan berita-berita mengenai kegiatan militan yang telah menular ke Malaysia. Penglibatan seorang pensyarah Universiti Malaya, bekas AJK Parti Islam Semalaya (PAS), Ustaz Lotfi Ariffin dan bekas ahli kumpulan Ukay's dalam aktiviti militan membuatku merenung jauh. ISIL (Islamic State of Iraq and the Levent), al Qaeda, Abu Sayyaf membuatku tertanya-tanya adakah perjuangan mereka selayaknya diangkat sebagai wira Islam bak gerombolan tentera Khalid Al Walid? Atau tak ubah seperti 'pengganas' sebagaimana yang dicanang Amerika dan sekutunya. Apakah sebenar yang dicari? Luput sudahkah nikmat dunia di mata mereka hingga rela terpisah nyawa dan badan. Aku berpendirian untuk  mendiamkan diri. Siapalah aku untuk menghakimi mereka jika ulama yang selaut ilmunya juga khilaf dalam memberikan jawapan. Hatta Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memutuskan apakah nilai perjuangan mereka. 

The Great Philosopher Sun Tzu

Bagiku, mereka memilih jalan tersendiri untuk berjihad bagi mengejar 'syahid' di jalan Allah. Aku percaya picu senjata tidak akan ditarik jika agama mereka tidak diinjak musuh. Ah! usah bicara soal keadilan jika yang memerintah hanya dungu mengikut telunjuk kuasa besar walaupun mereka sedar yang diinjak adalah saudara seagama mereka. Lihat saja apa yang berlaku di Iraq, Syiria, dan Mesir. Manusia semakin hilang kewarasannya. The Great Chinese Philosopher, Sun Tzu pernah mengingatkan " The greatest sytrategy is never having to fight". Tetapi malangnya mereka mencorak dunia dengan senjata sehingga Islam yang syumul dianggap kotor dan musuh utama. Maka usah disalahkan jika Islam bangkit menentang mereka. Janji Allah pasti datang. InsyaAllah..

Talhah bin Ubaidillah
Jauh aku menelusuri hingga akhirnya ia mengingatkanku kepada satu kisah seseorang yang dikatakan Rasulullah S.A.W sebagai "Syahid yang Berjalan di Muka Bumi". Insan mulia ini adalah Talhah bin Ubaidillah. Talhah merupakan salah seorang daripada 10  sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Beliau berumur muda 15 tahun daripada Rasulullah dan berasal dari bani yang sama dengan Abu Bakar al Siddiq. Hebatnya Talhah sehingga sanggup menggadaikan kekayaannya di jalan Allah. Beraninya Talhah sehingga terpalit 25 luka berdarah di badannya hanya untuk melindungi Rasulullah daripada mata pedang kaum  kafir dalam Perang uhud. Tingginya peribadi dan ilmunya hingga tergolong dalam kalangan sahabat yang mahu diangkat sebagai khalifah selepas kewafatan Saidina Umar al Khatab. Namun kerendahan hati menjadikan beliau menolak tawaran tersebut. Beliau gugur syahid dalam Perang Jamal ketika sedang mengingatkan kaum muslimin akan kebinasaan yang sedang mereka hadapi kerana berperang sesama sendiri. Maka tepatlah sabda rasulullah:  "Siapa yang ingin melihat ada seorang syahid yg masih hidup di muka bumi,maka lihatlah kepada Talhah Bin Ubaidillah."

Jihad
Jauh di sudut hatiku berdoa moga aku juga ditempatkan di tempat para syuhada. Walau tak mampu untuk keluar berjihad menentang musuh, cukuplah dengan ilmu yang dituntut. Bukankah Rasulullah S.A.W pernah bersabda; " Barangsiapa yang mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi".
11 Ramadhan 1435h.- Syahid yang Berjalan di Muka Bumi-



Tuesday, 24 June 2014

Arjuna Beta


Hati hiba melihat keadaan adik Muhammad Firdaus yang dikurung di dalam sebuah bilik yang amat menyedihkan. Diseliputi najis, rambut kusam tidak terurus, tubuh longlai seakan mayat yang telah reput. Apakah dosanya hingga tergamak sang ibu membiarkan Firdaus terkulai layu tersungkur ke  lantai berdebu, dipenuhi sampah dan berbau busuk selayaknya haiwan yang mendiaminya?Astaghfirullah..Semakin hilang kasih sayang sesama manusia. Semakin luput cintanya ibu kepada darah dagingnya yang dikandung 9 bulan. Di manakah silapnya?



