Thursday 19 December 2013

Bortingkek-tingkek



Usai Pilihan Raya Umum ke 13, rakyat mula dihimpit kesengsaraan akibat kenaikan harga minyak, barang keperluan asas, pengurangan subsidi, GST dan terbaru tol yang bakal dinaikkan pada masa terdekat. Pelbagai istilah digunakan seperti rasionalisasi, langkah pengukuhan ekonomi, penstrukturan semula subsidi dan banyak lagi. Namun, faktanya tetap satu iaitu berlaku peningkatan dan bukan penurunan.



Reaksi yang berbeza diperolehi daripada ramai pihak termasuk dalaman BN sendiri. Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Sharir Samad menyifatkan tindakan kerajaan menaikkan harga tol sebagai membelakangkan janji manifesto PRU ke 13 yang lalu. Pemuda UMNO pula mendesak kerajaan mengkaji semula tindakan-tindakan yang dianggap menyusahkan rakyat. Di pihak pembangkang pula, demonstrasi besar-besaran sedang diatur bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang dianggap membelakangkan rakyat. Tak kurang juga badan bebas yang pro kerajaan memainkan wayang opera cina membenarkan tindakan kerajaan ini atas alasan kerajaan berhak menaikkan harga barang kerana menang pilihan raya. Satu kenyataan lidah bercabang mengampu tanpa akal yang waras.



Walau apa pun isunya, terpulang kepada kita untuk menilainya dari sudut mana. Mungkin sari sudut ekonomi, langkah peningkatan harga barang ini adalah wajar bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara. Mungkin juga dari sudut keselamatan, ianya penting bagi mengelakkan sesuatu ketidakstabilan berlaku. Kerajaan mempunyai pelbagai alasan untuk 'meneutralkan' setiap tomahan. Namun, persoalannya mengapakah ini semua dilakukan hanya selepas BN memenangi PRU ke 13? Apakah setiap sumbangan atau bantuan yang disalurkan hanya untuk mengaburkan mata rakyat? Ditambah pula dengan lompong-lompong isu rasuah dan kelemahan tadbir urus perbelanjaan wang rakyat mengikut Laporan Audit Negara sekaligus merentap keyakinan rakyat kepada mereka. Manifesto PRU ke 13 tak ubah hanya seperti kertas kosong yang dikeronyok menjadi sampah. Dimanakah kebenarannya 'Janji Ditepati'.



Bukan niatku untuk menidakkan sumbangan kerajaan selama ini, jauh sekali ingin menjatuhkan kerajaan. Cukup sekadar menegur dalam konteks Demokrasi ala pemikiran budak hingusan yang baru bertatih di pentas politik. Percayalah! Setapak demi setapak, kamu sedang membenarkan setiap kata lawanmu tanpa perlu bersilat lidah. Bagaimana mungkin kami terus ditekan sedangkan kekayaanmu terus bortingkek-tingkek. Bak kata WaRIS dalam lagunya BORTINGKEK-TINGKEK..

No comments:

Post a Comment