Monday, 14 October 2013

Cyber War



Hari ini, akhbar BH online melaporkan dunia semakin bersaing untuk mendapatkan khidmat pakar keselamatan internet bagi menangani cabaran perisikan, pengintipan, penyebaran virus ke dalam sistem komputer sesebuah syarikat atau negara. Amerika contohnya telah mengambil langkah menambah 4,000 anggota baru berkhidmat di Ibu Pejabat Siber Tentera US bersamaan empat kali ganda peningkatan dari sekarang. Langkah yang sama diikuti oleh Britain, Brazil Indonesia. Gaji yang ditawarkan kepada pakar IT ini boleh mencecah sehingga RM 320,000, satu angka yang agak lumayan.

Kebelakangan ini, isu membabitkan cyber war semakin menjadi-jadi. Republik Rakyat China pernah bertelagah dengan Amerika Syarikat kerana dikatakan cuba mengintip maklumat keselamatan negara antara satu sama lain. Kes yang sama berlaku pada Brazil yang diintip oleh Amerika Syarikat sehingga Presidennya mengambil keputusan memboikot pertemuan bersama Obama di satu persidangan antarabangsa. Terbaru, Google Malaysia juga telah dihack oleh pihak asing, suatu tamparan hebat buat negara. Fakta; Amerika bekerjasama membangunkan 'virus' dengan alasan melumpuhkan sistem keselamatan Iran.

Pengenalan medium baru dunia moden seperti facebook, twitter, skype, whatsapp dan banyak lagi menjadikan kita semakin terdedah kepada bahaya. Tiada lagi privasi, aib didedahkan sendiri tanpa paksa, maklumat negara semakin bocor, keselamatan negara dikuis sedikit demi sedikit. Sesuatu yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan. Ingatlah, hanya dengan 1 button ENTER mampu memusnahkan sebuah negara.

Bekalan Untuk Hari Esok



Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan The Herald. Keputusan itu sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Dis 2009. Penghakiman dibuat oleh tiga panel dan diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.



Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama serta mengamalkan konsep demokrasi dalam sistem perlembagaan negara, keterbukaan dan perkongsian dari segala aspek adakah sesuatu yang signifikan. Sejak sekian lama, kaum Melayu dan Islam sanggup 'membuka' ruang kerakyatan kepada kaum-kaum lain serta menghormati konsep kebebasan beragama. Islam sebagai agama rasmi sejak dahulu lagi pernah juga diuji dengan beberapa kes yang melibatkan isu-isu murtad. Murtadnya Natrah, Aisyah Bukhari, Lina Joey dan ramai lagi pastinya melukakan hati umat Islam di negara kita. Tambah perit, Islam tewas dek kerana keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka. Tiada apa yang mampu dilontar, hanya pasrah kerana selagi kita bernafas di muka bumi, pastinya undang-undang dunia yang layak menentukan. Namun, harus dipasak di dalam hati Mahkamah Masyar adalah sebaik-baik pengadilan.



Keputusan ini harus diterima oleh semua pihak. Janganlah dibarakan lagi api perpecahan. Kepada yang menang, bukan bermakna anda sewenang-wenangnya menghina mereka kerana jelas di dalam kitab agung al quran'tiada paksaan di dalam Islam'. Maka berhati-hatilah. Sujud syukur tanda kesyukuran dan berusahalah menutup setiap lompong dalam agamamu agar tidak diinjak musuh.



Kepada yang tewas, terima dengan hati terbuka dan hormatilah mereka yang lain. 'Allah' tidak dibenarkan di dalam majalah terbitanmu tetapi bukankah Ia ada di dalam kitabmu? Setidak-tidaknya kamu masih boleh beragama tanpa perlu takut kepada mereka. Kerana kita semua sama 'mencari' bekalan untuk hari esok!

Monday, 9 September 2013

Syiria vs America



Krisis di Syiria terus berlarutan. Amerika Sang Polis Dunia masih meraih sokongan negara kuasa besar untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syiria. Terbaru, Obama cuba meraih sokongan kongres untuk memberi sokongan kepada beliau disamping mendapatkan persetujuan Majlis Keselamatan PBB. Tindakan Obama ini mencerminkan sifat sebenar Amerika walau siapa pun yang menjadi Presiden.

Ibarat bertemu buku dengan ruas, Amerika walaupun disokong Britain dan Perancis dilihat masih berkira-kira untuk menyerang Syiria kerana terpaksa berdepan dengan amaran Rusia yang menegaskan akan menyerang Amerika sekiranya tindakan yang diambil membelakangkan PBB. Di satu pihak yang lain pula, Iran dan Cina juga tegar memberi sokongan kepada Syiria. Sesuatu yang amat menarik untuk dikaji oleh penganalisis politik. Hal ini yang memeningkan Obama sehingga kini. Persepsi serangan senjata kimia sebagai punca Amerika mahu menyerang Syiria dianggap tidak benar tetapi saya lebih menganggap ia hanya rektorik politik Amerika untuk menyekat sebarang bentuk 'kuasa baru' yang mampu menumpaskan mereka.