Aku menjadi sebak kerana aku dan adik Muhammad Firdaus berkongsi nama yang sama. Nama sebuah syurga teratas yang menjadi impian bukan sahaja insan biasa seperti aku malah para sahabat nabi dan alim ulama'. Malangnya Firdaus melayari hidup tidak seindah namanya. Kedaifan menjadi alasan sang ibu merelakan Firdaus hidup umpama mayat hidup  Apa perlu dipedulikan si anak, tuntutan hidup perlu dilangsungkan. Mungkin di kaca mata sang ibu, Firdaus umpama beban yang tidak tertanggung.


Kubenarkan ungkapan seorang Ahli Falsafah Geneva, Jean Jacques Rousseau. Beliau pernah menyebut " Manusia secara semulajadinya adalah bersifat cintakan diri sendiri (amour de soi) dan mempunyai perasaan belas kasih (commiseration) sesama manusia. Namun, kemajuan  kebudayaan mewujudkan persaingan dan kehendak yang akhirnya menjadikan manusia itu bersifat egoistik (amourpropre). Sifat ini menyebabkan manusia terhakis sifat cintanya dan menjadikan manusia sombong, suka membandingkan diri dengan orang lain, iri hati, ingin tampil hebat dan mudah mengorbankan orang lain".-Rousseau, Le Contrat Social (1762). Bagiku cinta sang ibu kepada si anak terhakis dek tuntutan hidup yang penuh dengan materealistik hingga tergamak 'mengorbankan' insan tersayang.

Sebuah kisah tragis yang menyentuh hati dan menyedarkan aku betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang bapa. Mudah-mudahan tidak aku tersungkur ke kancah hina hingga hilang waras fikiran hanya kerana memenuhi tuntutan hidup. Wahai Arjuna Beta.. 

Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur


nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa


kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri


hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela


ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda


hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela


nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa


Friday, 11 April 2014

Jeneral Firaun



Sepi seketika dari dunia penulisan ditokok dengan isu MH 370 yang masih belum menemui kesudahannya. Moga Allah membuka hijab antara yang ghaib dan nyata agar terlerai segala kekusutan. InsyaAllah..


Tersusun rapi di rak buku ilmiah, sebuah kitab kecil lama yang telah menjangkau usia 16 tahun dalam simpanan. Kitab Al Mathurat susunan As Syahid Hassan Al Banna yang merupakan pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin. Melihat kitab ini membawa saya hanyut memikirkan apakah kesudahan nasib umat Islam di Mesir pada ketika ini. Saya cuba merungkai persoalan yang bermain di fikiran satu persatu. 

Dunia Islam sekali lagi bergoncang apabila Mahkamah Tinggi Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 orang ahli Ikhwanul Muslimin. Kurang seminggu hukuman ini dijatuhkan, Jeneral Tentera Abdul Fatah Al Sisi yang bertanggungjawab menggulingkan Presiden Morsi pula mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden Mesir pada pilihan raya Mesir pada bulan Mei 2014 ini.


Siapakah Al Sisi ini? Siapakah yang mendalangi kekejaman beliau? Apakah motifnya? Benarkah Morsi dijatuhkan atas faktor mengekang keganasan? Soalan-soalan ini yang menghantui pemikiran saya. Bagaimana seorang Islam tergamak membunuh ratusan manusia hanya kerana kemaruk kuasa. Astaghfirullah..

Tanpa kita peduli bumi Mesir telah sekian lama ditakluk tentera. Rampasan kuasa tentera mula dilakukan oleh Jeneral Mohammaed Neguib dan Kolonel Gamal Nasir pada malam 23 Julai 1952 dengan kerjasama Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika dan Britain. Tentera berperanan menggulingkan Raja Faruq yang terkenal dengan sikap suka berfoya-foya, berjudi dan suka bermewah-mewah. Bermula penggulingan Raja Faruq ini, maka tamatlah sistem pemerintahan Monarki (Beraja) di Mesir. Tentera terus memerintah dari zaman Kolonel Gamal Nasir, Anwar el Sadat dan seterusnya Hosni Mubarak. Ketiga-tiga mereka adalah pegawai tentera yang diangkat menjadi Presiden Mesir. Sehinggalah Hosni Mubarak digulingkan menerusi Revolusi Arab Spring. Buat pertama kalinya Mohamad Morsi dari Ikhwanul Muslimin dilantik memegang kerusi Presiden Mesir melalui pilihan raya dalam sistem Demokrasi.


