Ambang Tahun Baru 2014 bakal menyaksikan satu demonstrasi akan diadakan di Dataran Merdeka. Tafsiran di sebelah pihak menyatakan demonstrasi diadakan bagi membantah langkah kerajaan menaikkan harga barang selain memungkiri janji PRU ke 13. Di seberang sana pula menyifatkan demonstrasi ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan akibat kalah pilihan raya dan tamakkan kuasa. Maka berbondong-bondong mereka maju membuat laporan polis. Sesungguhnya Malaysia tidak pernah sunyi dek perhimpunan dan demonstrasi sebegini mutakhir ini walaupun 'Ibu Segala Pilihan Raya' telah berakhir. Apakah yang mendorong kita jadi begini? Jawapannya adalah DEMOKRASI.
Kerajaan memerintah hari ini tertegak melalui prinsip demokrasi. Menang majoriti pilihan raya dan seterusnya membentuk satu kerajaan memerintah. Suatu yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada pemerintah. Namun, mengapakah kerajaan masih bergelut dengan isu sebegini? Apa yang dilihat mereka sedikit tersasar dari landasannya. Paling ketara ialah isu kenaikan harga barang. Sesetengah dikalangan rakyat arif dan faham isu ini bersifat global. Manakan tidak jika Amerika Kuasa besar dunia pun terpaksa menyuntik dana untuk menghidupkan daya tahan ekonomi negara Uncle Sam itu. Fenomena yang sama dirasai oleh Jepun, Greece, Sepanyol dan banyak lagi. Rakyat faham akan semua ini. Namun, yang menjadi kemarahan rakyat ialah mengapa isu ini berlaku hanya selepas kerajaan hari ini menang pilihan raya walaupun janji telah dicanang kerajaan tidak akan menaikkan harga barang dan akan mendengar suara rakyat bawahan? Ditambah pula dengan pendedahan demi pendedahan tentang salah tadbir duit rakyat. Disokong lagi dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir yang tidak menyokong kenaikan harga barang. Adakah ia semua adalah fakta atau auta demi mendapat kuasa? Walau apa pun jawapannya, rakyat merasa tertipu dengan mereka. Mungkin terubat semula dek gula-gula PRU ke 14 pula. Kita tunggu dan lihat..
Di sebelah sana pula rancak mengatur langkah mengajak rakyat memprotes. Katanya Suara rakyat suara keramat, bantahan di jalanan mendapat tempat. Akta Perhimpunan Aman 2012 dijadikan kiblat. Suburnya demokrasi tanah air ku.. Namun, persoalannya mengapa ia dilakukan dalam saat kita mahu meraikan Tahun Baru 2014? Seakan menangguk di air yang keruh atau ada udang di sebalik batu. Demokrasi akan menjadi baik jika kita mampu mencari persamaan dalam ketidaksamaan. Bukan bertindak membabi buta tanpa menghiraukan kesan dan akibatnya. Atau ini semua hanya untuk melihat momentum sokongan rakyat selepas PRU ke 13? Bukankah lebih baik jika menggunakan parlimen sebagai gelanggangnya? Hanya mereka yang mampu menjawabnya..
Walau apa pun terpulang kepada kita untuk menilainya. Demokrasi mampu meletakkan sesebuah negara membangun dan disanjung dunia seperti Britain yang dikatakan sebuah negara demokrasi terbaik di dunia. Demokrasi juga boleh menghancurkan sesebuah negara sepertimana yang berlaku di Thailand dan Mesir. Kita masih keliru...