Benarlah telahan ramai penganalisis politik semasa Obama dilantik menjadi Presiden Kulit Hitam yang pertama ' Amerika tetap Amerika'..

Wednesday, 28 August 2013

Merdeka: Malaysiaku Berdaulat

2013 Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56. Pelbagai suka duka, perit jerih dan susah payah pejuang kemerdekaan dahulu dihargai dan dihayati. Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos muncul, maka berpusu-pusu lah media massa, pemimpin kenamaan, pakar akademik, negarawan dan tokoh pejuang tanah air mula membicarakan erti kemerdekaan. Namun, perlu dilihat sejauh mana generasi hari ini dapat merasai dan menghayati maksud sebenar kemerdekaan. Adakah kemerdekaan bermaksud 'bebas bersuara' di facebook atau bebas melakukan apa sahaja tanpa batas melintasi norma hidup bermasyarakat?



Pengalaman saya berbicara dan mendengar sendiri luahan bekas Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kob semasa saya bertugas di Sarawak dahulu cukup mengajar saya erti kemerdekaan dan bersyukur dengan apa yang diperolehi sekarang. Beliau antara tokoh yang berperanan mencipta kestabilan politik dan menyahkan anasir asing keluar dari Sarawak. Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk menstabilkan Sarawak. Peristiwa serangan kamunis di Sarawak sehingga ke penubuhan Rascom adalah salah satu usaha dan inisiatif beliau bersama pemimpin lain untuk membebaskan Sarawak. Atas kebijaksanaan beliau, Sarawak bebas dari penjajahan anasir asing walaupun lewat beberapa tahun daripada Semenanjung Malaysia. Beliau sempat mengingatkan saya, 'Orang Melayu kena pandai berpolitik. Tuntutan agama jangan dipisahkan'. Sehingga hari ini, saya masih berpegang kepada kata-kata beliau. Kini, walaupun beliau tidak lagi aktif dalam politik, namun beliau aktif mengadakan kelas agama di rumah beliau. Satu usaha yang amat saya kagumi.

Semoga tamatnya pengajian saya kelak, ilmu yang dikutip dapat disumbang kepada negara khasnya dalam bidang politik. Bukan nama atau gelaran yang dikejar, cukuplah sekadar menjadi 'pejuang kemerdekaan era kini' demi kelangsungan hidup anak-anak dan generasi akan datang. Kalau bukan kita yang mencorak, siapa lagi? Malaysiaku berdaulat.-

Tuesday, 27 August 2013

Rasuah Politik

Memetik keratan akhabar Berita Harian 27 Ogos 2013:

Kuala Lumpur: Sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kedah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM2 juta untuk menaja dana politik pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu.
Siasatan membabitkan tiga individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusannya berusia antara 45 tahun hingga 50 tahun.



Sesuatu yang perlu difikirkan dan ditemukan penyelesaiannya. Rasuah politik bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan. Malah, rasuah dan politik boleh diibaratkan seperti isi dan kuku. Jurang antara keduanya sukar untuk dipisahkan. Jika dilihat dana-dana tajaan seperti ini sering berlegar di kalangan pemimpin atau parti politik. Lihat saja dalam setiap pemilihan atau mesyuarat tertinggi parti politik, akan terdapat ramai dikalangan ahli perniagaan, kontraktor dan pihak-pihak berkepentingan cuba menarik perhatian atau istilah lainnya melobi duduk di perkarangan hotel tempat mesyuarat diadakan. Mereka akan bertemu dengan ahli politik tertentu kononnya sebagai tanda sokongan. Dalam setiap pilihan raya, mereka berperanan sebagai agen bantuan kewangan untuk membiayai parti/pemimpin ini untuk mengumpan rakyat bawahan dengan sumbangan/duit. Sebagai timbal balik, mereka akan dianugerahkan kontrak atau bisnes oleh wakil yang dilantik sekiranya menang. Langkah SPRM ini dipuji tetapi kesedaran perlu wujud daripada 'yang ditaja' dan bukan hanya mensasarkan kepada 'yang menaja'. Kata ulama' sesebuah tamadun itu akan runtuh apabila rasuah berleluasa.Fikir dan ubah persepsi ini.-

Sunday, 25 August 2013

Chess in Syiria



Pagi ini saya membaca lembaran baru isu Syiria di akhbar. Isu yang tidak lagi janggal di mata dunia tetapi semakin menyeksa hati dan perasaan umat Islam. Amerika Syarikat (AS) bersedia menyerang Damsyik lanjutan daripada penggunaan senjata kimia oleh tentera Bashar al Assad ke atas kanak-kanak dan orang awam di negara itu. Armada tentera lengkap dengan kapal perang peluru berpandu semakin menghampiri Syiria dan menunggu arahan lanjut dari Rumah Putih. Presiden Obama pula dilaporkan telah mengadakan perbicangan dengan pegawai tertingi tentera AS dan menunggu laporan lengkap Perisikan AS. Setiausaha Agung PBB juga mengkritik tindakan Syiria itu dan sedang menghantar pasukan peninjau untuk melihat kesahehan berita tersebut.