Namun, dendam tentera yang terpaksa melepaskan kerusi yang disandang Hosni Mubarak tidak pernah luntur. Puncak dendam ini dibalas dengan penggulingan Mohamad Morsi pada tahun 2013. Masjid dan hospital dibakar, mayat syuhada digempur dan peluru sesat mencari mangsa tanpa amaran. Semuanya kerana tamakkan kuasa. Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai pengganas sesuai dengan skrip yang digarap Amerika. Israel berdondang sayang di Tel Aviv atas kemenangan tentera lantas menghulurkan bantuan pinjaman kepada Al Sisi bagi membangunkan Mesir. Ulama' berlumba-lumba mengampu Sang Pemerintah persis 'Ahli Nujum Firaun' sehingga wujud dakwaan mereka bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W dan baginda menghalalkan darah sesiapa yang menentang tentera di Mesir. 'Fatwa' ini disanggah Ulama' terkenal Mekah (Rujuk nukilan Dr. Maza di Minda Tajdid). Watak Firaun yang kejam, Ahli Nujum yang mengampu, Nabi Harun dan Nabi Musa yang menegakkan agama Allah kini hidup kembali. Allahuakahbar! Dunia semakin ke penghujungnya.




Tuesday, 4 March 2014

'Politik Pembangunan'- Bumi Kenyalang

Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Perubahan Corak Kepimpinan

Sarawak berubah corak kepimpinannya apabila Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuat keputusan mengejut dengan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuatkuasa Febuari 2014. Jawatan yang disandangnya selama 33 tahun lantas meletakkan beliau sebagai Ketua Menteri paling lama di Malaysia dan mungkin di dunia. Dikalangan orang politik, beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Uban'. Beliau mula berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak pada era pentadbiran Perdana Menteri ke-3 iaitu Almarhum Datuk Seri Hussein Onn sehingga sekarang. Beliau menyerahkan tampuk pemerintahan kuasa kepada Tan Sri Adenan Satem. Tan Sri Adenan Satem merupakan satu nama yang tidak asing di Sarawak dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di peringkat negeri dan Pusat. Antara kejayaannya ialah pernah menjadi juara debat mengenai isu 'Tanah Adat' di Sarawak. Tanah Adat adalah isu utama di Sarawak selain pembangunan pada setiap kali pilihan raya di Sarawak. Sehingga kini, tiada formula tepat yang dapat diaplikasikan bagi menangani isu ini kerana ia amat kompleks serta berkaitan dengan adat resam masyarakat peribumi Sarawak. Maka tidak hairanlah 'juara' dalam isu tanah adat ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Walaupun Tan Sri Adenan Satem pernah menarik diri daripada jawatan Menteri Kabinet Persekutuan, namun takdir Allah menentukan beliau adalah insan yang paling layak untuk menerajui kepimpinan di Sarawak. Beliau mengenepikan dua tokoh lain iaitu Datuk Abang Johari Tun Openg dan Datuk Awang Tengah yang juga amat berpengaruh di Sarawak.



Ideologi 'Politik Pembangunan'

