Thursday, 5 December 2013

Permata Hitam



Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela telah meninggal dunia di kediamannya di Johannesburg pada hari 5 Dis 13. Beliau merupakan Presiden Kulit Hitam pertama Afrika Selatan dan ikon bagi anti Dasar Aparteid. Beliau pernah dipenjara selama 27 tahun sebelum diangkat menjadi Presiden pada 1994-1999. Beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Nobel atas jasa beliau memperjuangkan demokrasi bagi menentang Dasar Aparteid.

Satu nama yang cukup hebat dalam sejarah dunia. Walau tak pernah bersua muka, namun kesederhanaan dan semangat tidak menyerah kalahmu memberiku ilham untuk terus menapak. Terima kasih 'Permata Hitam'..

Tuesday, 3 December 2013

OLIGARKI



Sidang DUN Selangor telah memutuskan kenaikan gaji untuk semua 56 orang Adun berkuatkuasa 1 Januari 2014. Mendahului mereka ialah Timbalan Speaker DUN dengan kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Berikut dinyatakan Kenaikan Gaji Menteri Besar dan Exco Selangor:

Menteri Besar = RM14,175.15 kepada RM29,250
Exco Kerajaan Negeri = RM6,109.29 kepada RM20,250
Speaker DUN= RM6,109.29 kepada RM22,500
Timbalan Speaker = RM3,327.50 kepada RM15,750
Adun = RM6,000 kepada RM11,250



Suatu yang mungkin mengejutkan rakyat bawahan seperti kita tetapi ,mungkin membuatkan golongan politician 'buat-buat' terkejut. Dalam dunia politik, hal ini dianggap lumrah kerana setiap dikalangan mereka mempunyai persamaan iaitu 'kepentingan diri sendiri'. Ia bukan suatu yang mengejutkan kerana ribuan tahun dahulu, tokoh falsafah politik Greek iaitu Aristotle telah mendefinisikan mereka sebagai 'Oligarki'. Namun, ia tetap perlu berteraskan kepada keadilan. Selain itu, keputusan ini adalah secara kolektif melalui persidangan DUN dalam sistem demokrasi. Maka setiap keputusannya perlulah dihormati. Namun, persoalannya adakah jumlahnya relevan dalam keadaan rakyat masih mengemis mencari makan?



Galilah sedalam mana yang engkau mahu. Kuislah harta Qarun dalam perut bumi. Apa perlu dipedulikan kami semua. Moga satu masa lubang itulah yang menjadi tempatmu bersemadi nanti.

Monday, 2 December 2013

TiNta PuTih: Ashabul Kahfi di Akhir Zaman

TiNta PuTih: Ashabul Kahfi di Akhir Zaman: Siti Aishah Abdul Wahab satu nama yang mengemparkan dunia ketika ini. Beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh...

Sunday, 1 December 2013

Kesudahan yang Tidak Bernoktah.



Cinta sering dianggap sebagai suatu yang suci. Sucinya cinta hingga sanggup menumpahkan darah. Sucinya cinta hingga manusia hilang kewarasan dan sanggup membuat apa sahaja demi cinta. Di India, terdapat satu perkahwinan unik dimana pasangan yang berkahwin terdiri daripada mereka yang mempunyai HIV positif. Suatu yang sukar diterima akal. Pasangan mempelai ini mula dipadankan melalui satu website PositiveSaathi.com. Melalui website ini, lelaki dan perempuan akan mencari pasangan masing-masing yang sama-sama dijangkiti HIV untuk dijadikan teman hidup. PositiveSaathi.com diasaskan oleh seorang penjawat awam di India bernama Mr.Valiv yang memberi khidmat masyarakat khususnya kepada golongan HIV positif. Idea mewujudkan website ini bermula daripada luahan seorang yang menghidap HIV positif yang menyatakan kesukaran untuk mendapatkan teman hidup dan berumahtangga. Hal ini mendesak beliau untuk mencari alternatif bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Justeru, satu palatfom disediakan bagi membuka ruang kepada mereka mengenali antara satu sama lain. Sehingga kini, terdapat lebih 5,000 orang lelaki dan wanita HIV positif yang berdaftar di bawah PositiveSaathi.com.



Di India, seseorang yang menghidap HIV positif dilayan buruk dan disisihkan masyarakat. Maka tidak hairanlah jika si wanita terus menjanda hingga ke tua walaupun mereka memerlukan lelaki sebagai pelindung. Begitu juga sang jejaka, tersekat keinginan untuk berkahwin hanya kerana diri kotor dek najis HIV. Namun, hidup hanya sekali dan perlu diteruskan.

Namun, terlintas di fikiran ini apakah tindakan ini baik atau hanya akan lebih merumitkan keadaan? Bukankah anak yang lahir daripada hubungan suami isteri mereka hanya akan menambahkan bilangan HIV positif yang akhirnya akan memusnahkan sesebuah tamadun? Sesuatu yang menjangkalkan bagi sebuah negara sepertiIndia selepas terkenal dengan Poliandri (perkahwinan seorang wanita dan ramai suami dalam satu masa). Dunia semakin ke penghujungnya. Kesudahan yang tidak bernoktah..