Saya mempunyai analisa tersendiri berhubung isu ini. Sesuatu yang perlu diketahui Bassar al Assad mempunyai latarbelakang sebagai bekas pegawai tentera. Beliau mengambil alih tampuk pemerintahan ayahnya yang sepatutnya diserahkan kepada abangnya. Malangnya abangnya mati dalam sau kemalangan. Beliau beraliran Syiah dan bersekutu kuat dengan pimpinan Syiah Iran dan Hizbullah. Krisis di Syiria telah berlarutan dari 2011 dan AS telah beberapa kali memberi amaran kepada Bassar ala Assad agar menghentikan segera keganasan ke atas rakyatnya. Kemuncak tekanan yang diberikan AS ialah apabila Bassar ala Assad didakwa menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya. Saya melihat perkara ini dari persepektif yang berbeza.



1. Konflik Syiria telah berlarutan hampir tiga tahun dan dalam tempoh ini puluhan ribu rakyatnya telah mati di tangan tentera Syiria. Persoalannya kenapa baru sekarang AS mahu mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syiria? Saya melihat perkara ini sebagai satu permainan AS untuk menakluk negara-negara Arab. Dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Syiria hanya satu alasan untuk masuk secara 'halal' ke Syiria. Hal yang sama pernah terjadi kepada Iraq yang didakwa mempunyai simpanan senjata rahsia tetapi sehingga kini tidak diketemukan. Perlu juga dikaji, Syiria bersempadan dengan sekutu kuat AS iaitu Israel. Berkemungkinan Israel yang menghantar senjata kimia tersebut ke Syiria dan menuduh Syiria yang melakukannya. Perlu juga diketahui Syiria mempunyai perisikan yang mantap yang mampu menyaingi CIA (AS) dan MOSSAD(Perisikan Israel). Dalam dunia perisikan, mereka bukan sahaja pakar dalam mengutip maklumat tetapi berkemahiran tinggi untuk melakukan propaganda. Kejatuhan negara Arab lain seperti Iraq, Afhahanistan, Libya dan Mesir juga banyak dipengaruhi oleh pasukan perisikan AS cuma cara atau kaedah yang berbeza. Justeru, saya melihat perkara ini sebagai satu permainan chess/catur oleh AS dan Syiria. Kita tunggu dan lihat siapa yang akan cek met.

Saturday, 24 August 2013

Mesir Berdarah

Perkembangan terkini Mesir sehingga kini tidsk menunjukkan tanda-tanda keamanan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat. Tentera terus mempergiatkan operasi membanteras rakyat Mesir yang memihak kepada Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Masjid dibom, hospital dibakar dan rakyat tanpa senjata dibunuh sewenangnya. Mesir kembali berdarah selepas era kebangkitan Ikhwanil Muslimin pada era 60 an di bawah pimpinan As Syahid Hassan Banna.


Sesuatu yang menarik untuk dikaji khususnya bagi penggiat Sains Politik ialah terdapat dakwaan yang menyatakan Arab Saudi telah menyokong tindakan rampasan kuasa tentera ini disamping menghulurkan bantuan berbentuk soft loan sebanyak 10 billion usd kepada tentera Mesir sekiranya berjaya menumbangkan Morsi. Tindakan ini telah dikritik hebat ulama' sedunia termasuk Presiden Ulama' Sedunia, Prof Dr. Yusuf Qardhawi. Beliau turut mengkritik Syeikh al Azhar kerana seakan membenarkan tindakan tentera membunuh rakyatnya. Apakah pengajaran yang kita dapat dari peristiwa ini?



1. Dalam politik, 'kuasa'adalah lambang kehebatan seseorang. Sesuatu yang hak 'boleh' diketepikan semata-mata memenuhi cita-cita politik pihak tertentu.

2. Mesir sejak sekian lama diperintah oleh tentera yang mendapat kuasa melalui rampasan kuasa. Jika dilihat corak pemerintahan dan cara mereka menyelesaikan sesuatu masalah negara juga sama iaitu melalui kekerasan.

Sama-samalah kita berdoa agar Mesir bumi para anbiya' dipelihara oleh Allah dari Kudeta Firaun Moden. Amin.