Wednesday, 18 December 2013

Imuniti



Tindakan Amerika Syarikat menahan dan mendakwa Diplomat India ke New York The atas dakwaan penipuan visa telah menggegarkan dunia politik antarabangsa. Penahanan beliau disifatkan sebagai mencabar kedaulatan sebuah negara asing. Amerika Syrikat mendakwa penahanan beliau adalah sah dan segala prosedur penahanan beliau mengikut landas undang-undang. Manakala India menyifatkan penahanan Devyani Khobragade sebagai tidak berasas. Beliau dikatakan dibogelkan, diambil DNA dari giginya serta ditempatkan bersama banduan biasa lain. Dakwaan juga dikenakan atas beliau kerana tekanan mental ke atas pembantu rumah beliau. Peguam Khobragade, Daniel Arshack menyatakan sebagai seorang diplomat, Khobragade mempunyai imuniti atas segala dakwaan yang dikenakan atas beliau. Imuniti diperolehi membolehkan segala dakwaan dikecualikan. Namun, Jabatan Negara menyatakan imuniti diplomat tidak merangkumi jenis jenayah yang dilakukan.

Isu yang mungkin dipandang remeh oleh kita sebagai rakyat biasa tetapi apakah pula tindakan kita jika kita berada di tempat mereka. Apa yang mahu dibanggakan dengan imuniti? Bila berbicara dengan Polis Dunia, harus mengikut rentak mereka. Apa yang hendak dihairankan India jika kedaualatan negara seperti Iraq, Afghanistan, Palastein dan banyak negara lain pun sudah dinyahkan? Disinilah jawapannya mengapa perlu kita mempunyai hubungan diplomasi yang kuat dengan negara-negara besar. Imuniti-

Resam Dunia



Media sosial melaporkan 27 orang ahli parlimen BN berniat untuk keluar parti dan menyertai pembangkang. Alasannya kerana tindakan BN menaikkan harga barang dan peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat kesan daripada kelemahan tadbir urus kerajaan BN. Butiran lanjut boleh dilayari di http://ajensifakap.blogspot.com/2013/12/desas-desus-semakin-bertiup-kencang.html?m=1

Isu lapok yang mula berdendang semula. Jika dahulu, rakyat maheran disajikan berita-berita sensasi sebegini saat gendang perang PRU ke 13 mula dipalu. Maka kucar-kacirlah sebuah negara demokrasi merdeka. Di sebelah pihak, ibarat takutkan bayang-bayang. Mencari siapakah gerangan sang pembelot.Tak ubah seperti cerita klasik anjing dan bayang-bayang. Di sebelah sana pula mula bertempik serata dunia seakan misi telah berjaya mirip angan Mat Jenin panjat pokok kelapa. Cerita orang besar-besar. Demi rakyat katanya...



Secara peribadi, saya menganggap berita ini tak ubah seperti awan lalu. Bergoyang seketika ketika ditiup kencang, namun kembali normal selepas itu. Walaupun BN gagal mendapatkan 2/3 majoriti dan tewas undi popular kepada pembangkang dalam PRU ke 13 yang lalu, namun perlu difikirkan mereka telah mendapat hak memerintah untuk jangka masa 5 tahun akan datang. Suatu klausa undang-undang yang sah bagi sebuah negara berdaulat. Maksudnya, rakyat tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah PRU ke 14. Jika rakyat menganggap mereka raja, harus diingat mereka hanyalah 'Raja Sehari' iaitu raja pada hari mengundi yang akan menentukan siapa yang memerintah. Selepas itu kembali mengemis meminta itu dan ini daripada sang pemerintah. Jangan diungkit dengan undi diberi, jangan pula disesali dengan apa yang terjadi.



Keluarnya 27 orang MP menyertai pembangkang ibarat banjir dalam kemarau. Mustahil dalam saat mereka sedang berada di atas. Hidup seakan tak akan mati. Berkuasa umpama mau mati di kerusi empuk. Kepada mereka di luar, selidikilah sesuatu isu dengan arif dan teliti. Jangan mudah membuat spekulasi. Kelak nanti kita yang rugi. Mereka sedang bersimpuh di singgahsana, namun kita masih bertelagah. Resam dunia..

Thursday, 5 December 2013

Permata Hitam



Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela telah meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg pada hari 5 Dis 13. Beliau merupakan Presiden Kulit Hitam pertama Afrika Selatan dan ikon bagi anti Dasar Aparteid. Beliau pernah dipenjara selama 27 tahun sebelum diangkat menjadi Presiden pada 1994-1999. Beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Nobel atas jasa beliau memperjuangkan demokrasi bagi menentang Dasar Aparteid.

Satu nama yang cukup hebat dalam sejarah dunia. Walau tak pernah bersua muka, namun kesederhanaan dan semangat tidak menyerah kalahmu memberiku ilham untuk terus menapak. Terima kasih 'Permata Hitam'..

