Wednesday 17 June 2015

The Unfinished Business: Serangan Subuh 1981


Pertama kali aku mendengar tentang peristiwa ini ialah ketika menonton rancangan Ilmu dan Falsafah di TV Al Hijrah oleh Ustaz Badlishah. Walaupun beliau tidak memperincikan secara mendalam, namun ia cukup membuat diri ini memberontak untuk mencari maksud yang jelas tentang peristiwa ini. Apakah maksud "Serangan Subuh"? Siapa dan mengapa ia dilakukan?.. Mungkin sukar bagi orang bawahan seperti aku memahami maksud dan kronologi peristiwa ini, namun aku berusaha untuk mengolah secara ringkas dan santai agar kalian memahaminya..Aku tintakan di sini..


Peristiwa bersejarah ini berlaku pada 7 September 1981. Dalam tempoh masa kurang 4 jam Syarikat Perladangan milik British iaitu Guthrie Corporation Limited telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, hakikatnya kemerdekaan itu hanya tertakluk di atas sebuah kertas perjanjian. Realitinya, British masih menguasai hasil ekonomi negara melalui sektor perladangan. Menjelang tahun 1970, dianggarkan sebanyak 60% asset korporat Malaysia dimiliki oleh bukan rakyat Malaysia. Guthrie Corporation Limited (milik British) dari tahun 1970-1981 memiliki 194,000 ekar ladang di Malaysia. Ini bermaksud, setiap ladang getah, kelapa dan koko yang kita usahakan hasil pendapatan lebih 60% dimiliki "Mat Salleh Bermata Biru" melalui pegangan saham. Kita hanya mendapat lebihan hasil pendapatan yang digunakan untuk membangunkan Tanah air yang baru merdeka. Ya, kita masih dijajah rupanya..


Di sebalik kerakusan British ini, lahir beberapa orang pahlawan moden yang tidak didendang kehadirannya. Benci dengan sifat kolonialisme yang terus membelenggu orang Melayu, 3 anak Melayu mencatur fikiran bagi menyahkan British dari bumi bertuah ini. Mereka itulah Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Ismail Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Siapakah mereka ini?. Aku terangkan secara ringkas. Tun Mahathir Mohamad pada ketika itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa, Tan Sri Ismail Ali ialah abang ipar kepada Tun Mahathir dan juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tan Sri Khalid sebagai Ketua Pegawai Pelaburan PNB pada ketika itu. Perancangan sulit dilakukan bagi menjayakan misi ini dengan strategi memujuk pelabur yang mempunyai kepentingan saham terbesar dalam Guthrie supaya menjualnya kepada PNB. Pada masa itu, PNB hanya mempunyai 25% kepentingan saham dalam Guthrie. Dalam hal ini, PNB mewakili kerajan Malaysia.


Strateginya, 3 kumpulan dipecahkan dan bergerak dalam satu masa (sekitar waktu Subuh di London). Tan Sri Khalid di Kuala Lumpur dengan memastikan pemegang saham (pro kerajaan) kekal tidak menjual sahamnya, Tan Sri Ismail pula ke Singapura (kota London jam 5 pagi) bagi memujuk CEO OCBC, Tan Chin Tuan (salah seorang pemegang saham dalam Guthrie) supaya menjualnya kepada PNB dan Rothchild (sebuah badan penasihat kewangan Kepada Kerajaan) di London bagi membeli saham yang lain. Tepat jam 4 petang waktu Malaysia (awal pagi di London), "Serangan Subuh" ini bermula dengan membeli semua saham milik Guthrie. Dalam tempoh masa kurang 4 jam, PNB berjaya memperoleh lebih 50% kepentingan saham dalam Guthrie tanpa pengetahuan CEO Guthrie yang berpengkalan di London. Ia sekaligus menjadikan Malaysia berjaya membawa semula hasil bumi negara pulang ke tanah air. Maka bebaslah kita dari tangan "Sang Kolonial Bermata Biru" atas jasa ketiga wira ini..

No comments:

Post a Comment