Senario politik di Sarawak adalah suatu yang unik dan sukar diramal oleh pengkaji politik di Semenanjung. Ini kerana Sarawak mengamalkan corak politik yang 'tertutup' dan 'berdiri atas kaki sendiri'. Tertutup di sini tidak bermaksud sempit dan naif tetapi ia bermaksud Sarawak mengamalkan pentadbiran politik secara berasingan dan tidak bergantung secara total kepada corak pemerintahan politik di Semenanjung. Jika di Semenanjung, parti dominan ialah UMNO selaku parti terbesar majoriti Melayu. Susun jalur dan kepimpinan parti UMNO ini akan menentukan hala tuju pantadbiran negara berdasarkan pelantikan kabinet Persekutuan. Sebaliknya di Sarawak parti terbesar ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Menariknya, PBB diterajui oleh gabungan beberapa kaum di Sarawak seperti Melayu, Melanau, Iban, Penan dan lain-lain. Formula perkongsian kuasa yang diamalkan dalam parti sejak dahulu masih relevan sehingga kini dan ia tidak terikat dengan amalan corak kepimpinan parti di Semenanjung. Lebih menarik Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden PBB adalah dari kaum Melanau iaitu satu kaum minoriti di Sarawak. Penggantinya Tan Sri Adenan Satem juga berbangsa Melanau. Sebagai sebuah parti dominan di Sarawak, PBB berpegang kepada idelogi 'Politik Pembangunan' sebagai matlamat utama parti. Ideologi ini telah berjaya menarik sokongan rakyat Sarawak kepada PBB pada setiap kali pilihan raya diadakan sehingga Sarawak dikategorikan sebagai deposit tetap kepada BN. Hal ini kerana rakyat Sarawak masih mengharapkan pembangunan daripada Kerajaan Negeri demi kelangsungan anak cucu mereka. Namun, seringkali dipersoalkan adakah 'Politik Pembangunan' ini berjaya khususnya di bawah pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun atau sebaliknya. Jika berjaya, mengapa masih wujud jurang kemiskinan yang ketara khususnya di kawasan pedalaman? Jika tidak berjaya, adakah 33 tahun masih tidak cukup untuk membangunkan Sarawak? Saya membenarkan telahan ahli akademik yang menyatakan Politik adalah "the art of the possible", iaitu suatu seni yang menandakan segala-galanya dapat dijayakan. Hanya beliau yang mengetahui cara dan corak yang hendak diperhalusi serta bagaimana mahu 'menghalalkan' segala tindakannya di mata rakyat.

Kritikan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Sebagai seorang Ketua Menteri, beliau tidak lari daripada kritikan-kritikan pihak luar dan pendesak. Antara isu yang sering diutarakan ialah skandal rasuah, empayar kekayaan luar biasa beliau dan keluarga, tempoh pemerintahan yang terlalu lama, pemilikan balak secara haram dan pencerobohan tanah adat bumiputera Sarawak. Namun, isu-isu ini tidak sedikit pun dilihat sebagai penghalang kepada beliau untuk terus menerajui tampuk pemerintahan di Sarawak. Beliau tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah goyah apabila diasak.

Bersama Tun Abdul Rahman Yakub

Pandangan Mantan Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak

Saya berkesempatan mendekati Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub. Beliau adalah bapa saudara kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau juga bertanggungjawab membawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke arena politik dan seterusnya menyerahkan kerusi Ketua Menteri Sarawak yang disandangnya kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Dikalangan rakyat Sarawak, 'Peristiwa Ming Court' pada tahun 1987 menjadi satu sejarah politik yang penting kepada Bumi Kenyalang. Ia bagi saya merupakan satu kisah yang menarik dan unik yang mencorak sistem politik di Sarawak sehingga hari ini. Tun Rahman berkongsi pengalaman beliau dengan saya bagaimana mentadbir Sarawak dan sukarnya mereka mencari formula untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di Sarawak. Menurut beliau, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan seorang yang 'genius' sejak dari kecil. Kesusahan keluarga menjadikan beliau rapat dengan Tun Rahman. Tun Rahman melihat Tan Sri Abdul Taib Mahmud berpotensi untuk menggantikan tempat beliau. Lantas beliau terus dilatih mendalami ilmu politik dengan menjawat jawatan penting diperingkat Persekutuan dan Negeri sejurus tamat pengajian dalam jurusan undang-undang. Firasat Tun Rahman  tepat, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya menjadi Arkitek Pembangunan di Sarawak selepas dilantik menjadi Ketua Menteri mengikut acuannya sendiri walaupun krisis Ming Court telah menjarakkan beliau dengan bapa saudaranya itu.

Tan Sri Adenan Satem

Masa Hadapan Sarawak

Secara peribadi, saya melihat pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri adalah tepat. Pengalaman beliau di peringkat Persekutuan dan Negeri menjadikan beliau lebih terkehadapan. Ia penting kerana sebagai sebahagian dari Malaysia, Sarawak perlu berhubung rapat dengan kepimpinan Pusat walaupun terpisah dengan faktor geografi. Oleh itu, pucuk pimpinannya perlu arif corak pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan bagaimana 'menyesuaikannya' dengan kepimpinan di Sarawak. Ia dilihat signifikan bagi mengekalkan saling bergantungan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan. Kepada yang telah berjasa; Terima Kasih atas jasa yang diberikan dan Selamat Bertahta di Singgahsana. Kepada yang baru dilantik: Kuatkan usaha dan jadikan amanah ini sebagai jariah bekalan untuk ke syurga..'Politik Pembangunan'-Bumi Kenyalang