Tuesday, 3 December 2013

OLIGARKI



Sidang DUN Selangor telah memutuskan kenaikan gaji untuk semua 56 orang Adun berkuatkuasa 1 Januari 2014. Mendahului mereka ialah Timbalan Speaker DUN dengan kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Berikut dinyatakan Kenaikan Gaji Menteri Besar dan Exco Selangor:

Menteri Besar = RM14,175.15 kepada RM29,250
Exco Kerajaan Negeri = RM6,109.29 kepada RM20,250
Speaker DUN= RM6,109.29 kepada RM22,500
Timbalan Speaker = RM3,327.50 kepada RM15,750
Adun = RM6,000 kepada RM11,250



Suatu yang mungkin mengejutkan rakyat bawahan seperti kita tetapi ,mungkin membuatkan golongan politician 'buat-buat' terkejut. Dalam dunia politik, hal ini dianggap lumrah kerana setiap dikalangan mereka mempunyai persamaan iaitu 'kepentingan diri sendiri'. Ia bukan suatu yang mengejutkan kerana ribuan tahun dahulu, tokoh falsafah politik Greek iaitu Aristotle telah mendefinisikan mereka sebagai 'Oligarki'. Namun, ia tetap perlu berteraskan kepada keadilan. Selain itu, keputusan ini adalah secara kolektif melalui persidangan DUN dalam sistem demokrasi. Maka setiap keputusannya perlulah dihormati. Namun, persoalannya adakah jumlahnya relevan dalam keadaan rakyat masih mengemis mencari makan?



Galilah sedalam mana yang engkau mahu. Kuislah harta Qarun dalam perut bumi. Apa perlu dipedulikan kami semua. Moga satu masa lubang itulah yang menjadi tempatmu bersemadi nanti.

Monday, 2 December 2013

TiNta PuTih: Ashabul Kahfi di Akhir Zaman

TiNta PuTih: Ashabul Kahfi di Akhir Zaman: Siti Aishah Abdul Wahab satu nama yang mengemparkan dunia ketika ini. Beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh...

Sunday, 1 December 2013

Kesudahan yang Tidak Bernoktah.



Cinta sering dianggap sebagai suatu yang suci. Sucinya cinta hingga sanggup menumpahkan darah. Sucinya cinta hingga manusia hilang kewarasan dan sanggup membuat apa sahaja demi cinta. Di India, terdapat satu perkahwinan unik dimana pasangan yang berkahwin terdiri daripada mereka yang mempunyai HIV positif. Suatu yang sukar diterima akal. Pasangan mempelai ini mula dipadankan melalui satu website PositiveSaathi.com. Melalui website ini, lelaki dan perempuan akan mencari pasangan masing-masing yang sama-sama dijangkiti HIV untuk dijadikan teman hidup. PositiveSaathi.com diasaskan oleh seorang penjawat awam di India bernama Mr.Valiv yang memberi khidmat masyarakat khususnya kepada golongan HIV positif. Idea mewujudkan website ini bermula daripada luahan seorang yang menghidap HIV positif yang menyatakan kesukaran untuk mendapatkan teman hidup dan berumahtangga. Hal ini mendesak beliau untuk mencari alternatif bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Justeru, satu palatfom disediakan bagi membuka ruang kepada mereka mengenali antara satu sama lain. Sehingga kini, terdapat lebih 5,000 orang lelaki dan wanita HIV positif yang berdaftar di bawah PositiveSaathi.com.



Di India, seseorang yang menghidap HIV positif dilayan buruk dan disisihkan masyarakat. Maka tidak hairanlah jika si wanita terus menjanda hingga ke tua walaupun mereka memerlukan lelaki sebagai pelindung. Begitu juga sang jejaka, tersekat keinginan untuk berkahwin hanya kerana diri kotor dek najis HIV. Namun, hidup hanya sekali dan perlu diteruskan.

Namun, terlintas di fikiran ini apakah tindakan ini baik atau hanya akan lebih merumitkan keadaan? Bukankah anak yang lahir daripada hubungan suami isteri mereka hanya akan menambahkan bilangan HIV positif yang akhirnya akan memusnahkan sesebuah tamadun? Sesuatu yang menjangkalkan bagi sebuah negara sepertiIndia selepas terkenal dengan Poliandri (perkahwinan seorang wanita dan ramai suami dalam satu masa). Dunia semakin ke penghujungnya. Kesudahan yang tidak bernoktah..

Hisab Terakhir



UMNO telah mengumumkan sembilan Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO. Mencuri perhatian, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Mohammad Kazim Elias yang turut dilantik bagi sembilan kerusi tersebut. Selain itu, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan mantan Timbalan Naib Chanselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah juga tidak kurang menarik perhatian umum. Gabungan barisan ahli politik, ulama' dan tokoh akademik diyakini dapat mentransformasikan UMNO ke arah yang lebih baik.

Saya berpandangan ini satu langkah yang baik. Namun, ia perlu dilaksanakan secara telus. Maksudnya, setiap daripada mereka perlu neutral dan mengoptimumkan keupayaan atau kepakaran masing-masing bagi menghasilkan idea-idea yang dapat memberi nafas baru kepada UMNO. Perubahan perlu berlaku dari dalam dan secara konsisten.



Golongan ulamak: jadikanlah amanah ini sebagai satu ujian buat kamu atas apa yang kamu sering lontarkan dalam setiap ceramahmu. Hidupkanlah roh-roh Islam didalam UMNO. Jadilah kamu seperti Nabi Yusuf yang berani menasihati sang penguasa walau sanggup dipenjara. Bukan menambah musang berjanggut. Atau Sang Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan..biarkan..



Golongan ahli akademik: anggap ini sebagai satu cabaran untuk kamu melaksanakan prinsip-prinsip ilmiah. 'Berkatalah benar meskipun ianya pahit' . Bukankah asas ini yang sering kamu warwarkan dalam menuntut ilmu? Nah! Inilah masanya kamu buktikan. Letakkan dirimu umpama Hang Nadim yang bijaksana. Memerah otak demi rakyat. Jangan berdengket merubah menjadi 'Yes Boss' tanpa sejengkal pun akalmu tidak dipasak. Akhirnya manjadi Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai.

Ingat dan insaflah dengan ujian besar ini. Kerana dirimu bakal menjadi insan terakhir yang akan dihisab nanti..