Friday 22 August 2014

Mengenang MH 17


Langit mendung seakan turut bersedih. Di kaca tv, media menyiarkan siaran langsung Majlis Istiadat Ketibaan Jenazah MH 17 dari Belanda di KLIA. Suasana suram menyelubungi waris mangsa dan seluruh rakyat Malaysia. Serba hitam, air mata tak henti tumpah menyekang pipi. Al Fatihah tak putus meniti di bibir buat sedekah, ucapan takziah dan pengutus semangat bertebaran di media sosial. 22 Ogos 2014- Malaysia Berkabung!


Khutbah Jumaat berkisar tentang perjalanan roh dan catatan di Luh Mahfuz. Kematian adalah satu ketentuan Allah yang sudahpun tertulis di Luh Mahfuz. Hatiku tersentuh. Entah apa takdir kematianku nanti. Bagi mereka, sudah tercatat permulaan perjalanan ke alam barzah mereka sedemikian rupa. Tak mampu kusekang air mata saat imam mendengarkan ayat ke 5 Surah al Fatihah
(إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ)
"Hanya Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan".

Sungguh! Kami mengharapkan pertolonganMu ya Allah.
Usai solat Jumaat, aku bersolat jenazah. Hadiah ikhlas dariku buat Allahyarham Hasni Hardi Parlan yang terbaring sepi dalam keranda dihadapanku. Membawa bersama sedekah kami menuju ke alam kekal abadi. Sebak ku rasa...


Aku terkesan dengan pemergian mereka. Insan mulia binasa angkara tangan kotor gilakan kuasa. Ke mana hilang akal nan waras, mengapa menepi sifat kasih sayang? Sesungguhnya kita tersepit antara kesombongan dan ketamakkan kuasa dunia. Kita terus terhimpit mencari siapa dalang tragedi ini. Moga tangan ini berupaya mengubah dunia 1 hari nanti. In Sha Allah..

Bersemadilah dengan tenang wahai sahabat. Terimalah sedekah kami agar Allah mengampunkan dosa-dosamu, buat meringankan siksaan, melapangkan kubur dan pembuka jalan untukmu ke Jannatul Firdaus kerana pasti kami jua akan menurutimu. Al fatihah-Mengenang MH 17-

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

(Surah al Luqman; 34)

No comments:

Post a Comment