Hisab Terakhir



UMNO telah mengumumkan sembilan Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO. Mencuri perhatian, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Mohammad Kazim Elias yang turut dilantik bagi sembilan kerusi tersebut. Selain itu, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan mantan Timbalan Naib Chanselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah juga tidak kurang menarik perhatian umum. Gabungan barisan ahli politik, ulama' dan tokoh akademik diyakini dapat mentransformasikan UMNO ke arah yang lebih baik.

Saya berpandangan ini satu langkah yang baik. Namun, ia perlu dilaksanakan secara telus. Maksudnya, setiap daripada mereka perlu neutral dan mengoptimumkan keupayaan atau kepakaran masing-masing bagi menghasilkan idea-idea yang dapat memberi nafas baru kepada UMNO. Perubahan perlu berlaku dari dalam dan secara konsisten.



Golongan ulamak: jadikanlah amanah ini sebagai satu ujian buat kamu atas apa yang kamu sering lontarkan dalam setiap ceramahmu. Hidupkanlah roh-roh Islam didalam UMNO. Jadilah kamu seperti Nabi Yusuf yang berani menasihati sang penguasa walau sanggup dipenjara. Bukan menambah musang berjanggut. Atau Sang Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan..biarkan..



Golongan ahli akademik: anggap ini sebagai satu cabaran untuk kamu melaksanakan prinsip-prinsip ilmiah. 'Berkatalah benar meskipun ianya pahit' . Bukankah asas ini yang sering kamu warwarkan dalam menuntut ilmu? Nah! Inilah masanya kamu buktikan. Letakkan dirimu umpama Hang Nadim yang bijaksana. Memerah otak demi rakyat. Jangan berdengket merubah menjadi 'Yes Boss' tanpa sejengkal pun akalmu tidak dipasak. Akhirnya manjadi Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai.

Ingat dan insaflah dengan ujian besar ini. Kerana dirimu bakal menjadi insan terakhir yang akan dihisab nanti..

Wednesday, 27 November 2013

Ashabul Kahfi di Akhir Zaman



Siti Aishah Abdul Wahab satu nama yang mengemparkan dunia ketika ini. Beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Britain setelah dijadikan hamba selama 30 tahun dalam sebuah rumah di Lamberth, London. Beliau kini berumur 69 tahun.

Siapakah beliau? Apakah yang mendorong beliau sehingga sanggup menghambakan diri sebegini rupa?

Siti Aishah Abdul Wahab berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau pernah menuntut di Kolej Tengku Kursiah sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Juruukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo Plan".(Berita Harian 27 Nov 13 melaporkan School of Economics (LSE). Beliau dipercayai aktif dengan sebuah pertubuhan aktivis yang digelar sebagai "New Malayan Youth", sebuah pertubuhan yang berhaluan kiri diinspirasikan daripada fahaman komunis Mao Tse Tung atau Mao Zedong. Beliau pernah diburu pihak polis pada era 1970 an kerana terlibat dengan aktiviti komunis namun berjaya melarikan diri. Sejak dari itu tidak diketahui di mana beliau berada walaupun wujud usaha pihak keluarganya untuk cuba membawa beliau pulang ke Malaysia pada sekitar tahun 1991 sehinggalah sebuah akhbar Britain membongkar kes perhambaan beliau.



Sebuah kisah yang tragis dan menyayat hati. 30 tahun satu tempoh yang cukup lama untuk tinggal di bawah satu bumbung tanpa melihat keindahan dunia. Dengan usia yang mencecah 69 tahun, apa lagi yang mampu dilakukan. Berharap agar masih dapat melihat matahari walau mata semakin kabur. Teringatkan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur ratusan tahun di dalam sebuah gua hanya kerana meyelamatkan iman diri. Kini, kisah ini berulang walaupun berbeza konteks iman dan ideologi. Moga pengakhiran yang baik buatmu Siti Aishah, Ashabul Kahfi di akhir zaman..

Monday, 25 November 2013



Tahniah diucapkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed di atas pelantikan sebagai Naib Presiden Persatuan Penguatkuasaan Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA). Sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia dan paling utama Malaysia telah membuka mata asing terhadap rasuah.

Namun, masih banyak lompong yang harus diperbaiki. Jangan terlalu bermegah dengan kedudukan tetapi amanah harus dilaksanakan. Jika diri sudah merasa gah dengan dua sayap di awan, ingatlah amanah tidak sesekali berganjak dari bumi yang dipijak. Apakah kesudahan dakwan kes rasuah Ketua Menteri Sarawak tatkala gendang perang PRU ke 13 telah bermula? Laporan Audit Negara menyatakan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan hasil cukai rakyat dalam tadbir urus penjawat awam. Adakah amanah anda telah dilaksanakan? Atau sekadar bermegah dengan nama dan kedudukan, sesekali memilih bulu untuk bertindak.

Ingatlah wahai teman. Mata takkan berhenti berkedip walau sesaat, tangan kan terus berdoa jika teraniaya. Bukan pingat atau kedudukan yang akan dihadapkan di bawah teriknya matahari di Masyar kelak. Pesan Imam Syafei sesungguhnya yang paling berat adalah Amanah. Laksanakanlah sebaiknya agar ia menjadi abadat dan pemberat timbangan di sana nanti..